KITA
digalakkan membaca lafaz Bismillah dalam setiap urusan seharian seperti dalam
zikir, doa, bacaan al-Quran, lebih-lebih lagi ketika mengerjakan solat.
Membaca
Bismillah adalah lambang akidah, betapa Allah amat menyayangi hamba-Nya
walaupun kita menderhakai-Nya. Dia masih mengurniakan kita segala-galanya.
Apabila
membaca Bismillah, kita mengisytiharkan diri kita mesti belajar menyayangi
sesama manusia. Nilai kasih sayang amat hebat kesannya dalam kehidupan.
Sekiranya nilai itu hilang daripada hati manusia, ia mengundang pelbagai bencana. Kejian demi kejian dan segala kebiadaban menular gara-gara hilangnya kasih sayang.
Cuba lihat masyarakat jahiliah yang hancur nilai kemanusiaannya itu mula berubah sekelip mata apabila iman dibawa Rasulullah mengajar cinta dan kasih sayang.
Golongan tua perlu hormat kepada orang muda, si kaya simpati dengan si miskin sementara yang berkuasa menghormati golongan lemah.
Malah, sifat saling memberi keutamaan kepada orang lain itu begitu takjub hingga tidak pernah direkodkan dalam sejarah. Bukan saja sesama manusia malah terhadap haiwan juga.
Semua rahmat Allah mula mengalir dalam sanubari insan. Lantaran itu bagi memulakan sesuatu kebaikan, saling menghormati dan apa saja kebaikan mesti bermula dengan mencintai Allah.
Seorang mukmin juga perlu sentiasa memelihara lidahnya daripada mengeluarkan perkataan keji, mencela dan melaknat orang lain, malah berhati-hati sepanjang masa.
Selain itu, umat Islam juga perlu bersifat amanah kerana orang yang tidak amanah tidak sempurna imannya. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak beramanah dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak menepati janji” (Hadis riwayat Ahmad).
Sekali pun manusia mengaku dirinya beriman dan beragama tetapi khianat itu menjadi pakaiannya, segala perintah Allah diabaikan serta larangan-Nya ‘dilanggar’.
Seorang mukmin sejati perlu memandang semua orang beriman itu sebagai saudaranya. Kita perlu saling menghormati, menasihati dan menerimanya dalam apa keadaan.
Orang yang tidak boleh menerima nasihat atau tidak mahu menasihati saudaranya dinodai nafsunya. Mereka yang suka bermusuhan sesama mukmin bukanlah daripada kalangan mukmin sejati.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-As, katanya: “Seseorang sudah bertanya Rasulullah: Apakah sifat orang Islam yang paling baik? Rasulullah bersabda yang bermaksud: Seseorang yang menyelamatkan orang Islam dengan lidah dan tangannya” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Allah pernah menunjukkan marah-Nya pada kaum terdahulu seperti kaum Nabi Nuh lalu didatangkan banjir besar selama berbulan-bulan.
Kepada kaum Nabi Luth yang melakukan hubungan homoseksual, Allah tunjukkan juga marah-Nya dengan menterbalikkan permukaan bumi ke bawah dan menaikkan segala isi yang berada di dasar ke permukaan. Kesan dan tandanya masih boleh dilihat di Jordan sehingga kini.
Allah juga tenggelamkan Firaun dan Qarun kerana keegoan mereka. Justeru, sekiranya kita ingkar, tidak mustahil juga kita pasti menerima nasib yang sama seperti golongan yang dinyatakan itu.
Mohonlah kepada Allah supaya kita sama-sama dijauhkan daripada segala bentuk malapetaka dan bala. Semoga Allah mengampunkan dosa kita dan mengurniakan barakah dan rahmat ke atas bumi yang kita diami ini.
No comments:
Post a Comment