MOUSTAFA mengangkat kedua-dua lengannya.
MILFORD, Massachusetts - Seorang pemuda berketurunan Mesir,
Moustafa Ismail yang tinggal di sini dipercayai memiliki lengan paling besar di
dunia.
Ukur lilit lengan Moustafa yang berusia 24 tahun itu ialah 79
sentimeter.
Pemuda itu makan tiga kilogram (kg) protein, 4.08kg
karbohidrat dan minum air sebanyak 11.35 liter pada setiap hari .
Pihak Guinness World Records kini menimbang sama ada
akan mengiktiraf Moustafa sebagai pemilik lengan terbesar di dunia.
"Mereka (penduduk) memanggil saya Popeye, Popeye Mesir.
"Bagaimanapun, tidak seperti watak kartun Popeye, saya
suka makan ayam, daging dan apa jua makanan kecuali bayam," katanya.
Dia juga mengambil vitamin dan makanan tambahan lain.
Moustafa juga sukar untuk mencari baju yang sesuai dengan
tubuhnya.
Dia mula berusaha untuk memperoleh bentuk lengan itu di
bandar kelahirannya, Alexandria di Mesir sebelum berpindah ke Amerika Syarikat
pada 2007 dan menetap di Franklin, barat daya Boston.
Moustafa melakukan senaman angkat berat selama dua jam hampir
setiap hari.
Pemuda itu pernah mengangkat bebanan seberat 272kg.
Dia sanggup melakukan dua pekerjaan termasuk sebagai pembantu
di sebuah stesen minyak untuk membiayai senamannya di sebuah pusat kecergasan
dan makanannya.
Namun, isterinya meminta dia meninggalkan salah satu
pekerjaan kerana menganggap suaminya itu bekerja terlalu keras.
Pihak Guinness kemudian menghubunginya dengan
menawarkan pemuda itu lawatan ke London, Britain untuk muncul bersama beberapa
pemegang pelbagai rekod dunia termasuk wanita paling kecil di dunia.
Moustafa memenuhi
undangan itu.
Bagaimanapun, kontroversi muncul kerana terdapat dakwaan di
internet bahawa dia menggunakan dadah steroid dan menanam implan pada
lengannya.
Beberapa pihak lain mendakwa, dia menyuntik minyak synthol
yang digunakan oleh ahli bina badan.
Dia pernah pergi ke Tokyo untuk muncul dalam program
dokumentari stesen televisyen Fuji yang menunjukkan beberapa doktor mengambil
sampel darah manakala ototnya turut menjalani ujian X-ray.
Doktor-doktor itu bagaimanapun tidak menemui sebarang bahan
terlarang dalam tubuhnya.
Namun, pihak Guinness mengeluarkan nama Moustafa dalam
laman webnya.
Jurucakap Guinness, Sara Wilcox berkata pada Oktober
lalu, pihaknya masih melakukan penyelidikan dengan pakar-pakar perubatan
berhubung kes Moustafa sebelum mengiktiraf lengannya. - AP
No comments:
Post a Comment