RANGKA mumia anjing ini dipercayai yang pertama ditemui di Mexico.
BANDAR MEXICO - Rangka seekor mumia anjing yang dipercayai
berusia kira-kira 1,000 tahun ditemui di Cueva de la Candelaria, Coahuila pada
12 November lalu di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Mumia tersebut merupakan satu-satunya artifak seumpamanya
yang ditemui di sini.
Ia dijangka menjalani beberapa kajian seperti radiografi dan
analisis ujian asid deoksiribonukleik (DNA) oleh Institut Antropologi dan Sejarah
Kebangsaan Mexico (INAH) untuk dipulihkan.
Seorang pakar arkeologi INAH, Isaac Aquino Toledo berkata, ia
merupakan salah satu daripada beberapa spesimen mumia anjing yang ditemui di
dunia. Mumia anjing biasanya ditemui di Mesir dan Peru.
Spesimen itu akan disimpan bersama-sama dengan 2,500 bahan
arkeologi lain yang ditemui pada tahun 1953.
Penemuan itu menguatkan lagi pendapat bahawa anjing ditanam
bersama-sama tuannya dalam pengebumian orang nomad di rantau ini.
Beberapa objek lain yang ditemui bersama anjing mumia
tersebut ialah tekstil, anyaman rotan, kayu, artifak tulang serta 200 rangka
tulang manusia. - Reuters
No comments:
Post a Comment