Poster propaganda seperti ini dikeluarkan IDF secara konsisten untuk meraih simpati serta memberi justifikasi berhubung serangan mereka ke atas Gaza.
Konflik
terbaru antara pejuang Hamas di Gaza dan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) kali
ini menyaksikan sesuatu luar biasa, sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam
mana-mana konflik sebelum ini.
Kedua pihak menggunakan akaun media sosial, terutama Twitter untuk memberi amaran kepada satu sama lain serta menyampaikan perkembangan serangan dalam masa sebenar kepada orang awam.
Perang Twitter itu bermula apabila IDF menggunakan akaun Twitter rasmi miliknya untuk mengumumkan pelancaran Operasi Tiang Pertahanan ke atas Gaza, wilayah kecil diduduki 1.5 juta rakyat Palestin yang telah lama menderita dan ditindas akibat sekatan kejam rejim Zionis.
“IDF telah
memulakan serangan besar-besaran ke atas pusat pengganas di Genting Gaza,
dengan sasaran utama adalah Hamas dan Jihad Islam,’ menurut Twitter rasmi
tentera Israel, @IDFSpokesperson pada 14 November lalu.
Dipercayai ini adalah kali pertama sebuah pasukan tentera mengumumkan perang melalui media sosial sebelum kenyataan rasmi dikeluarkan.
Serangan ke atas Gaza itu membunuh 163 orang, separuh daripadanya orang awam termasuk 37 kanak-kanak. Ia adalah keganasan terburuk sejak Israel menyerang kawasan diperintah pejuang Hamas itu pada akhir 2008-2009, di mana hampir 1,500 orang Palestin terbunuh.
Serangan itu terhenti, Khamis lalu, selepas kedua pihak mencapai persetujuan untuk melakukan gencatan senjata. Namun apa yang menjadi perhatian adalah penggunaan tanpa henti Twitter dan akaun media sosial lain oleh tentera Israel untuk memaklumkan setiap serangan dilakukan ke atas Gaza dan individu yang berjaya dibunuh mereka dengan penuh bongkak.
Selepas tentera Zionis membunuh pemimpin tentera Hamas, Ahmed Al-Jabari menggunakan bom kawalan tepat pada 14 November lalu, mereka mengumumkan pembunuhan itu melalui Twitter.
“Sasaran pertama yang ditembak beberapa minit lalu adalah Ahmed Al-Jabari, pemimpin cabang tentera Hamas,” menurut Twitter rasmi IDF.
Tentera Israel kemudian menampal gambar wajah Al-Jabari dengan latar belakang berwarna merah pekat besrerta tulisan ‘DIHAPUSKAN’ pada bahagian bawah, tindakan yang dilihat tidak profesional serta amat biadap.
Tentera Zionis turut menggunakan medium sama untuk mengugut pejuang Hamas.
“Kami
cadangkan semua anggota Hamas, sama ada berpangkat rendah atau pemimpin kanan,
supaya tidak menunjukkan wajah mereka secara terbuka dalam tempoh beberapa hari
ini,” menurut satu mesej Twitter daripada IDF.
Ugutan itu
menyebabkan Briged Al-Qassam, iaitu cabang tentera Hamas yang menggunakan nama
akaun @AlqassamBrigade membalas secara terus kepada kenyataan IDF di Twitter:
“Tangan kami yang dirahmati ini akan mencari pemimpin dan tentera kamu di mana sahaja mereka berada (kamu membuka pintu neraka kepada diri kamu sendiri)”.
Akaun kedua pihak yang dikendalikan dalam bahasa Inggeris itu membuktikan Hamas dan Israel sedar pandangan masyarakat antarabangsa adalah elemen penting dalam konflik itu.
Tetapi Israel, negara haram yang mempunyai reputasi buruk di pentas antarabangsa, lebih agresif berkempen menggunakan Facebook, YouTube, Twitter, Instagram serta beberapa laman popular lain untuk mempertahan keputusan rejim itu menyerang orang awam di Gaza dan cuba meraih sokongan dunia.
Pejuang
Hamas juga tidak ketinggalan menggunakan Twitter untuk menangkis dakwaan Israel
sepanjang konflik terbaru ini serta menyampaikan berita terkini kepada dunia
mengenai apa yang berlaku di Gaza.
Selain itu,
Briged Al-Qassam juga dari semasa ke semasa memaklumkan kejayaan Hamas
melancarkan roket ke Israel bagi menaikkan semangat penduduk wilayah tertindas
itu yang dihujani peluru berpandu Israel setiap saat.
Penduduk Palestin mengangkat jenazah
seorang kanak-kanak daripada keluarga Al-Dalo semasa pengebumiannya di Gaza, 19
November lalu.
Sebar
propaganda di media sosial
Tentera Israel secara konsisten menyebarkan propaganda mereka melalui poster atau statistik bagi menghalalkan serangan tidak berperikemanusiaan ke atas Gaza.
IDF berulang kali memainkan isu tiga rakyatnya terbunuh akibat serangan roket oleh pejuang Hamas di Gaza untuk meraih simpati dan sebagai justifikasi terhadap tindakan mereka membunuh ratusan orang di Palestin. Antara mesej Twitter IDF yang kerap diulang-ulang dalam pelbagai versi kepada pengguna Twitter adalah:
“Rakyat
Israel yang menetap berhampiran Genting Gaza telah hidup di dalam serangan
roket sejak 12 tahun lalu” dan “Sejak awal 2012, pengganas Palestin di Genting Gaza
telah melancarkan 768 roket ke #Israel”.
Selain itu, IDF melalui akaun Twitternya juga mengumumkan rejim itu mungkin melancarkan serangan darat di Gaza: “Kami sedang mempertimbangkan semua pilihan. Jika keadaan memerlukan, IDF sedia memulakan operasi darat di Gaza,” menurut tentera rejim itu.
Pelbagai infografik serta poster juga dimuat naik dari masa ke semasa untuk meraih sokongan dunia dengan IDF meminta orang ramai menyebarkan serta berkongsi maklumat tersebut sebagai tanda sokongan.
Selain Twitter dan Facebook, akaun gambar Flickr milik IDF digunakan untuk menayangkan gambar tapak pelancaran peluru berpandu milik Hamas bersama infografik yang dihasilkan bersungguh-sungguh untuk mengumumkan kepada dunia kononnya jutaan rakyat Israel hidup di bawah ancaman serangan roket.
Media sosial Tumblr milik rejim itu pula menunjukkan risalah dalam bahasa Arab yang disebarkan di seluruh Gaza melalui jet Israel, mengandungi kata-kata amaran bahawa penduduk Palestin “bertanggungjawab atas keselamatan mereka sendiri”.
Pada masa sama, Hamas turut menggunakan Twitter untuk berkongsi maklumat mengenai tragedi di Gaza. Twitter milik Briged Al-Qassam menunjukkan gambar Jihad al-Masharawi, petugas agensi berita BBC di Gaza menangis sambil memangku mayat bayi lelakinya yang terbunuh dalam satu serangan Israel.
Perkembangan
konflik direkodkan
Pada 15 November lalu, Hamas memuat naik video di laman YouTube yang didakwa menunjukkan peluru berpandu Fajr 5 dilancarkan ke arah Bandar Tel Aviv.
Tidak mahu
kalah dalam peperangan siber itu, IDF pula memberi pautan kepada sebuah video
yang didakwa menunjukkan serangan Israel ke atas ‘kilang roket Gaza’ pada hari
kedua operasi itu.
Profesor
Undang-Undang Antarabangsa dan Pengurusan Konflik Harvard, Gabriella Blum
berkata, tujuan utama IDF menggunakan media adalah untuk mendapatkan sokongan
ramai.
“Selain
digunakan untuk mengugut Hamas, komunikasi melalui media sosial seperti ini
juga dianggap rakyat Israel sebagai tanda semangat juang yang tinggi oleh askar
mereka.
“IDF juga
ingin memberitahu dunia antarabangsa bahawa setiap pembunuhan hanya disasarkan
kepada ‘pengganas’ sahaja tanpa melibatkan banyak nyawa orang awam,” katanya.
Ramai
pemerhati melihat penggunaan media sosial untuk memberi publisiti kepada perang
seperti dilakukan pasukan tentera Israel adalah tidak beretika.
Ini bukanlah
kali pertama perkembangan sesebuah konflik direkodkan melalui penggunaan media
sosial oleh pasukan tentera tetapi penggunaannya dalam perang di Gaza adalah
paling meluas setakat ini.
Twitter
adalah alat penting yang pernah digunakan sebelum ini ketika pergolakan politik
sebagai cara rakyat berkomunikasi di luar sekatan kerajaan yang menindas
seperti kebangkitan rakyat di Timur Tengah tahun lalu.
Namun apa
yang berlaku dalam konflik di Gaza ini adalah penceritaan mengenai keganasan
sebenar yang berlaku secara fizikal.
Penganalisis,
Benedict Evans berkata, Twitter berada dalam keadaan sukar untuk membuat
keputusan berhubung penggunaan laman itu bagi aktiviti peperangan.
“Twitter
mahu menjaga kedudukan mereka sebagai perkhidmatan mesej yang tidak menyunting
isi kandungan ditulis oleh pengguna laman itu.
“Tetapi dalam masa sama, mereka juga mempunyai syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi semua pengguna,” katanya.
Sementara
itu, Israel melampaui batasan apabila memuat naik sebuah video di YouTube
menunjukkan serangan yang membunuh Al-Jabari.
Rakaman itu
didakwa menunjukkan saat IDF melancarkan peluru berpandu terhadap sebuah kereta
yang sedang membawa Al-Jabari. Tindakan biadap IDF itu jelas mencabuli syarat
YouTube bahawa rakaman menunjukkan keganasan tidak boleh dimuat naik di laman
itu.
Media
sosial berat sebelah
Penggunaan agresif media sosial dalam konflik di Gaza kali ini menimbulkan banyak pertanyaan mengenai pendirian sebenar laman ini.
Jika sebelum
ini media sosial sering menyekat mesej menghasut atau ancaman keganasan
daripada dimuat naik oleh pengguna, kali ini IDF dibenarkan mengugut Hamas dan
menunjukkan video ganas pembunuhan di Gaza secara terbuka.
Pada awalnya Twitter menyekat akaun @IDFSpokesperson manakala YouTube membuang rakaman menunjukkan IDF membunuh Al-Jabari tetapi kedua-duanya kemudian kembali beroperasi seperti biasa.
Walaupun garis panduan YouTube secara jelas menyebut ‘jika video anda menunjukkan seseorang disakiti secara fizikal, diserang atau dimalukan, rakaman seperti itu tidak patut dimuat naik’, ia tetap hanya dianggap sebagai panduan.
Syarikat
Internet Google yang memiliki YouTube sebelum ini pernah menyuarakan bahawa
laman itu lebih cenderung untuk memberikan penggunanya hak kebebasan untuk
menaik muat apa sahaja video.
Syarat dan
peraturan Twitter pula secara jelas melarang ‘ancaman keganasan kepada orang
lain secara terus’.
Tidakkah ‘cadangan’ @IDFSpokesperson supaya semua anggota Hamas tidak menunjukkan wajah mereka dalam beberapa hari adalah ancaman langsung kepada orang lain?
Twitter diketahui mempunyai dasar isi kandungan mengikut negara, di mana syarikat itu akan menyekat sebarang akaun pada permintaan sesebuah kerajaan.
Polisi itu
dilaksanakan untuk kali pertama, bulan lalu, apabila polis Jerman meminta
Twitter menyekat warga negara itu daripada melihat mesej yang ditulis di sebuah
akaun pro-Nazi.
Tidak lama selepas itu, Twitter bersetuju membuang mesej Twitter mengutuk Yahudi yang disertai tanda Yahudi Baik.
Sebarang penafian mengenai peristiwa Holocaust di Twitter pula tidak boleh dibaca oleh pengguna laman itu di Perancis dan Jerman atas permintaan kedua negara tersebut.
Jadi bagaimana pula jika sebuah negara sendiri yang melanggar etika kebebasan bersuara, dan bagaimana pula apabila negara itu adalah Israel?
Pengarah Kebebasan Bersuara Antarabangsa di Yayasan Sempadan Elektronik, Jillian York berkata, sesebuah syarikat tidak mempunyai kewajipan untuk melaksanakan dasar kebebasan bersuara.
“Saya
terperanjat bagaimana laman seperti Twitter kadang kala mengetepikan isu
hasutan dan membiarkan akaun kepunyaan kumpulan militan terus aktif.
“Melihat cara Twitter berfungsi, saya yakin laman itu akan hanya membiarkan penggunaan bahasa hasutan atau keganasan termasuk oleh sesebuah kerajaan,” katanya.
Akta Kesopanan Komunikasi di Amerika Syarikat melindungi laman web sosial daripada bertanggungjawab terhadap isi kandungan yang dikirim pengguna ke laman itu.
Setakat ini, Twitter tidak memberikan sebarang komen berhubung perang di media sosial itu dan pemilik laman sosial Flickr berkata mereka tidak akan menyekat isi kandungan akaun dimiliki IDF.
Google pula memaklumkan mereka telah mengadakan perbincangan rumit antara pegawai tertinggi di syarikat itu sama ada untuk menyekat video IDF yang menunjukkan Al-Jabari dibunuh.
Mereka akhirnya memutuskan untuk membiarkan sahaja video itu.
“Masalahnya,
jika kami menyekat video itu, laman web lain akan tetap menyebarkannya. Jadi
bagaimana untuk menyekat semuanya?,” soal pengerusi Google, Eric Schmidt.
Tindakan laman sosial tidak menyekat sebarang isi kandungan mungkin tidak salah kerana dunia luar perlu mengikuti perkembangan konflik di Gaza termasuk dari sudut pandangan penduduk Palestin, seperti akaun Twitter milik Hamas.
Namun yang menjadi persoalan adalah kebiadaban tentera rejim Zionis mempermainkan tragedi kemanusiaan dan menjadikan perang seolah perkara remeh dengan berterusan menghantar mesej ancaman serta mengirim status untuk memberi justifikasi terhadap keganasan mereka di Gaza.
No comments:
Post a Comment