KATAK kecil berjari
tiga, Brachycephalus tridactylus yang ditemui di hutan simpan di selatan
Brazil.
BRASILIA - Sejenis katak unik berjari tiga yang hidup di
sebuah hutan simpan di selatan Brazil diiktiraf sebagai spesies baharu pada
minggu ini, lebih lima tahun selepas amfibia itu ditemui oleh seorang ahli
biologi, Michel Garey.
"Saya sedang melakukan kajian bersama dua orang rakan di
puncak sebuah bukit di hutan itu dan ternampak seekor katak ganjil berjari
tiga," kata Garey.
"Penemuan tersebut berlaku pada 14 Februari yang juga
hari jadi saya, ia hadiah yang sungguh istimewa," tambahnya.
Namun, hanya pada Jun lalu barulah katak berwarna oren dengan
panjang kurang daripada 1.5 sentimeter itu disahkan sebagai spesies baharu.
Dikenali dengan nama saintifik, brachycephalus tridactylus,
penemuan Garey disiarkan dalam jurnal antarabangsa, Herpetologica.
Ditemui pada ketinggian lebih 900 meter, brachycephalus
tridactylus unik kerana memiliki tiga jari berbanding katak biasa yang
berjari empat.
Menurut Garey, perbezaan ketara itu disebabkan oleh proses
evolusi dan bukannya kesan pencemaran alam sekitar.
Pakar-pakar sebelum ini menganggarkan terdapat sekitar 950
spesies amfibia hidup di seluruh Brazil dan lebih 6,700 lagi spesies berada di
seluruh dunia. - Agensi
No comments:
Post a Comment