TIADA apa yang didambakan oleh jiwa-jiwa yang bergelumang
dengan dosa di akhirat, selain rahmat Allah SWT serta syafaat rasul-Nya
Muhammad SAW, tatkala manusia berduyung-duyung ke hulu ke hilir mengharapkan
ada di kalangan para nabi dan rasul yang mampu melepaskan kesusahan mereka.
Baginda Rasulullah adalah pemilik al Syafa'ah al 'Uzma
(syafaat agung) yang mampu menjadi penyelesai dan tindakan penyudah membereskan
segala kemelut, gegak-gempita dan huru-hara pada hari tersebut dengan penuh
belas ihsan dan kasih sayang.
Sesungguhnya benarlah perutusan-Nya ke alam ini sebagai
rahmat yang berterusan dan dikecapi manfaatnya di dunia dan di akhirat.
Secara umumnya syafaat terbahagi kepada empat bahagian.
Yang Pertama ialah syafaat
untuk mendapat kerehatan daripada
huru-hara pada Hari Perhimpunan (Mahsyar) dan mempercepatkan perbicaraan
mahkamah keadilan tuhan. Ini adalah suatu kedudukan terpuji yang dijanjikan
kepada nabi Muhammad SAW.
Allah SWT berfirman: Dan bangunlah pada sebahagian dari
waktu malam serta kerjakanlah solat Tahajud padanya, sebagai solat tambahan
bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkan kamu pada Hari Akhirat di
tempat yang terpuji. (al-Isra': 79)
Syafaat kedua ialah bagi golongan
yang diwajibkan mendapat seksaan neraka. Maka Allah SWT mensyafaatkan
mereka melalui syafaat orang-orang yang dimuliakan-Nya daripada kalangan para
nabi, siddiqin, ulama, syuhada dan solihin. Maka mereka masuk ke dalam syurga
dengan rahmat Allah SWT.
Yang ketiga syafaat bagi mengeluarkan
golongan yang mentauhidkan Allah SWT dari neraka. Maka Allah SWT
mensyafaatkan sesiapa sahaja hamba-hamba yang dikehendaki-Nya sehingga tidak
tinggal dalam neraka orang yang terdapat dalam hatinya keimanan walaupun
sebesar zarah.
Syafaat yang keempat ialah syafaat bagi menambah darjat golongan yang kurang amal kebajikan untuk menyusuli
ahli keluarga mereka. Maka Allah SWT mempertemukan mereka dengan zuriat
mereka dan lain-lainnya.
Kesemuanya ini telah dijelaskan melalui nas-nas yang jelas
dan hadis-hadis yang sahih.
No comments:
Post a Comment