BAGI kebanyakan orang di negara bermusim, percutian musim
panas sering dikaitkan dengan satu perkataan iaitu pantai. Cabaran untuk
mencari sesebuah pantai yang sempurna dan bertaraf dunia sememangnya mengujakan
para pelancong sejak sekian lama.
Tentunya sukar untuk mencari jawapan yang tepat kerana ia
bergantung kepada penilaian seseorang individu itu sendiri.
Mereka yang gemarkan suasana sunyi dan privasi lazim memilih
kawasan pantai yang terpencil. Tidak kurang juga yang sukakan kawasan pantai
yang sesak semata-mata mahu mencuri perhatian melalui fesyen pakaian mandi
terkini mahupun bentuk tubuh yang ideal dan berotot.
Walau apapun alasannya, mencari sesebuah pantai yang sempurna
bergantung kepada tiga 'resipi' asas iaitu cahaya matahari, pasir pantai dan
panorama menakjubkan di sekitarnya.
Sama ada pantai yang terkenal atau tidak, privasi atau sesak,
senarai ini sekurang-kurangnya memberi idea mengenai lokasi pantai popular
dunia untuk rujukan percutian masing-masing.
Pantai La Minitas,
Republik Dominica
Pantai yang terletak di Republik Dominica itu terkenal dengan
kecantikan dan ketenangannya.
Bersih, jauh daripada sebarang pencemaran dan dikelilingi
panorama indah, pengunjung pasti tidak akan menyesal sekiranya memilih republik
itu sebagai destinasi percutian.
Pantai La Minitas hanya memakan masa 10 minit perjalanan
dengan menggunakan bas shuttle. Ia merupakan lokasi terbaik bagi pengunjung
yang suka berjemur dalam suasana privasi.
Biarpun kedudukannya agak terpencil, pengunjung tidak akan
kelaparan kerana terdapat banyak restoran di sekelilingnya. Lebih menarik,
terdapat perkhidmatan spa dan urutan yang ditawarkan di tepi pantai.
White Beach, Boracay,
Filipina
Mempunyai pesisiran pantai yang halus memutih sepanjang lebih
dua kilometer, White Beach atau Pantai Putih dianggap syurga bagi
peminat-peminat aktiviti pantai di seluruh dunia.
Persekitarannya memukau dengan keaslian semula jadi yang
tidak pernah terusik sejak 30 tahun lalu.
Dikelilingi perkampungan nelayan, ia menjanjikan kepuasan
kepada pengunjung yang mahu merasai suasana percutian dalam iklim tropika.
Masa terbaik untuk berkunjung ke situ ialah ketika musim
Amihan (monsun barat laut) bermula dari September hingga Jun. Ketika itu,
suhunya agak sederhana dengan sedikit hujan dan angin sejuk yang lazim bertiup
dari Timur.
South Beach, Miami,
Florida, Amerika Syarikat
Sejak sekian lama, South Beach menjadi pilihan pelancong yang
mahu merasai imej mewah dan glamornya.
Bagaikan sebuah jenama yang tidak perlu diterjemahkan, pantai
itu sesak dengan pengunjung yang mahu merasai budaya keriangan pantai ala
Amerika.
Selain itu, pantai tersebut menjadi tumpuan kerana kehadiran
wanita-wanita seksi berpakaian mandi atau lelaki yang berotot sasa.
Dikelilingi ratusan hotel mewah, pusat membeli-belah,
restoran dan kelab malam, ia menawarkan pelbagai aktiviti dan hiburan tanpa
henti sehingga ke malam.
Sepanjang berada di situ juga pengunjung mungkin terserempak
dengan selebriti Holywood kesayangan yang sedang memandu kereta mewah atau
membeli-belah.
Pantai Merah Santorini,
Akrotiri, Kepulauan Greece
Jika mahu menikmati percutian unik sambil menyaksikan
landskap istimewa, Santorini Red Beach (Pantai Merah Santorini) berbaloi untuk
dikunjungi.
Pertembungan warna biru air laut, rona merah daripada
pasirnya yang halus dan puncak gunung berapi di sekelilingnya menghasilkan
landskap unik dan tiada yang seumpamanya di dunia.
Biarpun kawasan pantainya agak kecil, namun ia sangat popular
dan sering menjadi tumpuan pelancong untuk bersantai.
Perlu diingat, tiada sebarang kemudahan asas disediakan
kecuali sebuah gerai yang menyewakan payung dan kerusi pantai. Anda perlu
membawa makanan dan minuman sendiri sekiranya mahu berada di situ lebih lama.
Pantai Tulum, Mexico
Mexico sememangnya terkenal dengan keindahan bandar raya dan
pantainya yang mempesona.
Terletak kira-kira 80 kilometer dari Cancun, Tulum terkenal
sebagai kawasan yang menyimpan sejarah silam puak Maya satu ketika dahulu.
Di samping nilai sejarahnya yang hebat, ia juga memiliki
pantai yang tidak kurang hebatnya, Pantai Tulum.
Pasir pantai yang halus memutih dan air laut yang jernih
menjadi tarikan ideal bagi pelancong yang mahu berada jauh daripada kesesakan
orang ramai dan hiruk-pikuk kota.
Pantai Arambol, Goa,
India
Mudah untuk mengetahui mengapa Pantai Arambol yang terletak
di wilayah Pernem, utara Goa, terus masyhur.
Mudah diakses dan terletak hanya satu jam pemanduan dari
Lapangan Terbang Dabolim, Arambol yang terkenal dengan imej pasir berwarna
kuning emas kekal sebagai antara rahsia yang masih belum diterokai sepenuhnya
di India.
Dikelilingi pokok-pokok palma dan kolam-kolam air tawar, ia menawarkan suasana percutian yang diidamkan oleh pelibur yang mencari ketenangan tropika.
Popularitinya
telah menyebabkan pesisir pantainya meriah dengan binaan kafe dan restoran
serta peniaga jalanan yang menjual pelbagai produk kraftangan.
Terdapat
sebuah menara penyelamat pantai disediakan bagi menjami keselamatan pengunjung
sepanjang berada di situ.
Pantai Teluk Hanalei, Kauai, Hawaii
Sekiranya
suasana pantai dan landskap ala imej poskad menjadi syarat utama percutian anda
pada masa hadapan, Hanalei Bay Beach (Pantai Teluk Hanalei) pasti tidak akan
menghampakan.
Pantai
teluknya yang berbentuk melengkung cukup indah dengan kehalusan pasir dan
lautnya yang membiru.
Kehadiran
air terjun serta gunung-ganang yang gah di sekelilingnya sudah cukup meletakkan
Hanalei Bay Beach berada dalam kelas yang tersendiri.
Ia mungkin
agak sesak terutama menjelang musim sejuk, bagaimanapun kelebihan yang
ditawarkan pasti memberi kenangan manis yang sukar dilupakan.
Pulau Ocracoke, Carolina Utara,
Amerika Syarikat
Sekiranya
anda memilih percutian yang penuh privasi, sukar untuk menolak apa yang
ditawarkan di Pulau Ocracoke.
Lokasinya
yang agak terpencil membuatkan ia hanya dapat diakses menggunakan bot, feri
atau kapal terbang persendirian.
Sepanjang
bercuti di pulau itu, pengunjung bukan sahaja berpeluang menikmati kedamaian
suasana pantainya malah bebas daripada pengaruh teknologi moden pada hari ini.
Ya, Ocracoke
tidak dilengkapi jaringan talian telefon atau internet, maka sepanjang tempoh
percutian di situ anda terlepas daripada gangguan yang menyesakkan fikiran.
Pulau itu
juga turut menempatkan perkuburan tentera-tentera British yang terbunuh sewaktu
Perang Dunia Kedua dahulu. Upacara peringatannya diadakan pada bulan Mei setiap
tahun.
Pantai Ipanema, Rio de Janeiro,
Brazil
Terletak di selatan bandar raya Rio de Janeiro di antara Leblon dan Arpoador, Ipanema merupakan pantai yang popular di Brazil.
Sejak tahun 70-an lagi, namanya sering menjadi sebutan
peminat-peminat aktiviti dari seluruh dunia.
Dikurniakan kawasan pantai yang luas, Ipanema Beach bukan
sekadar lokasi bermandi-manda.
Ia juga dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti bola
tampar pantai dan bola sepak pantai yang sememangnya sinonim di negara Latin
itu.
Pada musim sejuk, ombaknya mampu mencecah ketinggian 0.3
meter sekali gus menjadi tumpuan dalam kalangan peluncur-peluncur ombak yang
mahu menguji skil masing-masing.
Populariti yang diraihnya juga menyebabkan namanya diabadikan
dalam judul lagu The Girl From Ipanema, karya Antonio Carlos Jobim dan Vinicius
de Moraes.
Aroa, Aitutaki,
Kepulauan Cook
Berbanding pulau-pulau kecil lain yang membentuk Kepulauan
Cook pada hari ini, Pantai Aroa yang terletak di Pulau Aitutaki sememangnya
layak digelar sebagai juara.
Suasana damai, tenang dan dikelilingi lagun unik berwarna
biru firus, Aroa memiliki pantai yang hampir sempurna dengan kehijauan alam
semula jadi.
Kejernihan air laut dan kekayaan terumbu karang dan hidupan
laut yang masih terpelihara menyebabkan ia dianggap syurga bagi
penggemar-penggemar aktiviti snorkeling dan menyelam.
Menawarkan suasana percutian iklim tropika, Aroa pastinya
menjanjikan pengalaman romantis kepada sesiapa jua yang bertandang.
cantik.. bila la dpt pegi situ.. ndah dpt ke x.. ehehe
ReplyDeleteinsyaallah...suatu hari nanti..:-)
DeleteSubhanallah.. iha memang sah2 tak dapat pergi pantai.. takyah pergi pun takpe, tengok gambar je pun dah rasa macam ada kat sana (kononnya) :D
ReplyDeletebetul jugak tu..tengok gambar pantai pon dapat ketenangan jugak..:-)
Delete