expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Friday 10 August 2012

India lumpuh selama lima jam




SETIAP petang sebelum pulang ke rumah, Sushmita Rao, seorang eksekutif di sebuah syarikat di New Delhi akan menelefon pembantu rumahnya bagi menghidupkan penghawa dingin.


Tujuan Rao hanya satu, apabila sampai di apartmen tersebut, dia mahu suasana rumah yang sejuk seperti di pejabatnya.


"Saya bekerja dalam pejabat yang berhawa dingin dan saya berasa tidak selesa jika apartmen juga tidak sejuk," kata Roa.

 
Roa merupakan sebahagian daripada golongan eksekutif India yang bekerja dalam pejabat berhawa dingin, membeli-belah di pasar raya berhawa dingin dan juga makan di restoran berhawa dingin.


Tinggal seorang diri di apartmen tersebut, Rao memiliki mesin basuh, dua televisyen, penghawa dingin di setiap bilik, komputer peribadi dan pelbagai barangan elektronik.


"Kegunaan elektrik saya tinggi tetapi begitulah rutin kehidupan saya. Saya suka tinggal dalam suasana yang selesa," katanya.


Bagaimanapun, pada penghujung bulan Julai lalu, India lumpuh apabila bekalan elektrik terputus di negara itu. 


Kesannya, kilang-kilang di India turut mengalami kerugian. Kilang Jayaraj Kumar yang menghasilkan rak kentang goreng terpaksa berhenti seketika operasinya sebelum jana kuasa sokongan menggunakan diesel berfungsi.


Bekalan elektrik yang tidak menentu menyebabkan pengusaha kilang bergantung kepada jana kuasa diesel sokongan yang bunyinya bising dan kotor.


Lebih merunsingkan, penggunaan janakuasa diesel tersebut meningkatkan kos operasi, menjejaskan produktiviti dan merencatkan perkembangan ekonomi di negara itu.


Taraf ekonomi meningkat


"Menjalankan industri perkilangan di sini sangat mencabar ketika ini," kata Kumar.


Krisis bekalan elektrik di India selama lima jam pada penghujung bulan lalu dikatakan berpunca daripada penggunaannya yang meningkat.


Negeri-negeri terbabit dikatakan menggunakan tenaga melebihi kuota yang ditetapkan kerajaan.


Selain itu, taraf ekonomi masyarakat dan gaya hidup di India kini berubah apabila penggunaan barangan elektrik turut meningkat.


"Kumpulan berpendapatan sederhana di India semakin meningkat menyebabkan mereka mampu membeli barangan elektrik sekali gus penggunaan tenaga turut tinggi," kata Will Pearson, penganalisis tenaga global di Eurasia Group yang berpangkalan di London.














 


SEORANG lelaki menyediakan makanan manakala seorang pelanggan menikmati hidangan dalam suasana gelap di sebuah gerai berhampiran stesen kereta api di Allahabad, India. 


Pengerusi Technopak, Arvind Singhal berkata, negara tersebut dalam proses transformasi sosial sekali gus memerlukan lebih banyak tenaga untuk keperluan industri, pusat beli-belah dan pejabat-pejabat.


Penggunaan alat elektrik


Berdasarkan maklumat dari Badan Kebangsaan India, golongan pertengahan di negara tersebut ialah sebanyak 160 juta iaitu lebih besar berbanding populasi di Rusia atau Jepun. Jumlah itu dijangka meningkat sehingga 267 juta menjelang tahun 2016.


Justeru, penggunaan penghawa dingin, ketuhar gelombang mikro, pembakar roti, mesin basuh dan barangan elektrik lain semakin meningkat dan mampu milik sejak tahun 1990-an di India.


Kegagalan India memenuhi permintaan bekalan tenaga elektrik yang meningkat di negara itu menerima padahnya apabila ia terputus hujung bulan lalu sekali gus menjejaskan lebih 700 juta penduduk negara berkenaan. 


Kejadian yang merupakan terburuk di dunia itu turut mengundang kebimbangan berlakunya tunjuk perasaan, huru-hara dan protes dalam kalangan penduduk.


Sebanyak 20 daripada 28 negeri di India termasuk New Delhi terjejas apabila tiga daripada lima pembekal elektrik gagal membekalkan tenaga apabila ia terputus pada waktu tengah hari hujung bulan lalu.


Ekoran itu, beratus-ratus perkhidmatan kereta api tergendala sekali gus menyebabkan pengguna terkandas di sepanjang landasan dari Kashmir hingga ke Nagaland di bahagian timur India yang bersempadan dengan Myanmar.














 


KANAK-KANAK sedang menonton televisyen yang menggunakan tenaga solar. 


Bukan itu sahaja, lampu isyarat turut tidak berfungsi menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk seperti di New Delhi dan Kolkata.


Lebih parah, beberapa kes pembedahan di hospital turut dibatalkan dan pembedahan yang sedang dijalankan terpaksa menggunakan peralatan secara manual setelah janakuasa diesel di hospital berkenaan gagal berfungsi.


Urusan pembakaran mayat di pusat pembakaran turut terganggu sehinggalah kayu digunakan sebagai bahan pembakar.


Di Bengal Barat pula, lif yang tidak berfungsi mengakibatkan beratus-ratus pelombong terperangkap di bawah tanah dan hanya berjaya diselamatkan selepas bekalan pulih kira-kira lima jam kemudian.


Kakitangan kerajaan pula terpaksa dibenarkan pulang awal dari tempat kerja masing-masing apabila ketua menteri membuat pengumuman bahawa bekalan dijangka pulih dalam tempoh 10 hingga 12 jam.


Kejadian elektrik terputus itu mengundang persoalan tentang kemudahan infrastruktur di India dan kemampuan kerajaan memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat.


Menteri Tenaga, Sushilkumar Shinde menyalahkan pihak pemerintah negeri kerana menggunakan bekalan elektrik melebihi kuota yang ditetapkan.


"Setiap orang menggunakan elektrik melebihi kuota yang ditetapkan. Saya telah memberi arahan, negeri yang terbabit akan dikenakan tindakan pemotongan elektrik," katanya.


Pihak parti pembangkang menjadikan krisis itu sebagai bahan politik mereka.


"Kejadian ini manifestasi kelemahan pengurusan... rakyat memerlukan penjelasan daripada perdana menteri," kata jurucakap Parti Bharatiya Janata, Manmohan Singh.


Pengarah Urusan, Pertubuhan Pembekal Tenaga Bebas India, Harry Dhaul menyatakan bahawa orang ramai bakal membuat huru-hara jika krisis tersebut berterusan.














 



PENDUDUK India kini berkemampuan memiliki barangan elektrik seperti penghawa dingin menyebabkan penggunaan tenaga meningkat.


"Keadaan lebih merunsingkan di kawasan bandar kerana penduduk sangat bergantung kepada elektrik. Ia mungkin berlaku rusuhan atau tunjuk perasaan," katanya.


Pakar-pakar bersetuju India perlu melabur bagi meningkatkan infrastruktur untuk memenuhi keperluan 1.2 bilion penduduknya.


Berdasarkan laporan Wall Street Journal, sejak tahun 2006, China telah menghabiskan tenaga enam kali ganda tenaga setiap tahun berbanding India. Secara purata, China menggunakan tenaga sebanyak 84 giga watt manakala India cuma 14 giga watt setahun.


Dhaul berkata, punca India gagal mengikuti China bukanlah disebabkan faktor politik tetapi India ialah negara demokrasi.


"Di China, jika mereka hendak membina empangan hidroelektrik tetapi ada bantahan, ia tidak menjadi masalah...dalam masa 24 jam mereka yang terlibat di kawasan berkenaan akan dipindahkan dan kerja-kerja pembinaan bermula. 


Kita tidak boleh lakukan perkara itu di India," dakwanya.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com