SEBAHAGIAN
besar anak golongan perantau di Kuala Lumpur akan pulang ke kampung berbuka
puasa bersama keluarga terutamanya pada awal bulan Ramadan.
Suasana
berbuka seisi keluarga sangat meriah apatah lagi dengan pelbagai ragam
persiapan dan selera iftar masing-masing.
Saat mahu
menyediakan juadah berbuka atau bersahur, macam-macam jenis hidangan yang
dicadangkan untuk mengisi meja makan di rumah.
Ada yang
mahu makan lemak pucuk ubi, pajeri nanas, kuih-muih, gulai ayam, pucuk paku
goreng, ayam percik, ikan bakar dan air tebu.
Oleh kerana
mahu berbuka beramai-ramai, perasaan untuk membeli-belah juadah berbuka di
bazar Ramadan jadi membuak-buak. Pendek kata, apa sahaja yang dijual di bazar
terasa mahu dibeli walaupun pada akhirnya tidak habis dimakan.
Perkara itu
secara jujurnya berlaku dalam keluarga penulis sendiri. Akibat tertarik dengan
deretan kuih-muih yang kemas tersusun dan begitu menyelerakan di sebuah pasar
Ramadan di Perak, hampir RM20 dibelanjakan di tapak gerai pertama.
Bayangkan,
dengan plastik berisi pelbagai juadah penuh berisi di tangan, berapa jumlah
duit yang penulis habiskan saat selesai menjelajah seluruh tapak bazar Ramadan
itu.
Setibanya di
rumah dan dihidangkan di meja makan, ibu dan ayah terkejut dengan lambakan kuih
dan lauk-pauk itu. Siapa yang akan menghabiskannya? Tambahan pula, ibu turut
memasak dua tiga jenis lauk lain.
Akhirnya,
juadah itu bukan sahaja tidak habis dimakan, bahkan sebahagian bakinya hampir
dibuang. Mujur ada yang boleh disimpan untuk dibawa ke sesi bersahur.
Di sebalik
sikap tamak itu, akhirnya membuatkan saya terfikir seketika nasib golongan
miskin yang tidak mampu berbelanja dan mengharapkan bantuan orang ramai untuk
bersahur dan berbuka puasa.
Sejak hari
itu, sebelum berkunjung ke mana-mana bazar Ramadan tahun ini, saya akan membuat
perancangan terlebih dahulu mengenai juadah yang mahu dimakan ketika berbuka
puasa bagi mengelakkan pembaziran. Lagipun, tabiat berlebih-lebih membeli
juadah berbuka puasa sehingga membazir hanya akan merugikan diri sendiri.
Oleh itu,
bagi semua umat Islam di negara ini turut disarankan supaya mengelakkan sikap
membazir sebaliknya dalam bulan yang mulia ini, lebihkan bersedekah supaya
dapat membantu meringankan beban golongan yang kurang mampu.
Mereka lebih
memerlukannya berbanding kita yang seringkali duduk tersandar dan senak perut
akibat iftar yang berlebih-lebihan!
No comments:
Post a Comment