PENUH PENGHARAPAN....Allah sentiasa
membuka pintu pengampunan buat hamba-Nya supaya mereka bertaubat.
LAILATULQADAR
adalah malam yang penuh dengan rahsia. Hanya Allah mengetahui bila ia terjadi.
Rasulullah
s.a.w sangat menggalakkan umatnya mencari peluang beriktikaf pada 10 malam
terakhir Ramadan. Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “Carilah
malam lailatulqadar pada bilangan ganjil dalam tempoh sepuluh hari terakhir
bulan Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, At-Tarmizi dan Ibnu Majah).
Dalam
mengharapkan lailatulqadar, kita sepatutnya membuat persediaan ilmu supaya
dapat beramal ibadat dengan ikhlas kerana Allah.
Aisyah bertanya kepada Rasulullah : “Wahai Rasulullah, sekiranya aku berada pada lailatulqadar, apa yang aku perlu buat? Baginda menjawab: “Katakanlah: ‘Allahumma innaka ‘afuwun tuhibbu al-afwa fa’fu’anni (Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihi untuk mengampun, maka ampunilah aku).” (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah).
IKTIKAF...sunnah muakkad jika
dilakukan di bulan Ramadan terutama pada 10 malam terakhir.
Alangkah
bertuah mereka yang dapat ‘bertemu’ malam lailatulqadar kerana Allah
menjanjikan ganjaran pahala yang besar menyamai ibadah beriktikaf selama 1,000
bulan atau 83 tahun bagi orang yang beramal pada malam itu.
Imam Hasan al-Basri, berkata antara tanda malam lailatulqadar ialah suasana malamnya tenang, damai, tenteram, tidak panas dan tidak terlalu dingin.
Air laut juga kelihatan jernih, anjing tidak banyak menyalak dan matahari terbit pada keesokan paginya dengan sinar putih bersih dan cahaya yang redup.
Dalam Sahih Muslim dinyatakan pada malam lailatulqadar, 70,000 malaikat akan turun dari Sidratul Muntaha ke bumi.
Malaikat membawa rahmat Allah memasuki rumah serta memberi salam kepada orang Islam kecuali rumah yang mempunyai anjing, khinzir, arak dan patung.
Malaikat akan naik semula ke langit secara serentak dengan sayap puluhan ribu malaikat itu melindungi pancaran panas matahari menyebabkan suasana di bumi terasa dingin dan tenang.
Bagi yang menyedari tanda itu, mereka hendaklah meningkatkan amalan dan teruskan berdoa sepanjang hari.
Jangan dilupa, ibadah di bulan Ramadan ini bukan hanya untuk kita lakukan berseorangan. Ajak sekali ahli keluarga dan menunaikan solat sunat tarawih, membaca al-Quran, beristighfar dan berzikir.
Rasulullah menjadikan ahli keluarga sebagai keutamaan, malah berkongsi sesama ahlinya menghidupkan malam terakhir Ramadan. Tidak cukup juga bagi ibu bapa yang melaksanakan ibadah sedangkan anak dibiarkan terus leka dengan keseronokan.
Didikan yang betul pada peringkat awal usia anak menghadapi Ramadan menjadi asas penting bagi mereka beristiqamah dengan fahaman puasa sebenarnya bukan hanya sekadar berlapar dan dahaga saja.
Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad berkata, lailatulqadar adalah kurniaan istimewa daripada Allah untuk orang terpilih di kalangan umat Nabi Muhammad.
“Jika ia satu kurniaan, sudah tentu penerimanya perlu mempunyai hubungan baik dengan si Pemberi. Sesuatu yang istimewa tentulah diberi keutamaan kepada ‘penerima’ yang kenal rapat oleh si Pengurnianya.
“Analogi ini menyatakan, jika ingin bertemu dengan lailatulqadar, seseorang perlu merapatkan hubungan dengan Allah yang memberi anugerah di malam itu,” katanya.
Beliau berkata, tiada sumber sahih menjelaskan tanda lailatulqadar sebaliknya Nabi Muhammad memberi panduan supaya mencarinya di 10 malam terakhir Ramadan.
“Ia dorongan supaya kita berusaha keras beramal dalam tempoh itu moga-moga salah satu daripadanya adalah lailatulqadar.
“Hikmah Allah tidak menzahirkan lailatulqadar atau tandanya secara khusus untuk memastikan hamba-Nya beribadat kerana Allah bukannya sempena malam itu saja,” katanya.
Menurutnya, Allah menilai perbuatan hamba-Nya secara holistik dengan memberi ganjaran sejajar dengan apa yang mereka usahakan.
“Meningkatkan ibadah secara bermusim dengan mengharap ganjaran maksimum adalah telahan yang tidak menepati tuntutan Allah,” katanya.
Rahimi berkata, tidak dinafikan jiwa yang kotor menyebabkan seseorang hamba itu jauh daripada Tuhannya.
“Namun, Allah sentiasa membuka pintu pengampunan buat hamba-Nya supaya sentiasa bertaubat bagi membersih jiwa dengan beribadat.
“Tidak mustahil, malaikat membawa rahmat pada malam lailatulqadar akan mendekati golongan yang menghidupkan malamnya dengan bersungguh-sungguh,” katanya.
Beliau berkata, hamba Allah yang terpilih mendapat lailatulqadar itu terlalu istimewa di sisi Allah.
“Mereka sentiasa dalam peliharaan-Nya dari melakukan dosa, maksiat serta dijauhkan daripada hasutan iblis dan syaitan.
“Pemeliharaan itu boleh berlaku dalam pelbagai cara termasuk melalui malaikat ‘hafazah’ yang menjaga kehidupan hamba itu. Namun, mereka bukan maksum, cuma dorongan nafsu ke arah kejahatan itu semakin melemah,” katanya.
No comments:
Post a Comment