Hari ini
genap 21 hari kita menjalani ibadah puasa. Justeru, masih berbaki sembilan hari
lagi untuk kita sempurnakan ibadah puasa dengan memanfaatkan sebaik mungkin
sisa-sisa hari yang masih tinggal.
Ramadan awalnya adalah rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya adalah pembebasan daripada api neraka sewajarnya disempurnakan dengan melunaskan ibadah wajib serta memperbanyakkan lagi ibadah sunat bagi meraih ganjaran pahala berlipat kali ganda.
Pada fasa
sepuluh terakhir Ramadan, Allah SWT menyediakan malam yang lebih mulia
berbanding seribu bulan iaitu lailatulqadar. Pada malam inilah al-Quran
diturunkan untuk dijadikan sebagai panduan dan pedoman bagi seluruh umat Islam
mengemudi bahtera kehidupan di dunia.
"Carilah
lailatulqadar pada 10 malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak
mampu, janganlah dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki taujuh malam
terakhir"
Sebahagian
ulama berpendapat al-Qadar bermaksud pengagungan. Lailatulqadar bermaksud malam
yang memiliki keagungan kerana telah diturunkan al-Quran pada malam berkenaan,
turunnya malaikat, melimpah rahmat dan keampunan serta pada malam itu Allah SWT
ammenganugerahkan keagungan dan kemuliaan kepada mereka yang melakukan ibadah.
Mereka yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dan sentiasa istiqamah melakukan ibadah sepanjang Ramadan, pastinya mereka tidak akan terlepas untuk menemui malam lebih mulia daripada seribu bulan ini.
Baginda SAW bersabda: “Carilah lailatulqadar pada 10 malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki tujuh malam terakhir.” (Hadis riwayat Muslim)
Melewati sepuluh terakhir Ramadan, Rasulullah SAW akan mencari lailatulqadar dan menyeru sahabat Baginda supaya turut serta mencarinya dengan menghidupkan malam berkenaan beribadah (qiamullail).
Bahkan, Baginda juga akan mengejutkan ahli keluarganya dengan harapan supaya dapat memperoleh lailatulqadar yang penuh keistimewaan dan keberkatan.
Sesungguhnya
ibadah qiamullail adalah kegemaran Rasulullah SAW dan sahabat Baginda. Ummul
Mukminin Saidatina Aishah berkata: “Janganlah kamu meninggalkan ibadah
qiamullail kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya. Apabila Baginda
sakit atau keletihan, Baginda bersolat dalam keadaan duduk.”
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menghidupkan malam pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan kesedaran, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Diriwayatkan Saidina Umar al-Khattab mengerjakan solat malam sehingga sampai separuh malam. Kemudian beliau mengejutkan keluarganya supaya mendirikan solat dengan berkata: “Solat, solat” sambil membaca ayat 132 daripada surah Taha yang bermaksud: “Perintahkanlah keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu, malah Kami yang memberikan rezeki kepadamu. Kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.”
Sewajarnya
teladan yang ditunjukkan Rasulullah SAW dan sahabat Baginda dalam menghayati
Ramadan serta sepuluh malam terakhir dijadikan pedoman kepada seluruh umat
Islam hari ini.
Pedoman ditunjukkan Baginda jelas memberi gambaran betapa tinggi dan bernilai detik terakhir Ramadan yang sedang kita lewati saat ini. Mudah-mudahan masih belum terlambat untuk kita terus beristiqamah melaksanakan ibadah hingga ke penghujung Ramadan bagi memperoleh lailatulqadar.
Penulis
pegawai penyelidik Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar Institut Kefahaman Islam
Malaysia
No comments:
Post a Comment