TERDAPAT dua
kegembiraan yang jelas bagi umat Islam yang berpuasa di bulan Ramadan.
Kegembiraan ini tidak dapat dirasakan oleh mereka yang tidak berpuasa. Ia
adalah suatu kenikmatan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya yang
beriman dan beramal soleh.
Mencari
kegembiraan dalam kehidupan adalah sesuatu yang sukar ditemui. Kegembiraan bagi
orang yang berpuasa akan dinikmati oleh semua orang sama ada mereka itu
golongan kaya atau miskin. Nikmat kegembiraan ini sama dirasakan oleh hati dan
perasaan.
Bagi
menjelaskan kegembiraan ini, daripada Abi Hurairah dan Abi Sa'id sesungguhnya
Allah berfirman: Sesungguhnya puasa bagi-Ku dan Aku yang membalasnya dan
sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka
nescaya kegembiraan dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa
Muhammad di tangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah
daripada bau kesturi. (riwayat Imam Ahmad, Muslim dan al Nasai).
Hadis qudsi
ini menggambarkan kemuliaan orang yang berpuasa semata-mata kerana Allah SWT
yang sudah pasti mendapat pembalasan daripada-Nya. Kegembiraan apabila
seseorang itu berbuka puasa dapat dibayangkan betapa nikmatnya setelah sehari
suntuk berlapar dan dahaga, waktu berbuka dapat menikmati hidangan dan makanan
yang disediakan.
Orang yang
berpuasa juga akan merasa gembira sewaktu berbuka. Ini disebabkan waktu itulah
mereka dapat berkumpul bersama keluarga dan makan bersama-sama semasa berbuka.
Pelbagai juadah yang disediakan mengikut kemampuan dapat dinikmati setelah
sehari suntuk berpuasa.
Seterusnya
orang yang berpuasa genap sebulan Ramadan akan mendapat kegembiraan berhari
raya iaitu Hari Raya Aidilfitri. Pada hari raya mereka dapat menikmati pelbagai
juadah dan makanan kuih muih yang disediakan.
Mereka juga
dapat mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan keluarga, sanak saudara dan
jiran tetangga pada hari raya. Kegembiraan ini adalah manifestasi daripada
berbuka puasa yang konsepnya lebih besar dan luas.
Ibnu Jauzi
menyatakan, hari raya mempunyai persamaan dengan hari akhirat.
Ketika mereka
telah terbangun daripada tidur panjang mereka dan berduyun-duyun menuju
perayaan, seperti orang-orang yang telah mati keluar dari kuburnya
masing-masing menuju tempat mereka berkumpul. Ada di antara mereka yang
mengenakan perhiasan dan menaiki kenderaan serba mewah. Ada juga yang kelasnya
menengah dan ada pula kelas rendah untuk menemui Allah SWT.
Allah SWT
berfirman yang bermaksud: Mereka itulah orang-orang yang didekatkan (kepada
Allah). (al Waaqi'ah: 11).
Kegembiraan
seterusnya adalah orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan takwa akan
dapat bertemu dengan Allah SWT pada hari akhirat nanti. Kegembiraan ini telah
dijanjikan oleh Allah SWT sebagai balasan atas amalan puasanya.
No comments:
Post a Comment