ALHAMDULILLAH acara ibadat haji dan musim haji telah bermula
dengan masuknya Syawal dan para jemaah sibuk dengan persiapan terakhir sebelum
berangkat menuju ke rumah Allah.
Untuk isu kali ini, penulis diamanahkan untuk membincangkan tentang
kelebihan Mekah. Bagi memahami isu ini, penulis membincangkan melalui beberapa
noktah agar mudah difahami.
* Nama: Kota Mekah mempunyai banyak nama. Ini
menandakan lebihnya Kota Mekah terutamanya apabila gelaran yang melambangkan
kebaikan dan kehebatan diberikan kepadanya.
Mekah ertinya membinasakan atau mengurangkan. Dinamakan Mekah
kepada Tanah Haram Mekah seluruhnya, kerana Mekah mengurang dan menghapuskan
dosa orang yang datang kepadanya atau membinasakan orang yang melakukan
kezaliman di Mekah atau kerana Mekah menghapuskan pemerintah yang zalim dan
menundukkan kesombongan mereka.
Seperkara lagi nama kota ini dirakamkan dalam nas al-Quran
dan hadis dan sudah pasti ia akan diabadikan di sepanjang zaman kehidupan
manusia.
* Sejarah: Kota Mekah mempunyai sejarah yang cukup
istimewa, antaranya ia merupakan sejarah rumah Allah yang pertama didirikan
untuk manusia. Sejarah kehidupan Hajar dan Ismail sebagai manusia yang membuat
pembaharuan semula bagi Kota Mekah amatlah unik. Seterusnya catatan kehebatan
Mekah berlangsung daripada generasi terdahulu hingga kini.
* Karamah: Penulis maksudkan dengan kemuliaan yang
Allah wujudkan pada Kota Mekah, sama ada dinaskan dalam al-Quran dan hadis. Hal
ini jelas dengan rakaman firman Allah SWT berkenaan Ashabul Fil. (rujuk al-Fil:
1-5)
* Tawaran pahala. Terlalu banyak tawaran pahalanya dan
digandakan berbanding tempat lain. Ini terbukti dengan banyak nas seperti solat
di Masjidil Haram di beri ganjaran 100,000 berbanding masjid lain. Begitu juga
dengan pahala tawaf, umrah, hatta melihat Kaabah.
Oleh itu, semestinya jemaah haji tidak melepaskan peluang
melakukan ibadat dengan sebaik mungkin dan sebanyak mungkin.
Keistimewaan Mekah
* Telaga Zam Zam di mana airnya adalah antara yang
terberkat di muka bumi. Mempunyai pelbagai kelebihan dan mengikut niat
seseorang yang meminumnya akan diberikan dengan izin Allah. Hal ini dinaskan
dalam hadis. Wujudnya tempat-tempat yang ada nilai berbanding dengan yang lain
seperti Makam Ibrahim, Hijr Ismail, Hajar Aswad, Multazam dan lain-lain.
* Mekah sebagai Tanah Haram. Dalam sebuah riwayat
Muslim, menyebut Rasulullah SAW bersabda: Daripada Ibnu Abbas RA, bahawa
Rasulullah SAW bersabda pada hari pembukaan Kota Mekah: Sesungguhnya Negeri
Mekah ini dijadikan Allah SWT sebagai Tanah Haram ketika Dia menciptakan langit
dan bumi. Mekah ialah tanah haram dengan pengharaman daripada Allah sehingga ke
hari kiamat. Tidak dibenarkan berperang di Mekah kepada sesiapa pun sebelumku,
dan tidak dibenarkan kepadaku kecuali beberapa masa sahaja (pada hari pembukaan
Kota Mekah tahun ke 8 Hijrah).
Mekah ialah Tanah Haram dengan pengharaman daripada Allah
sehingga ke hari kiamat. Tidak boleh memotong pohon, tidak boleh menangkap
binatang pemburuan (yang hidup bebas), tidak boleh mengambil barangan yang
tercicir kecuali mereka yang mahu mengumumkannya kepada orang ramai dan tidak
boleh mengerat rumput di Mekah. Kata al-Abbas( bapa saudara Rasulullah):
"Kecuali Izkhir (sejenis tumbuhan yang harum baunya) untuk dibuat bahan
bakar kepada tukang besi dan dibuat atap rumah. Jawab Rasulullah SAW:
"Kecuali Izkhir.
* Tidak dimasuki Dajjal. Hal ini berdasarkan hadis
dalam Sahih Bukhari Rasulullah SAW bersabda: Semua negeri akan dimasuki oleh
Dajjal kecuali Mekah dan Madinah, semua jalan masuk dikawal oleh para malaikat
yang berbaris-baris, kemudian Madinah akan bergoncang sebanyak tiga kali. Dan
Allah SWT akan mengeluarkan semua orang kafir dan munafik darinya.
* Mendapat keamanan. Ini kerana telah diisytiharkan
Allah SWT. Al-Maghari berkata seluruh bangsa Arab sepakat untuk menghormati dan
memuliakan Baitullah ini. Sesiapa yang masuk ke dalamnya pasti berasa aman
daripada gangguan penganiayaan orang lain, pembunuhan atau pelanggaran
kehormatannya, selama mereka berada di dalamnya. Amalan kebiasaan ini telah
berjalan sejak zaman jahiliah.
* Melakukan ibadah sunat sepanjang masa. Walaupun ia
tidak disepakati oleh para ulama tetapi mengikut mazhab Syafie dan Hambali ia
boleh dilakukan solat sunat dan tawaf pada bila-bila masa. Tetapi mengikut
mazhab Hanafi dan Malik hukum Mekah sama seperti tempat lain tanpa bezanya ini
berdasarkan kepada perbuatan Saidina Umar.
* Kaabah. Ia adalah Baitullullah al-Haram dan kiblat
umat Islam. Berkenaan dengan kelebihannya tiada syaknya lagi berdasarkan nas
al-Quran yang bermaksud: Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangunkan untuk
manusia ialah Baitullah sebagai tempat ibadat yang berada di Bakkah (Mekah)
yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi semua manusia.
Penulis suka menyatakan bahawa Allah SWT menjadikan hati-hati
manusia merinduinya dan mewajibkan ke atas hamba-hambanya yang mampu agar
mengunjunginya dengan dijanjikan pahala yang berganda-ganda, juga memberi
amaran daripada melakukan kejahatan ketika berada di dalamnya.
Allah SWT telah menyebutnya dalam al-Quran, Rasulullah SAW
seringkali menyebutnya dalam hadis serta para ulama dan ahli sejarah telah
banyak menulis mengenai sejarah Mekah yang tua ini. Amin.
No comments:
Post a Comment