SYUKUR tidak
terhingga kita panjatkan ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izin-Nya, kita
dapat melangkah masuk ke fasa kedua Ramadan iaitu fasa keampunan.
Dengan
hayunan langkah yang masih bersemangat, kita perlu melaksanakan tuntutan Allah
bukan setakat ibadat puasa saja, malah meningkatkan ibadat sunat lain seperti
Tarawih, qiyammulail, zikir, doa dan beristighfar.
Lazimnya,
semakin lama berpuasa, semakin kuranglah jemaah di masjid dan surau.
Bilangan saf kian menyusut. Di mana istiqamah kita, baru separuh jalan, belum pun sampai ke-10 malam terakhir, sudah rasa pancit dan letih?
Sewajarnya,
kita perlu sentiasa menyuburkan semangat, meningkatkan mujahadah kita hari demi
hari sehinggalah tiba ke-10 malam terakhir.
Setiap hari
ada peningkatan dalam amal kita, pembacaan dan tadabbur al-Quran seiring dengan
puasa yang dijalankan. Jika merasakan semangat semakin berkurangan, janganlah
dituruti sangat kehendak hawa nafsu itu.
Basahi diri dengan wuduk, dekati al-Quran dan bacalah buku atau peringatan yang berguna bagi membangkitkan semula motivasi diri.
Kurangkan tidur yang berlebihan pada siang hari.
Ia sebenarnya menyebabkan kita berasa tidak bermaya pada malamnya dan payah untuk qiyammulail! Masa terluang pada waktu siang atau malamnya kita janganlah isi dengan perkara yang lagha (sia-sia) seperti menonton rancangan televisyen yang tidak sesuai kerana di situ tak terjaga mata dan telinga kita lantas akan mempengaruhi jiwa serta melunturkan semangat ibadah.
Lihatlah rancangan bercorak keagamaan yang dapat memberi peringatan kepada diri. Rasulullah s.a.w sentiasa berzikir pada setiap pagi dan petang serta melakukan solat sunat.
Seperti kata Zun Nun Misri: “Salah satu tanda cinta seseorang kepada Allah ialah mutabaah (mengikuti) kekasih-Nya (Rasulullah) dalam akhlak, perbuatan, perintah dan sunahnya.
Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 31 yang bermaksud: “Katakanlah, jika kamu benar-benar mencintai Allah maka ikutilah aku, pasti Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.”
Lebih-lebih lagi pada fasa kedua Ramadan, bagi mengharapkan maghfirah Allah, perlulah lakukan amalan yang disukai Allah supaya diampunkan dosa kita.
Sesungguhnya tinggi rendahnya kedudukan seorang mukmin diukur dengan kekuatan ittiba’ (mengikuti) sunah Rasul, ertinya banyaknya sunah Rasul yang dibuatnya, semakin tinggilah kedudukannya di sisi Allah.
Bagaimanakah agaknya kita rasakan apabila kehilangan sesuatu yang kita sayangi seperti harta dan wang ringgit atau lebih-lebih lagi kehilangan orang tersayang seperti anak, isteri atau suami?
Tidak diketahui di mana mereka berada, mungkin diculik, tersesat dan sebagainya. Aduh, sudah tentu jiwa tidak keruan, sedih pilu, mencari ke sana ke mari bagai orang gila, iklankan di dalam media massa, sanggup melakukan apa saja untuk mencari mereka.
Tapi adakah sama kita rasai dengan banyaknya hilang sunah Rasul dalam kehidupan kita? Kita kurang peduli, tidak bersusah payah untuk mengamalkannya semula dalam kehidupan seharian kita!
Ini kerana dalam hati tidak sama rasa kasih dan sayang kita seperti kita sayang kepada harta, wang ringgit dan orang kesayangan kita.
Kita lebih sayangkan perkara itu daripada Allah dan Rasul! Sedangkan sebagai Muslim Mukmin, kita sepatutnya mengasihi Allah dan Rasul melebihi segala yang ada di dunia ini.
Memang sukar kita untuk melakukan perkara itu kalau hati tidak terikat erat dengan Allah dan Rasul. Jika mengamalkan sunah itu, ditawarkan ganjaran wang lumayan sudah tentu ramai orang bersemangat melakukannya.
Namun ganjaran daripada Allah ghaib sifatnya, tak nampak depan mata. Maka balasan syurga yang penuh nikmat itu tidak menarik minat manusia kerana kecintaan mereka tebal pada dunia yang melalaikan!
Itulah penyakit umat Islam akhir zaman ini yang cintakan dunia dan takutkan mati. Kita perlu cari jalan bagaimana nak tanam cinta kita pada Allah dan Rasul.
Seperti kita hendak menanam pokok, untuk menjadikannya hidup subur, ia perlu daripada benih yang baik, ditanam di tanah subur, disirami air dan dijaga sehingga mengeluarkan hasil.
Begitu juga benih keimanan, ia perlu ditanam di tempat yang subur iaitu di dalam hati yang bersih supaya menjadi pohon iman dan seterusnya membuahkan kecintaan kepada Allah dan Rasul.
Setiap usaha yang dilaksanakan perlu diatur semuanya ke arah mencari keredaan Allah. Itulah pegangan paling tepat untuk dijadikan benteng seorang Muslim melayari kehidupan pada akhir zaman yang penuh dengan fitnah ini.
Pada setiap episod kehidupan ada suka dan duka, bahagia atau celaka, sedih dan pilu, sihat atau sakit, gembira dan kecewa. Apa yang penting pada setiap episod, kita lulus ujian jika semuanya dikaitkan dengan ketentuan Allah dan menanganinya mengikut apa yang digariskan-Nya.
Renungilah firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 138 yang bermaksud: “Sibghah Allah, dan siapakah yang lebih baik sibghahnya daripada Allah? Hanya kepada-Nya, kami menyembah.”
Namun apabila kita mengikuti jalan lain dalam kehidupan ini dan hanya menuruti nafsu, sebenarnya kita gagal dalam ujian itu! Akibat kegagalan cukup menyeksakan walaupun kita punya gedung mewah dan banyak harta!
Tiada ketenangan abadi dalam hidup ini walaupun kita cuba membelinya dengan kemewahan. Firman Allah dalam surah Al-A’la ayat 16-17 yang bermaksud: “Tetapi kamu memilih kehidupan dunia, sedangkan kehidupan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal.”
Satu kerugian apabila kita ‘menggadai’ akhirat yang kekal abadi dengan tuntutan dunia yang sementara! Semua itu berlaku akibat butanya mata hati yang tidak nampak jalan kebenaran.
Hati buta kerana ia diselaputi dosa demi dosa sehingga tidak nampak jalan!
Nauzubillahi minzaalik! Jadi, perkara yang wajib dilakukan setiap hamba Allah dalam menjalani kehidupan adalah mengikuti semua yang diperkatakan Allah melalui Rasulullah.
Melaksanakan keseluruhan syariat Islam tanpa ada yang tertinggal. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 108 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya (mematuhi segala hukum-hukum Islam) dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.”
Mudah-mudahan Allah membantu kita melayari kehidupan ini berbekalkan taufik dan hidayah-Nya. Sama-sama kita pasrahkan jiwa hanya kepada-Nya.
No comments:
Post a Comment