DI antara
keistimewaan Nabi Muhammad SAW yang mendapat perhatian dan pengkajian di
kalangan ahli ilmu ialah tentang kemampuan baginda menjamin tanah syurga.
Keistimewaan ini telah disebut oleh al Hafiz al Suyuti, al Qustallani dan al Zurqani
dalam syarahnya bagi kitab al Mawahib al Ladunniyyah. Perkara sedemikian
pernah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya: "Aku hanyalah
pembahagi dan Allahlah Pengurnia."
Jika pepatah
syurga di bawah telapak kaki ibu itu benar, mengapa tidak benar kenyataan yang
menegaskan bahawa syurga itu di bawah titah Nabi Muhammad SAW? Bahkan di bawah
telapak kaki baginda? Walau bagaimanapun, maknanya adalah sama dan diketahui
sesiapapun, meskipun bagi orang yang mempunyai serendah-rendah ilmu.
Ia merupakan
ungkapan majazi (kiasan) yang bermaksud, untuk sampai ke syurga, mesti
melalui jalan melakukan kebaikan dan berkhidmat kepada kedua ibu bapa, terutama
kepada ibu. Jika ia dinisbahkan kepada nabi SAW, bererti untuk memasuki syurga
disyaratkan supaya mentaati, mengasihi dan menyokong baginda.
Jaminan
Makna
menjamin tanah syurga ialah Nabi SAW menjadi penjamin masuknya sebahagian para
sahabat ke dalam syurga. Jaminan ini telah diperoleh oleh orang-orang yang
menyaksikan Perjanjian 'Aqabah.
Ubadah ibnu
Somit r.a. meriwayatkan dengan katanya: "Saya termasuk di antara orang
yang menghadiri Perjanjian 'Aqabah yang pertama. Dalam perjanjian tersebut,
kami membai'ah Rasulullah SAW untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatupun,
tidak mencuri, tidak berzina, tidak akan membunuh anak-anak kami, tidak akan
melakukan pendustaan besar yang kami ada-adakan di antara kami dan tidak akan
menderhakai Nabi SAW."
Baginda SAW
bersabda: "Jika kalian menyempurnakan bai'ah ini, maka bagi kalian syurga.
Tetapi jika kalian mengingkari sesuatu daripada itu, maka urusan kalian
diserahkan kepada Allah, jika Dia menghendaki Dia akan menyeksa kalian dan jika
Dia berkenan, Dia akan mengampuni kalian."
Dalam sahih
Muslim disebutkan dengan jelas bahawa bai'ah tersebut disertakan dengan jaminan
masuk syurga. 'Ubadah ibn Somit RA berkata: "Saya termasuk di antara
pemimpin yang membai'ah Rasulullah SAW."
'Ubadah
berkata lagi: "Kami membai'ah Rasulullah SAW untuk tidak lagi menyekutukan
Allah dengan sesuatupun, tidak mencuri, tidak berzina, dan tidak membunuh jiwa
yang diharamkan oleh Allah, kecuali dengan jalan yang hak, tidak merampas dan
tidak menderhaka. Kami dijanjikan syurga jika kami melakukan perkara-perkara
tersebut."
Dalam satu
riwayat disebutkan bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesiapa menyempurnakan
bai'ahnya, maka baginya balasan syurga."
Menurut
riwayat Qatadah r.a., mereka yang berbai'ah itu berkata: "Wahai
Rasulullah! Apa hak kami jika kami memenuhi bai'ah itu?" Baginda menjawab:
"Syurga."
Menurut
riwayat Ibnu Mas'ud r.a., bahawa Nabi SAW bersabda: "Apabila kamu telah
melaksanakan (bai'ah) itu, maka bagi kamu hak Allah dan aku untuk memasukkan
kamu ke dalam syurga."
Diriwayatkan
daripada Abdullah ibnu 'Abbas r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda:
"Disediakan bagi para nabi mimbar khusus daripada cahaya, mereka semua
duduk di atasnya. Yang tinggal (kosong) cuma mimbar saya. Iaitu saya tidak
duduk di atasnya, tetapi saya berdiri di hadapan Tuhan dalam keadaan bimbang
jika saya diutuskan ke syurga, sedangkan umat saya masih tercicir. Maka saya
berkata "Wahai Tuhan! Umat saya, umat saya!" Allah berfirman:
"Wahai Muhammad! Apakah yang engkau ingin Aku lakukan terhadap
umatmu?" Saya pun menjawab: "Wahai Tuhan saya! Percepatkanlah hisab
mereka." Lalu mereka pun dipanggil, kemudian dihisab. Di antara mereka,
ada yang masuk ke dalam syurga dengan rahmat-Nya dan ada yang masuk ke dalam
syurga dengan berkat syafaat.
Maka saya
terus memberi syafaat sehinggalah saya memberikan tiket masuk ke syurga untuk
beberapa orang yang telah dihalau masuk ke dalam neraka. Sehinggakan Malik
malaikat penjaga neraka berkata: "Wahai Muhammad! Engkau tidak sekali-kali
meninggalkan pada umatmu suatu peluang bencana (azab) pun untuk kemurkaan
Tuhanmu."
No comments:
Post a Comment