RASULULLAH
SAW telah ditaklifkan oleh Allah SWT sebagai Nabi dan Rasul yang terakhir.
Taklifan dan bebanan tanggungjawab yang perlu dibawa oleh baginda ini tentunya
lebih berat kerana menjadi penyempurna dan pelengkap kepada ajaran syariat-syariat
terdahulu.
Sebagai umat
kepada Nabi akhir zaman, kita perlu menerima hakikat bahawa umur yang
diperuntukkan oleh Allah SWT terlalu singkat berbanding umat-umat terdahulu.
Rata-rata umur umat Rasulullah SAW ialah 60 hingga 70 tahun sebagaimana yang
diriwayatkan dalam hadis yang bermaksud; "Umur umatku di antara 60
sehingga 70 tahun. Dan sedikit sahaja di kalangan mereka yang melebihi tempoh
tersebut." (riwayat al-Hakim Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Peruntukan
umur ini jelas terlalu singkat berbanding umur umat-umat terdahulu. Sebagai
contoh, tempoh Nabi Nuh a.s berdakwah mencecah 950 tahun sebagaimana yang
tercatat dalam al-Quran. (rujuk al-Ankabut: 15)
Menurut Imam
Ibnu Kathir dalam tafsirnya, Allah SWT menurunkan ayat ini sebagai motivasi
kepada Rasulullah SAW agar tidak berdukacita dan berputus asa dengan
penentangan kafir Quraisy kerana Nabi Nuh a.s sendiri terpaksa berhadapan
dengan penentangan kaumnya walaupun telah melakukan dakwah selama 950 tahun.
Namun, hanya segelintir sahaja yang beriman kepada Baginda. Tempoh tersebut
hanyalah jangka masa berdakwah, tidak termasuk jangkauan umur baginda yang
sebenar, mungkin melebihi 1,000 tahun. Wallahu a'lam.
Jelas di
sini bahawa jika dibandingkan dari sudut masa dan tempoh hidup, tentunya umat
Nabi SAW mempunyai ruang yang terlalu sedikit. Bukan itu sahaja, apabila berada
di penghujung zaman, masa seakan-akan cepat serta pantas berlalu.
Lihat sahaja
kepada hadis Nabi SAW yang menggambarkan fenomena ini pasti berlaku di akhir
zaman. Sabda Rasulullah SAW: "Tidak akan berlaku kiamat sehingga masa
menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan
seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan
seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api."
(riwayat Tirmidzi)
Dalam
kerangka untuk berhadapan dengan kondisi umur pendek dan masa singkat ini, Nabi
SAW telah berpesan kepada Ibn Umar r.a: Hiduplah engkau di dunia seolah-olah
engkau seorang perantau atau musafir lalu. (riwayat al-Bukhari)
Apabila
seseorang itu seimbas berfikir, seiring dengan kedangkalan ilmu, dia akan
merasakan kerugian menjadi umat Nabi akhir zaman. Umur yang pendek hanya
memberikan ruang yang sedikit kepada umat Nabi SAW untuk melakukan ibadah.
Begitu juga masa yang pantas berlalu akan menyebabkan umat Islam tergesa-gesa
dalam melakukan ibadah serta kerja-kerja sehariannya.
Namun,
sekiranya diamati dengan sebenar-benarnya, rupa-rupanya di sana terdapat hikmah
yang terlalu tinggi di sebalik kondisi umat akhir zaman ini.
Umur yang singkat
dan masa yang pantas sebenarnya akan menjadikan manusia yang benar-benar
beriman tidak mempunyai waktu untuk melakukan maksiat dan dosa.
Ini kerana
waktu yang ada semuanya dimanfaatkan untuk mengerjakan ketaatan kepada Allah
SWT. Tidak pernah amal ibadah yang dilakukannya diselangi dengan maksiat kepada
Allah SWT. Umur yang singkat juga dimanfaatkan benar-benar untuk memastikan
kehidupannya menuju ke syurga Allah SWT.
Orang yang
mempunyai kesedaran sebegini, tidak akan mempersia-siakan masa sebagaimana
kebanyakan manusia yang lain. Sabda Rasulullah SAW: Terdapat dua kenikmatan
yang kebanyakan manusia mensia-siakannya (terhalang daripada mendapat kebaikan
dan pahala) di dalamnya, iaitu kesihatan dan waktu lapang. (riwayat
Al-Bukhari)
No comments:
Post a Comment