AL-QURAN
sebagai kalamullah telah mengabadikan Rasulullah SAW sebagai utusan Allah dan
penutup sekelian nabi. Sebagai nabi terakhir, baginda merupakan uswatun
hasanah dan menjadi contoh teladan yang baik kepada umatnya.
Dalam ibadat
puasa Ramadan, Rasulullah telah menunjukkan teladan yang terbaik untuk diikuti
oleh umatnya. Rasulullah SAW telah bersabda dalam sebuah hadis baginda yang
bermaksud: "Apabila seorang daripada kamu sekelian berpuasa, maka
janganlah ia berkata kotor dan berteriak. Bila dicela orang lain atau dimusuhi,
maka katakanlah, sesungguhnya aku ini sedang berpuasa.
Sebagaimana
penjelasan baginda Rasulullah sendiri bahawa orang yang berpuasa itu pada hari
kiamat nanti bau mulutnya akan lebih harum daripada bau kasturi.
Sama-sama
kita renungi beberapa tatacara dan adab puasa yang telah diamalkan oleh baginda
sebagai teladan dan iktibar untuk diikuti oleh semua umatnya.
Dalam
penyempurnaan ibadat puasa Ramadan, beberapa langkah yang telah diambil oleh
baginda antaranya ialah;
l Memantapkan
niat - Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang tidak
menetapkan akan berpuasa sebelum fajar, maka tidak sah puasanya." (riwayat
Abu Daud dan Ibnu Majah)
l Melaksanakan
makan sahur - Anas bin Malik r.a. berkata telah bersabda Rasululla
SAW yang bermaksud: Sahurlah kamu sekelian, sesungguhnya dalam sahur itu ada
keberkatannya. (riwayat Muslim). Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani yang
dimaksudkan dengan berkat itu ialah ganjaran pahala daripada Allah. Sahur
akan menguatkan lagi semangat dalam berpuasa serta dapat membantu seseorang itu
untuk melakukan apa juga bentuk ibadat sepanjang ibadat puasa dilaksanakan.
l Imsak
Rasulullah - Rasulullah SAW bersabda: "Apabila salah seorang
daripada kamu mendengar azan Subuh padahal bekas minuman masih di tangannya,
maka janganlah ia meletakkannya sehingga dia menyelesaikan meminumnya. (riwayat
Abu Daud dan Ibnu Majah). Keadaan yang digambarkan oleh hadis tersebut ialah
kepada seseorang yang terlewat ketika bangun untuk makan sahur.
l Mempercepat
berbuka - Sahl bin Saad berkata sesungguhnya Rasulullah SAW telah
bersabda: Telah berfirman Allah Taala "hamba-hamba-Ku yang lebih aku
cintai ialah mereka yang segera berbuka puasa bila tiba masanya" (riwayat
Tirmizi dan Abu Hurairah).
l Memperbanyak
membaca al-Quran - Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Orang-orang yang berkumpul di masjid dan membaca al-Quran, maka kepada mereka
Allah akan menurunkan kelemahan batin dan limpahan rahmat. (riwayat
Muslim). Barang siapa yang membaca satu huruf al-Quran, maka pahala untuknya 10
kali ganda. Namun membaca dalam konteks hadis di atas adalah ketenangan dan
limpahan rahmat akan lebih mudah dicapai bila tadarus diertikan dengan
mempelajari, menelaah dan menikmati al-Quran.
l Memperbanyak
sedekah - Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan
Ramadan. Bersedekah bukan hanya memberi wang tetapi termasuklah mengajak orang
lain berbuka puasa di rumah kita terutama kepada golongan fakir miskin.
Orang yang
berpuasa wajib meninggalkan akhlak yang buruk. Segala tingkahlaku mestilah
mencerminkan budi yang luhur dengan menjauhi kelakuan tidak sopan seperti
mengumpat, mengeji dan sebagainya sehingga membawa kepada Allah tidak menerima
amalan puasanya itu.
Rugi rasanya
jika kita membiarkan Ramadan yang sedang kita tempuhi ini berlalu begitu saja
sedangkan ganjaran yang sedang menanti adalah terlalu banyak. Lakukan sesuatu
yang terbaik di sisi Allah kerana pada setiap malan bulan Ramadan ada suara
yang memanggil, "Wahai
orang yang melakukan kebajikan terus tingkatkan apa yang kamu lakukan itu.
Wahai orang yang lalai, hentikanlah segera akan kelalaian yang sedang engkau
lakukan. Mudah-mudahan Allah akan menunjukkan kita semua jalan yang lurus,
menghapuskan dosa dan memasukkan kita dalam golongan manusia yang bebas dari
api neraka."
No comments:
Post a Comment