expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Saturday, 11 August 2012

Kes Ghaddar ditunda Khamis




Kelana Jaya: Peluang penyerang import Kelantan, Mohammed Ghaddar untuk beraksi dalam perlawanan awal saingan Piala Malaysia masih menjadi tanda tanya selepas proses perbicaraan berkaitan kes ‘kekasaran’ yang dilakukannya terhadap pemain Selangor, Bunyamin Umar, ditunda pada Khamis ini. 


Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Taufik Abdul Razak, berkata perbicaraan itu terpaksa ditunda bagi memberi peluang Ghaddar membela diri. 


“Dalam kejadian itu, ia berlaku di tengah padang antara beliau dan Bunyamin. Jadi kehadiran beliau adalah amat penting untuk memberi keterangan dan membela diri. 


“Kita ada menerima surat daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) petang semalam (kelmarin) untuk memohon kes ini ditunda. 


“Selepas dinilai, kita perlu memberi peluang kepada Ghaddar untuk hadir pada perbicaraan itu,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, semalam. 


Penjaring terbanyak skuad The Red Warriors itu terpaksa menangguhkan kepulangan ke Kota Bharu, Ahad lalu berikutan bapa saudaranya meninggal dunia serta baru mendirikan rumah tangga. 


Berikutan itu KAFA menghantar surat kepada FAM bagi memaklumkan pemain berkenaan tidak dapat hadir pada perbicaraan itu bagi memberi peluang menyelesaikan urusan peribadi di negaranya. 


Ghaddar yang dijangka tiba pada Isnin ini bakal berdepan tindakan digantung tiga perlawanan dan denda RM1,500 jika sabit kesalahan, selain kemungkinan terlepas aksi awal Piala Malaysia yang bermula 22 Ogos ini. 


Sebelum ini, Bunyamin dan seorang lagi pemain Red Giant, Amri Yahyah dikenakan tindakan selepas mengaku bersalah mengasari Ghaddar pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mohammad IV, Kota Bharu, 29 Jun lalu. 


Taufik berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap Ghaddar sekiranya pemain itu gagal hadir pada perbicaraan Khamis ini. 


“Khamis ini adalah peluang terakhir untuk pemain itu. Kalau masih tidak dapat hadir ke jawatankuasa tatatertib, kami tiada pilihan lain dan terpaksa menjatuhkan hukuman,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com