expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday, 27 June 2012

Jaafar dianugerahi sayap























kisah ketiga-tiga pahlawan Islam terbilang Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Talib dan Abdullah bin Abi Rawahah mesti dihayati dan dicontohi oleh umat Islam hari ini. - Gambar hiasan 



SAMBIL menunggang seekor kuda, Jaafar bin Abi Talib terus menyerang pihak lawan habis-habisan, walaupun di hadapannya selautan tentera musuh. Malah Jaafar sedikit pun tidak gentar kecuali dia terus mengamuk, melibas dan menetak pihak musuh sehingga tidak dikira jumlahnya, mati ditangan Jaafar. 


Melihatkan amukan Jaafar itu, pihak musuh terpaksa menumpukan perhatian mereka terhadap pahlawan Islam ini. 


Lalu mereka beramai-ramai mengepung Jaafar yang menyebabkan sepupu Rasulullah ini tersekat tidak dapat bergerak ke mana-mana. 


Begitupun Jaafar tetap memberikan tentangan hebat sehinggalah kudanya jatuh kerana terkena tikaman pihak musuh.


Jaafar segera bingkas dan bangun berlari ke medan tempur yang lebih lapang dan sedia berlawan satu lawan satu dengan pihak musuh. 


Akibat terlalu rapat dikepung, Jaafar yang masih teguh memegang bendera Islam tidak lagi boleh bergerak walaupun setapak ke hadapan. Akhirnya, tangan kanannya yang memegang bendera dicantas sehingga putus.


Bagaimanapun tangan kiri Jaafar segera menyambar bendera Islam daripada jatuh ke tanah. Tidak lama kemudian tangan kiri itu pula dilibas hingga putus oleh pihak musuh. 


Kini Jaafar kehilangan kedua-dua belah tangannya namun tetap dipertahankan bendera Islam itu dengan dikepit pada siku dan dadanya. 


Langsung tidak menghiraukan kecederaan parah yang dialaminya, Jaafar terus memberikan kata-kata semangat dengan suara yang kuat dan lantang sehingga boleh didengari oleh semua orang supaya tentera Islam meneruskan perjuangan tanpa menghiraukan nasib yang bakal menimpa dirinya. 


Kata-katanya itu lebih menyakitkan hati tentera musuh. Mereka terus bertindak ganas terhadap Jaafar dengan menyerang beliau bertubi-tubi sehingga akhirnya, Jaafar tersungkur ke bumi dengan keadaan badannya terbelah dua. 


Lalu syahidlah Jaafar, pahlawan Islam yang telah membunuh beratus-ratus tentera musuh dalam usia yang masih muda, iaitu 33 tahun.


Namun telah banyak diriwayatkan dalam sejarah bahawa sebaik sahaja Jaafar gugur syahid itu, Allah telah menggantikan kedua-dua belah tangannya yang putus itu dengan sepasang sayap berhias permata yakut dan terus terbang menuju ke syurga milik-NYA. 


Maka Jaafar lebih dikenali dalam sejarah sebagai Jaafar At Tuyyur (Terbang ke Syurga) atau Jaafar Dhu Al Jinahayn (empunya sepasang sayap). Begitulah balasan besar Allah ke atas pengorbanan Jaafar dalam mempertahankan Islam. 


Ketika ditemui, dikatakan terdapat lebih 90 liang luka pada jasad Jaafar akibat tikaman tombak, pedang dan dipanah musuh. 


Namun, saat itu juga Jaafar telah berada di syurga dan Rasulullah sendiri mendapat khabar berita mengenai kematian Jaafar itu melalui malaikat Jibrail.
Lalu Rasulullah segera mengunjungi rumah Jaafar dan menemui isteri Jaafar, Asma binti Umais.


"Wahai Asma, di mana anak-anak kamu, Muhammad, Abdullan dan Auf, bawalah mereka semua kepadaku," tanya Rasulullah.


"Wahai Pesuruh Allah, apakah ada sebarang berita mengenai suamiku, Jaafar sampai kepada kamu?" balas Asma.


Sambil memeluk ketiga-tiga anak lelaki Jaafar yang tidak mengerti apa-apa itu, baginda menangis dan dengan suara yang tersekat-sekat kesedihan baginda lantas berkata: "Jaafar kini sudah syahid wahai Asma pada jalan Allah. Dia kini berada di samping-Nya di syurga atas segala pengorbanannya memerangi pihak musuh tanpa sebarang perasaan gentar dan takut.


"Tetapi janganlah kamu meraung dan meratap sehingga menepuk dada, kepala dan mengoyakkan pakaian akibat terlalu sedih," kata baginda. 


Baginda memberi panduan kepada isteri Jaafar dan semua pengikut yang lain supaya tidak meratapi kematian seperti kebiasaan adat orang Arab dahulu kala.Sedangkan Rasulullah sendiri berasa sangat sedih atas kematian sepupunya itu tetapi memadai dengan menitiskan air mata dan bersabar. 


Manakan tidak, dahulu baginda yang paling gembira menyambut kepulangan Jaafar yang berhijrah ke Habsyah dan kini telah gugur di medan perang. 


Pertalian rapat antara mereka digambarkan seperti antara sahabat yang paling mirip kepada baginda daripada apa juga aspek termasuk akhlak, tubuh badan dan rupa paras adalah Jaafar bin Abi Talib. Maka tidak menghairankan baginda begitu merasai kehilangan Jaafar. 


Bagi mengubati kesedihan yang ditanggung oleh keluarga Jaafar, baginda meminta para sahabat yang lain supaya mengunjungi dan menghantar makanan kepada isteri dan anak-anak Jaafar.



No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com