expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Saturday, 30 June 2012

Liga Super: Kelantan rampas takhta





KOTA BHARU: Kelantan berjaya merampas kedudukan persada liga daripada pasukan Lions XII apabila mengalahkan Selangor 1-0 pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke IV, di sini, semalam.


Jaringan pemain import Mohamad Ghaddar pada minit ke-25 membantu Kelantan memintas Lions XII dari Singapura dengan kelebihan satu mata selepas 22 perlawanan. 


Kelantan kini mengumpul 51 mata manakala Lions XII ketinggalan satu mata di tangga kedua selepas 24 perlawanan. 


Kelantan menguasai perlawanan tetapi gagal mencari gol sehingga Mohamad Ghaddar menceriakan peminat dengan tandukan, hasil sepakan sudut oleh Norfarhan Muhammad. 


Selang tiga minit kemudian, skuad bimbingan Bojan Hodak itu sekali lagi cuba menambah gol melalui sepakan sudut daripada Norfarhan, namun gagal disudahkan oleh Daudsu Jamaluddin selepas sepakannya tersasar melepasi palang gol. 


Peluang sekali lagi terhidang buat pasukan tuan rumah pada minit ke-34 apabila Mohamad Ghaddar berjaya melepasi tiga pemain pertahanan Selangor, namun gagal menghadiahkan sebarang gol buat Kelantan apabila sepakan lemahnya berjaya ditangkap kemas penjaga gol lawan, Norazlan Razali. 


Selangor yang tertekan dengan jaringan pertama Kelantan terus mengasak pertahanan The Red Warriors, namun serangan berjaya dipatahkan sehingga berakhir separuh masa pertama. 


Seawal babak kedua perlawanan menyaksikan para penonton yang memenuhi stadium bertindak membaling botol air ke dalam padang selepas berang dengan mutu pengadilan Mohd Jefferi Zolkifli yang kurang memuaskan. 


Kelantan sekali lagi mendapat peluang pada minit ke-62 apabila Indra Putra Mahyuddin yang tidak dikawal pemain Selangor, berjaya membuat rembatan kencang ke arah gawang lawan, namun berjaya ditepis keluar penjaga gol. 


Sepakan percuma kapten pasukan Selangor, Safiq Rahim pada minit ke-79 terus ke arah penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat bagaimanapun dinafikan selepas berjaya ditanduk keluar oleh pemain pertahanan The Red Warriors. 


Farhan sekali lagi mengejutkan Selangor dengan aksi berbahaya pada minit ke-83 apabila berjaya membuat gerakan solo dari tepi padang selepas mendapat hantaran bola daripada Indra, bagaimanapun sepakannya berjaya dipatahkan penjaga gol Selangor. 


Selangor kini menghuni tangga keempat liga dengan 36 mata daripada 22 perlawanan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com