Jet pejuang Turki F-4 ditembak jatuh
oleh Syria Jumaat lalu. - Foto EPA
ISTANBUL - Diiringi sokongan daripada negara anggota Nato,
Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan memberi amaran agar tentera Syria menjauhi
sempadan yang menyaksikan ketegangan atau berhadapan dengan respons ketenteraan
negaranya.
Amaran itu dibuat susulan tindakan Syria menembak jatuh jet
pejuangnya Jumaat lalu.
Recep Tayyip memberitahu Parlimennya bahawa jika tentera
Syria mendekati sempadan Turki, negara jiran itu akan berhadapan dengan
tindakan ketenteraan.
"Sebarang elemen ketenteraan dari Syria yang mendekati
sempadan Turki dengan memperlihatkan risiko sekuriti dan bahaya, akan dianggap
sebagai satu ancaman dan akan dilayan sebagai satu sasaran ketenteraan,"
kata beliau.
Ankara mendakwa senjara Syria menjadikan pesawat mencari dan
menyelamat Turki sebagi sasaran.
Pagi semalam, Perdana Menteri itu mendakwa
helikopter-helikopter Syria telah melanggar ruang udara Turki sebanyak lima kali
tetapi Turki tidak mengambil tindakan balas.
Sebaliknya tegas beliau, sebarang pelanggaran akan ditangani
dengan menggunakan kekerasan.
Dalam pada itu, Nato yang mengadakan mesyuarat semalam turut
mengecam tindakan Syria menembak jatuh jet Turki.
Pesawat itu terhempas di Laut Mediterranean manakala dua
juruterbangnya hilang.
Setiausaha Agung Nato, Anders Fogh Rasmussen menjelaskan
bahawa pakatan itu belum mempertimbangkan respons bersenjata secara kolektif ke
atas Syria.
No comments:
Post a Comment