AL-Allamah al-Mujtahid al-Syarif Sayyid Muhammad bin Ali
al-Sanusi al-Hasani dilahirkan pada hari Isnin 12 Rabiulawal tahun 1202 Hijrah
di al-Wasitah, Mustaghanim Algeria. Beliau dinamakan Muhammad bersempena dengan
hari dan tarikh lahirnya yang bertepatan dengan kelahiran datuknya Nabi
Muhammad SAW.
Nasabnya yang penuh ialah Muhammad bin Ali bin al-Sanusi bin
al-Arabi bin Muhammad bin Abdul Qadir bin Syahidah bin Ham bin Yusuf bin
Abdullah bin Khattab bin Ali bin Yahya bin Rasyid bin Ahmad al-Murabit bin
Mindas bin Abdul Qawiyy bin Abdurrahman bin Yusuf bin Zayyan bin Zainul Abidin
bin Yusuf bin Idris bin Said bin Ya'qub bin Daud bin Hamzah bin Ali bin Imran
bin Idris bin Abdullah al-Kamil bin al-Hasan al-Muthanna bin al-Hasan al-Sibt
bin Ali dan Fatimah al-Zahra' binti Sayyiduna Muhammad SAW.
Ketika berumur dua tahun, bapanya telah dijemput menemui
Ilahi lalu beliau diserahkan kepada ibu saudaranya iaitu Syarifah Fatimah yang
merupakan wanita solehah dan alim yang menguasai pelbagai bidang ilmu pada
zamannya.
Pada usia kanak-kanak, beliau telah menghafaz al-Quran dengan
tujuh bentuk Qiraat, ilmu penulisan khas bagi mushaf al-Quran daripada
sepupunya.
Setelah itu beliau diajar pula segala macam ilmu yang
bersangkut paut dengan Bahasa Arab, seterusnya ilmu-ilmu agama yang lain.
Setelah sepupunya itu wafat pada tahun 1219 Hijrah, beliau
tetap meneruskan pengajian dengan para ulama di tanah kelahirannya di
Mustaghanim selama dua tahun.
Menuntut ilmu
Sayyid Muhammad merupakan seorang yang gigih dan memiliki
keazaman yang tinggi dalam menuntut ilmu.
Beliau meninggalkan Mustaghanim menuju ke Mazunah dan menetap
selama setahun dan menuntut ilmu daripada syeikh-syeikh di sana. Kemudian
menuntut di Tilimsan selama hampir setahun dan bermusafir pula ke Fas yang
menjadi lubuk ulama di Maghribi pada zaman tersebut. Di sana beliau mendalami
pula ilmu sufi berserta ilmu agama lain.
Disebabkan kehebatan dan penguasaannya yang tinggi dalam ilmu
agama, beliau telah memperoleh ijazah-ijazah ilmiah daripada para gurunya di
Fas dan menjadi salah seorang tenaga pengajar di Masjid al-Qurawiyyin sehingga
mencapai kedudukan ketua bagi para ulama di sana.
Pada 1235 Hijrah, Sayyid Muhammad meninggalkan Fas menuju ke
Algeria. Dari Algeria beliau menuju pula ke Jami' al-Zaitunah dan mengambil
ilmu daripada ulama-ulamanya serta meninggalkan pula faedah-faedah ilmiah
kepada penuntut ilmu di sana. Perjalanannya menempuh Libya sehinggalah sampai
ke Kaherah.
Sayyid Muhammad sampai ke Mesir pada tahun 1239 Hijrah
Kemudian menuju ke Mekah dan sampai di sana pada 1240 Hijrah bagi menunaikan
fardu Haji, juga kerana di sana adalah tempat perhimpunan dan pertemuan ulama
dari seluruh pelosok dunia.
Beliau turut menggunakan kesempatan bermukim di sana di Mekah
untuk menimba ilmu. Pada ketika inilah Allah SWT telah mentakdirkan
pertemuannya dengan al-Imam al-Muhaddith Sayyid Ahmad bin Idris.
Dalam perhimpunan itu beliau telah mempelajari ilmu-ilmu
Islam dan menjadikan Sayyid Ahmad sebagai mursyid dan murabbinya dalam berjalan
menuju Allah lantas menjadikan beliau di antara murid kebanggaan Sayyid Ahmad.
Sehinggalah Sayyid Ahmad meninggalkan Mekah menuju ke Yaman
dan mendirikan zawiyahnya di Sabya. Sembilan tahun kemudian, Sayyid Ahmad wafat
dan disemadikan di sana pada 1253 Hijrah.
Sebelum Sayyid Ahmad menuju ke Sabya, beliau telah melantik
Sayyid Muhammad sebagai khalifah yang akan menyebarkan dakwahnya, mentarbiah
murid-murid dan memberi ijazah kepada manusia yang ingin berjalan di atas
manhajnya.
Ketika berada di Mekah, Sayyid Muhammad telah membina
zawiyahnya yang pertama di Jabal Abi Qubais di mana zawiyah ini berperanan
menyebarkan ilmu, melazimi para pengikutnya dengan bacaan al-Quran dan
zikrullah.
Kemudian Sayyid Muhammad menuju ke Jaghbub, Libya yang asalnya
merupakan sebuah kawasan kering yang tidak menjadi perhatian dan tidak ingin
untuk didiami.
Sayyid Muhammad memilih untuk mendiami kawsan tersebut lalu
membina zawiyahnya sebagai markas menyebarkan ilmu dan dakwah Islam kepada
masyarakat sekitar.
Ahli sejarah meriwayatkan bahawa masyarakat pedalaman yang
menghuni di sekitar Jaghbub adalah manusia yang amat jahil mengenai agama
sehingga dikatakan tidak ditemui walaupun seorang penduduk asalnya yang mampu
membaca surah al-Fatihah dengan betul, apatah lagi untuk mengetahui hukum-hakam
agama yang berkaitan dengan ibadat, muamalat dan undang-undang kekeluargaan.
Namun semua itu berubah dan kefahaman Islam terus subur dan
merimbun di Jaghbub selepas kedatangan Sayyid Muhammad dan pembinaan zawiyahnya
di sana.
Dakwahnya disambut oleh penduduk Libya dengan sambutan hangat
serta zawiyah-zawiyah beliau didirikan di negara-negara Islam terutama di benua
Afrika sehingga menjangkau 50 buah zawiyah atas tujuan ilmu, zikrullah, jihad
menentang penjajah asing dan dakwah ke jalan Allah. Sayyid Muhammada wafat pada
bulan Safar 1276 Hijrah bersamaan September 1859 Masihi lalu disemadikan di
Jaghbub, Libya.
No comments:
Post a Comment