TIDAK henti-henti menangis sehingga
tidak terdengar suara tangisan antara sindrom sawan tangis. - Gambar hiasan
|
SAAT dikurniakan anak merupakan momen bahagia bagi setiap
pasangan. Senyuman dan tangisan bayi yang memperuntukkan kira-kira 60 peratus
masanya untuk tidur pasti sukar dilupakan.
Tetapi bayi yang sering menangis tentu sahaja membuatkan ibu
bapa risau.
Terdapat beberapa andaian si manja berkelakuan sedemikian,
antaranya keadaan fizikal bayi itu dan persekitaran.
Segelintir masyarakat Melayu menganggap si bayi telah terkena
sawan tangis yang dipercayai berpunca daripada gangguan makhluk halus.
Seorang pengamal perubatan Islam, Datuk Dr. Amran Kasimin,
memberitahu, menangis merupakan satu peryataan bayi bagi menggantikan
pertuturan.
Hilang suara
“Ada yang mengaitkan sawan tangis dengan gangguan makhluk
halus yang diistilahkan sebagai qarin,” cerita Amran.
Perkataan qarin berasal daripada bahasa Arab yang bererti
teman atau pasangan. Istilah qarin bererti roh jahat, yang terdiri daripada
makhluk halus yang sentiasa mendampingi manusia sejak lahir.
Lebih pelik, bayi atau kanak-kanak akan menangis pada waktu
tertentu seperti selepas tengah malam sehingga berjam-jam lamanya.
Bagaimanapun, pada waktu lain bayi akan tidur dengan nyenyak
selain tiada tanda dia terganggu apabila diperiksa oleh doktor.
Gangguan qarin-gambar
hiasan
|
“Petunjuk tadi membuktikan bayi mungkin terganggu disebabkan
gangguan yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar atau melalui eksperimen teknologi
moden.
“Malah, bayi memperlihatkan reaksi luar biasa dengan wajah
yang ketakutan seolah-olah sedang melihat satu objek yang menggerunkan di
hadapannya,” kata Amran.
Tuturnya, sukar untuk menjelaskan bagaimana gangguan makhluk
halus itu menyebabkan bayi tidak henti-henti menangis, terkujat-kujat dan
terketar mulut sehingga tidak terdengar suara tangisannya.
“Setelah berhenti dia akan menangis semula. Demikianlah
halnya, yang kadang-kadang memakan masa berjam-jam menyebabkan ibu letih dan
gelisah.
“Ironi, sukar untuk membuktikan bahawa sawan tangis berlaku
disebabkan gangguan makhluk halus semata-mata walaupun perkara itu pernah
berlaku,” kata Amran.
Kembung bayi
Pakar Pediatrik Hospital Pantai Ampang, Dr. Wan Khairina Wan
Mohd. Nowalid, menjelaskan sawan tangis yang dikenali oleh masyarakat Melayu
ada persamaan dengan infant colic atau kembung bayi yang merujuk kepada
fenomena bayi menangis dengan kerap tanpa sebab.
“Selepas diperiksa oleh doktor keadaan bayi didapati sihat
dan membesar seperti bayi yang lain.
“Tetapi lebih kurang 20 peratus bayi mengalami infant colic
yang lazimnya akan berhenti secara semula jadi semasa mereka berusia empat atau
lima bulan,” katanya.
Namun, Wan Khairina memberitahu, ada juga kes berlanjutan
sehingga mereka berusia setahun.
Katanya, tangisan bayi boleh berlaku pada bila-bila masa
tetapi kebiasaannya pada waktu petang.
“Sebahagian pakar perubatan menyifatkan infant colic sebagai
tangisan yang berterusan sehingga lebih tiga jam sehari.
“Ia berlaku pada semua bayi tanpa mengira bangsa dan agama,”
jelasnya.
Tambah Wan Khairina, kemurungan yang dialami ibu bayi semasa
mengandung boleh menjadi faktor kembung bayi.
“Ada penyelidikan yang mendapati tekanan semasa mengandung
mengakibatkan anak yang dilahirkan mempunyai kadar hormon stres yang tinggi.
“Namun, ibu bapa perlu memastikan tangisan tersebut bukan
disebabkan masalah lain seperti ketidakselesaan, sakit, lapar dan kotor,”
ujarnya.
Ceritanya, bayi juga perlu diperiksa oleh pakar kanak-kanak
untuk menentukan ia bukan berkaitan dengan penyakit atau keadaan kesihatan bayi
seperti meningitis dan jangkitan kuman dalam darah atau air kencing.
“Bantuan nasihat serta kaunseling dapat membantu mengurangkan
tekanan ibu bapa dan juga bayi.
“Oleh kerana tiada solusi tertentu yang paling berkesan,
kaedah seperti urutan lembut, mendakap atau membedung bayi malah mendedahkan
mereka pada bunyi dengungan seperti mesin basuh atau deruan kereta sedikit
sebanyak boleh membantu masalah ini,” ujarnya.
Persekitaran yang bebas daripada bakteria juga berperanan
mengurangkan risiko kembung bayi. Umat Islam pula digalakkan memperdengarkan
bacaan al-Quran atau zikir bagi membantu menyelesaikan situasi yang dialami
bayi itu.
No comments:
Post a Comment