SEGALA yang dapat diambil manfaatnya adalah rezeki. Makna itu
diambil berdasarkan kata 'rezeki' yang terdapat dalam terjemahan surah
al-Baqarah ayat tiga: "… membelanjakan (mendermakan) sebahagian
daripada rezeki…"
Rezeki merupakan salah satu kata kunci dalam ajaran Islam
kerana berkait rapat dengan konsep tauhid. Dalam surah al-Baqarah ayat 22 dan
57, konsep rezeki dikaitkan secara langsung dengan masalah keimanan.
Dalam ayat 22, Allah SWT membicarakan tentang hujan yang
menyirami pohon-pohon dan menghasilkan buah-buahan: "yang menjadi
rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang
sekutu…"
Dalam ayat 57 pula Allah SWT menyuruh: "Makanlah
makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu. Dan tidaklah
mereka menganiaya diri sendiri."
Kedua-dua ayat itu menunjukkan bahawa masalah rezeki dapat
menjadikan manusia menjadi musyrik dan zalim, apabila mereka yakin bahawa
rezeki itu dapat diperoleh daripada sumber lain selain Allah SWT.
Halal haram
Kaum Muktazilah berpendapat rezeki hanyalah untuk pemberian
yang halal. Sedangkan yang haram tidak boleh disebut sebagai rezeki kerana
pemilikannya tidak sah.
Hujah ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Orang-orang
yang (hendak) bertakwa membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang Kami
berikan kepada mereka. (al-Baqarah: 2-3)
Golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah berpendapat bahawa rezeki itu
adalah segala sesuatu yang bermanafaat, sama ada yang halal atau yang haram.
Rezeki ditafsir sebagai 'bahagian'. Oleh itu, bahagian yang
diperoleh atau digunakan secara tidak sah merupakan bahagian yang haram.
Usaha
Meskipun Allah SWT Maha Pemurah dan rezeki-Nya maha luas,
namun manusia tidak akan dapat memperoleh rezeki itu jika tidak berusaha.
Usahanya menjadi ukuran banyaknya hasil perolehan.
Dalam al-Quran ditegaskan: Dan bahawa sesungguhnya tidak
ada (balasan) bagi seseorang melainkan ( balasan ) apa yang diusahakannya. (al-Najm: 39)
Rezeki Allah SWT maha luas dan tidak terbatas pada ruang dan
waktu .Rezeki-Nya itu bukan sahaja diberikan kepada manusia tetapi juga kepada
segala makhluk-Nya. Hal itu dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan
tiadalah sesuatu pun makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah
jualah yang menanggung rezekinya. (Hud: 6 )
Ukuran
Dalam al-Quran dinyatakan bahawa Allah SWT yang memberikan
rezeki kepada makhluk di muka bumi, kerana Dia adalah satu-satunya sumber
rezeki(rujuk al-Hijr: 20). Dengan kata lain, semua makhluk memiliki hak rezeki
daripada Allah SWT, namun rezeki bagi semua makhluk itu mempunyai ukuran.
(rujuk al-Hijr: 20)
Manusia tidak boleh menggunakan sumber kehidupan (rezeki)
untuk kepentingan diri sendiri yang akan menyebabkan terganggunya keseimbangan
alam.
Keseimbangan alam yang terganggu itu akhirnya akan merugikan
manusia sendiri, misalnya penebangan kayu secara berlebihan (tidak terkawal)
yang menyebabkan banjir dan perilaku lain seumpamanya.
No comments:
Post a Comment