PEMAIN-PEMAIN Sepanyol
meraikan kejayaan pasukan itu mara ke final Euro 2012 awal pagi semalam.
DONETSK, Ukraine - Jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque
mengakui tuah lebih memihak kepada pasukan itu selepas mara ke final awal pagi
semalam.
Del Bosque berkata demikian selepas skuad La Roja
menewaskan Portugal 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi separuh
akhir di stadium Donbass Arena.
Perancang utama Sepanyol, Cesc Fàbregas dijulang sebagai wira
selepas sepakan pemain pertahanan Portugal, Bruno Alves sekadar terkena palang
ketika kedudukan 3-2.
"Tuah lebih memihak kepada kami pada penentuan sepakan
penalti.
"Saya tetap memuji Portugal kerana mereka berjaya
mempamerkan persembahan yang menarik dan salah sebuah pasukan terbaik pada
kejohanan ini.
"Namun, seperti yang saya beritahu, kami benar-benar
bertuah pada kali ini," kata del Bosque.
Del Bosque berkata, Portugal beraksi dengan baik berbanding
Sepanyol terutama di posisi pertahanan dan jentera serangan mereka sangat berbahaya.
Namun, selepas pengendali La Roja itu membawa masuk
Fàbregas, Jesús Navas dan Pedro Rodríguez bagi menggantikan Álvaro Negredo,
David Silva, Xavi, Sepanyol berjaya mengimbangi perlawanan tersebut.
"Kami mencipta banyak peluang dan menambah masalah kepada
Portugal selepas saya memasukkan Navas dan Pedro.
"Kami kelihatan sedikit kepenatan dan memerlukan ruang
terutama pada masa tambahan ketika Pedro dibawa masuk.
"Aksi masa tambahan membuktikan bahawa pemain-pemain
kami menggunakan pengalaman dan kekuatan mental untuk beraksi dengan
baik," katanya.
Del Bosque turut menjelaskan bahawa beliau tidak mengalami
kesukaran untuk memilih senarai pemain bagi mengambil sepakan penalti.
Meskipun Xabi Alonso gagal menyempurnakan sepakan pertama,
Andrés Iniesta, Gerard Piqué, Sergio Ramos dan Fàbregas melakukan tugasan
tersebut dengan cemerlang. - Reuters
No comments:
Post a Comment