expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Saturday, 30 June 2012

Minuman paling lazat dari syurga





SETELAH Allah SWT menyebut perihal Dia menunjukkan jalan kebaikan dan jalan keburukan kepada manusia menerusi firman-Nya yang bermaksud: Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (jalan kebaikan untuk dijalaninya dan jalan kejahatan untuk dijauhi) (al-Balad :10). Berikutnya Allah SWT menambahkan penjelasan bahawa manusia itu terbahagi kepada dua golongan iaitu mereka yang menerima hidayah Allah SWT dan bersyukur serta golongan yang disesatkan Allah SWT dan kufur.


Kemudian, Dia mengakhiri perkara tersebut dengan apa yang disediakan untuk kedua-dua golongan itu pada hari kiamat nanti. 


Allah SWT menyediakan kepada golongan pertama iaitu syurga-syurga dan kenikmatan, sehingga mereka meminum khamr - minuman yang paling lazat yang dicampurkan dengan air segar dan sejuk serta harum baunya. Apabila mereka inginkannya, maka ia datang kepada mereka di bilik-bilik. 


Mereka juga memakai kain sutera dan duduk di atas pelamin-pelamin tanpa merasa panas dan sejuk. Kemudian Allah SWT menyebut pula sesuatu yang disediakan di dunia bagi mendapatkan pahala agung ini. Lalu dijelaskan bahawa mereka itu memberi makan kepada orang fakir, malang, yatim dan hamba sahaya. Mereka menunaikan apa yang diwajibkan oleh Tuhan mereka dan takut terhadap azab Allah SWT pada hari kiamat.


Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami menyediakan bagi orang-orang kafir rantai, belenggu dan neraka yang menyala-nyala. (al-Insaan: 4)


Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya Allah SWT menyediakan bagi orang yang mengkufuri nikmat-Nya dan menyalahi perintah-Nya, dengan rantai-rantai ke dalam neraka Jahim."


Manakala belenggu-belenggu dengan tangan-tangan mereka diikatkan ke leher-leher mereka sebagaimana yang dilakukan terhadap orang yang berdosa di dunia dan mereka dibakar dengan api neraka.


Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT mengkhabarkan tentang apa yang telah Dia sediakan bagi semua orang kafir daripada makhluk-Nya, sama ada berbentuk rantai, belenggu dan api yang menyala lagi membara di neraka Jahanam."


Sayid Qutub berkata: "Iaitu belenggu-belenggu untuk mengikat kaki dan memasungkan tangan serta api neraka yang menyala-nyala untuk dicampakkan mereka ke dalamnya dengan kaki tangan yang terbelenggu."


Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang yang berbuat kebajikan minum daripada gelas (berisi minuman) yang campurannya adalah air kapur. (iaitu) mata air (dalam syurga) yang daripadanya hamba-hamba Allah minum, yang mereka dapat mengalirkannya dengan sebaik-baiknya. (al-Insaan: 5-6)


Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya orang yang berbakti kepada Allah SWT dengan mengerjakan ketaatan serta menunaikan segala perkara yang diwajibkan oleh-Nya dan meninggalkan perbuatan yang dilarang seperti meminum arak yang dicampur dengan minuman yang lain, seperti kapur yang berbau harum, sejuk lagi putih." 


Campurannya berasal daripada sumber yang daripadanya semua hamba Allah SWT yang bertakwa meminumnya di bilik-bilik yang terdapat di dalam syurga. Air itu didatangkan kepada mereka dengan mudah ke mana sahaja mereka suka dan dimanfaatkan menurut kehendak mereka serta ia mengikut mereka ke mana-mana sahaja tempat yang dikehendaki oleh mereka.


Al-Mujahid berkata: "Mereka membimbingnya ke mana sahaja mereka suka dan air itu mengikut ke mana sahaja mereka pergi."


Ibnu Kathir berkata: "Maksudnya, air kapur yang telah bercampur dan disediakan bagi orang-orang yang melakukan kebaikan ini adalah mata air yang biasa diminum oleh hamba-hamba Allah SWT yang mendekatkan diri, murni tanpa campuran, mereka minum sehingga kenyang."


Mereka boleh manfaatkan air tersebut ke mana dan di mana sahaja mereka kehendaki.


Sayid Qutub berkata: "Ayat ini menjelaskan bahawa minuman orang-orang yang taat atau para Abrar di dalam syurga ialah air campuran dengan haruman kapur, iaitu mereka minum di dalam gelas yang di ambil dari mata air yang sentiasa mengalir dengan banyaknya."


Biasanya orang-orang Arab mencampurkan minuman arak, kadang-kadang dengan kapur dan kadang-kadang dengan halia untuk menambahkan kelazatannya. 


Dengan keterangan ini tahulah mereka bahawa di syurga akan disediakan minuman yang bercampur kapur dengan mewahnya tetapi taraf minuman ini tentulah lebih manis dan nyaman lagi daripada minuman-minuman di dunia dan kelazatannya berlipat kali ganda.



No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com