GAMBAR pada 22 Jun
menunjukkan lelaki kudung kedua-dua kakinya, Spencer West tiba di puncak Gunung
Kilimanjaro di Tanzania.
MONTREAL, Kanada - Seorang lelaki
yang kudung kedua-dua belah kaki berjaya menakluk puncak tertinggi di Afrika,
Gunung Kilimanjaro, sekali gus menyangkal dakwaan beberapa doktor bahawa dia
tidak akan dapat berfungsi dan menyumbang kepada masyarakat.
Spencer West, 31, hilang kakinya
ketika masih kanak-kanak akibat penyakit genetik, sacral agenesis yang
menyebabkan bahagian bawah badannya lumpuh.
Namun, warga bandar Toronto di Kanada
itu tidak membiarkan kecacatan itu menghalangnya.
Dia tiba di puncak Kilimanjaro, pada
ketinggian sekitar 6,000 meter dari aras laut, Selasa lepas.
"Mendaki Gunung Kilimanjaro
merupakan perkara paling mencabar yang pernah saya lakukan, baik dari sudut
fizikal atau pun mental.
"Namun, dengan berbuat demikian
kita sedar betapa pentingnya untuk kita percaya kepada diri sendiri dan orang
lain," kata West kepada agensi berita AFP dari Nairobi, Kenya.
"Saya memanjat menggunakan
tangan. Ia memberi tekanan ke atas bahagian tersebut serta bahu saya,"
tambahnya.
Sepanjang pendakiannya, West ditemani
oleh dua sahabat baiknya, David Johnson dan Alex Meers. Matlamat mereka adalah
untuk mengumpul dana buat Free the Children, sebuah pertubuhan yang membekalkan
air bersih kepada beratus-ratus orang di Kenya.
Kenya mengalami kemarau terburuk
dalam tempoh 60 tahun pada 2011.
Misi itu berjaya mengumpul lebih
AS$500,000 (RM1.59 juta) untuk pertubuhan amal tersebut.
Dia mendaki Kilimanjaro berkenaan
pada Selasa lepas dan tiba di kemuncak gunung berkenaan tiga hari kemudian. -
AFP
No comments:
Post a Comment