JAKARTA -
Seorang pakar kulinari terkemuka Indonesia berkata tidak perlu
memperbesar-besarkan isu masakan rendang.
William
Wongso berkata oleh yang demikian tidak perlu untuk mendaftarkan rendang untuk
dipatenkan walaupun masakan itu berasal dari Sumatera Barat.
Beliau berkata rakyat Indonesia tidak sepatutnya bimbang yang hak milik warisan makanan itu akan dituntut oleh negara-negara lain, terutamanya Malaysia.
"Makanan
itu tidak perlu dipatenkan. Biar mereka tuntutnya kerana yang jelas penduduk
daripada kumpulan etnik Minangkabau dari Sumatera Barat juga telah berhijrah
dan menetap di sana," kata Wongso seperti dipetik oleh akhbar berbahasa
Inggeris, Jakarta Post hari ini.
Wongso
berkata demikian ketika ditemui di Padang, Sumatera Barat, di mana beliau
menjadi hakim pada Festival Memasak Rendang Sumatera Barat selama dua hari yang
berakhir hari ini.
Pakar kulinari itu memberikan contoh makanan Jepun 'sushi' dan 'sashimi', dan makanan Korea 'galbi', yang tidak pernah dipatenkan.
"Jepun dan Korea tidak pernah mendaftarkan makanan itu untuk dipatenkan. Mereka sebaliknya berasa gembira jika makanan mereka dinikmati di semua tempat," katanya.
"Perkara yang paling penting ialah menyebarkan cara yang betul menyediakan rendang di luar Sumatera Barat kerana rasa rendang yang dihidangkan di banyak restoran di luar Indonesia kurang enak, dengan ada yang rasanya berlainan," katanya.
Beliau memberikan contoh rendang di Belanda yang rasanya sekan-akan 'semur' (makanan Jawa), yang agak manis.
Katanya rendang di Malaysia juga berbeza dengan di Sumatera Barat kerana ia dipengaruhi oleh makanan India yang banyak menggunakan rempah-ratus India, menggunakan bukan sahaja daging lembu atau kerbau tetapi juga ayam. - Bernama
No comments:
Post a Comment