expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Saturday, 30 June 2012

Kerajinan tingkat momentum, daya saing pekerja




Majikan wajib penuhi hak tenaga kerja, wujud hubungan baik sesama kakitangan


ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Apabila engkau selesai (daripada sesuatu amal salih), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal salih yang lain). Dan hanya kepada Tuhanmu sahajalah, hendaknya engkau berharap.” (Surah al-Syarh, ayat 7-8) 


Walaupun ayat ini diturunkan untuk mententeramkan hati Baginda Rasulullah pelbagai panduan dan manfaat boleh kita kutip dalam melaksanakan kerja seharian daripada penelitian dua ayat ini.


Ayat ini bukan saja menunjukkan anjuran dan galakan Allah SWT supaya terus menerus melaksanakan amal salih, tetapi ia juga membawa perhatian untuk terus melakukan kebaikan kesungguhan dan kerajinan bekerja juga perlu terus dibaja supaya momentumnya mampu dikekalkan khasnya pada masa kini.


Bagi memacu daya saing dan daya maju pekerja, nilai kerajinan, ketekunan serta kesungguhan perlu disokong serta dikembangkan. Setiap majikan perlu membajai nilai ini melalui pelaksanaan dasar 5K iaitu yang pertama, kemudahan dan kebajikan.


Kemudahan fizikal dan material meliputi antaranya persekitaran tempat kerja selesa, kemas, bersih, kemudahan teknologi komunikasi maklumat (ICT), tempat beribadat serta rekreasi, manakala kemudahan material meliputi gaji, upah, insentif seperti bonus dan elaun kemudahan kesihatan, perumahan, pengangkutan, khairat kematian dan lain-lain bentuk kebajikan.


Dalam Majma’ al-Zawaid al-Haithami, sabda Rasulullah yang bermaksud: “Berilah pekerja itu upah sebelum kering peluhnya.” 


Kemudahan insentif ini adalah mengambil pengajaran daripada balasan Allah SWT kepada hamba-Nya yang melakukan kebaikan dalam firman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakan.” (Surah al-Najm, ayat 39)


Kedua, kesantunan komunikasi adalah dasar paling mudah dan murah untuk menimbulkan rasa dihargai apabila berjaya melaksanakan tugasan serta merangsang motivasi kerja dengan kerajinan dan kesungguhan. Ucapan seperti ‘terima kasih’, ‘tahniah’, ‘syabas’, ‘teruskan ketekunan anda’ adalah komunikasi baik yang amat dituntut.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perkataan yang baik itu adalah suatu sedekah.” (Hadis riwayat Muslim) Benarlah kata-kata, ‘Indah tampan kerana budi, tinggi bangsa kerana bahasa’.


Kesantunan komunikasi ini juga boleh dipamerkan melalui pelbagai bentuk penghargaan termasuklah pemberian anugerah perkhidmatan cemerlang, perkhidmatan setia, anugerah kualiti dan inovasi berbentuk ganjaran atau hadiah, sijil, piala, pingat dan sebagainya.


Kesantunan komunikasi ini sesuai dengan anjuran supaya kita saling menghargai dan berterima kasih sesama manusia. Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak berterima kasih kepada Allah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)


Dalam Perkhidmatan Awam, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 tahun 2004 juga menyediakan peraturan pemberian penghargaan kepada pegawai yang sudah meninggalkan perkhidmatan iaitu sijil penghargaan kepada mereka yang berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun secara berterusan.


Ketiga, kerjasama harmoni dan kerukunan organisasi. Apabila tugas boleh disandarkan di bahu anggota organisasi secara bersama dan harmoni, ia akan menimbulkan rasa kepuasan serta kerukunan dalam organisasi.


Ibn Khaldun dalam mukadimahnya mengistilahkan suasana begini sebagai organisasi insani. Justeru, membina semangat muafakat dan kerjasama dalam organisasi boleh menimbulkan keseronokan bekerja, mengembangkan serta membudayakan nilai kerajinan bersama.


Keempat, keutamaan kesihatan. Faktor kesihatan penting kerana kesihatan adalah harta seperti sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang pagi sihat fizikalnya, damai jiwanya dan mempunyai makanan untuk harinya, maka seolah-olah dunia ini kepunyaannya.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)


Justeru, tanpa kesihatan yang baik, tiadalah kerajinan. Individu dan majikan perlu memberi perhatian serius antaranya mengambil kira aspek bebanan kerja yang diberikan supaya bersesuaian kemampuan kesihatan dan fizikal pekerja serta munasabah untuk disempurnakan dalam tempoh diberi, menganjurkan wacana berkaitan kesedaran kesihatan, menggalakkan aktiviti riadah dan rekreasi seperti menubuhkan Kelab Sukan atau Hari Sukan.


Kelima, ketepi kerenah birokrasi yang bukan saja melambatkan sesuatu urusan tetapi boleh merencatkan kerajinan pekerja. Contohnya, apabila pekerja perlu berhadapan proses dan prosedur kerja yang panjang serta sulit, mendapat kelulusan atau persetujuan daripada ramai pegawai atasan, mengisi pelbagai borang dan masalah dalam penggunaan ICT.


Justeru, usaha memudahkan proses dan prosedur kerja dapat mengelakkan kebosanan serta mengembangkan nilai kerajinan dalam bekerja. Malah, dalam ajaran Islam, nilai mudah dan memudahkan amat dituntut.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)


Rasulullah SAW bersabda: “Mudahkanlah dan jangan menyusahkan, gembirakanlah dan jangan membuatkan orang lain lari (dari agama kamu)." (Hadis riwayat al-Bukhari)


Marilah bersama mengembangkan sifat kerajinan dalam diri dan pekerja dengan memberi perhatian kepada dasar asas 5K yang akan melonjakkan hasil kerja, organisasi sekali gus menjadikan kerja berteraskan kerajinan suatu budaya yang mengundang pahala dan keredaan Allah SWT.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com