SALAH satu rangka manusia yang
ditemui dekat pejabat Perdana Menteri Timor Leste di Dili pada minggu lalu.
DILI - Polis di Timor Leste menemui sebuah kubur yang
mengandungi rangka tulang 52 orang dekat pejabat Perdana Menteri, Xanana
Gusmao, kata seorang pegawai semalam.
Beberapa pekerja pembinaan menemui kubur tersebut pada minggu
lalu sebelum mereka menghubungi polis.
Pada tahun 1975, Tentera Indonesia menceroboh Timor Leste
yang merupakan bekas jajahan Portugal itu.
Timor Leste yang ketika itu dikenali sebagai Timor Timur
diduduki selama 24 tahun oleh Indonesia.
Dianggarkan seramai 183,000 orang terbunuh akibat
pencerobohan itu.
Ketua Perkhidmatan Siasatan Jenayah Timor Leste, Calisto
Gonzaga menyatakan rangka itu terlalu besar dan tidak mungkin ia milik penduduk
Timor Leste.
"Kami melihat tengkorak dan ia amat besar dan sebilangan
tulang amat panjang. Saya berpendapat rangka itu bukan (milik) penduduk Timor
Leste," katanya.
Menurutnya, kedudukan rangka itu memberi petunjuk bahawa si
mati mungkin dibunuh.
Gonzaga berkata, polis akan menunggu laporan seorang pakar
dari Australia yang akan tiba pada Julai depan sebelum membuat sebarang
penyiasatan.
Seorang profesor dari Australia, Damien Kingsbury menyatakan,
tulang-tulang itu mungkin milik penduduk berketurunan Cina.
"Penduduk Cina masih berada di Timor Leste semasa
Indonesia menceroboh pada tahun 1975.
"Mereka mungkin menjadi sasaran serangan tentera
Indonesia pada masa itu," katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment