expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Tuesday, 26 June 2012

Planet 'kekasih' melintas matahari


















Titik hitam berkenaan adalah transit planet Zuhrah yang sedang melintas matahari, ia berjaya dirakam kamera DSLR dengan bantuan teleskop


Peluang menyaksikan Planet Zuhrah merentasi matahari pastinya pengalaman yang begitu menakjubkan.


Manakan tidaknya, jika tidak berpeluang melihatnya pada 8 Jun 2004 mahupun 6 Jun lalu, anda terpaksa menunggu 105 tahun lagi iaitu pada 2117.


Peristiwa transit planet Zuhrah yang akan merentasi cakera matahari semalam bermula dari jam 7.12 pagi hingga 1 petang.


Ribuan orang membanjiri Universiti Sains Malaysia (USM) yang mana menjadi lokasi pencerapan planet berkenaan.


Ketika transit, planet Zuhrah akan kelihatan seperti satu bintik berwarna hitam merentasi cakera matahari secara perlahan-lahan selama enam jam dan ia boleh disaksikan menerusi penuras suria atau kaca mata gerhana.


Kejadian berkenaan dapat dilihat dengan jelas di sebahagian besar negara di dunia termasuklah Malaysia.





















Kelab Astronomi USM menyediakan teleskop untuk pengunjung melihat dengan lebih dekat transit planet zuhrah melalui matahari.


Penasihat Kelab Astronomi USM, Dr Chong Hon Yew berkata, peristiwa astronomi itu adalah detik bersejarah kerana ia hanya akan berlaku dua kali sahaja dalam tempoh 100 tahun.


“Ia dapat dilihat di sebahagian besar dunia termasuk di Pulau Pinang dan kita memberi kesempatan kepada orang ramai bagi menyaksikan kejadian alam ini dengan menggunakan peralatan yang kita ada di USM.


“Planet Zuhrah dilihat merentasi matahari secara perlahan-lahan selama enam jam,” katanya.


Dr Chong berkata, kejadian seumpama ini pernah berlaku pada 8 Jun 2004 lalu dan ia dijangkakan berlaku lagi pada 100 tahun lagi.


“Sekiranya ramai yang terlepas semalam maka peristiwa astronomi sedemikian hanya akan berlaku pada 2117,” katanya.


Jejak kawah


Planet Zuhrah yang digelar sebagai planet kekasih akan kelihatan seperti sebiji bintik atau bulatan hitam kecil melalui jalur transit pada muka cakera matahari.


Fenomena ini telah menjadi tarikan kepada peminat astronomi baik profesional mahupun amatur di seluruh dunia termasuk di negara ini. Ia dianggap sebagai satu fenomena yang amat dinantinantikan.


Di Pulau Pinang ia diadakan di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) USM.


Dr Chong berkata, transit Zuhrah telah berlaku pada tahun 1631, 1639, 1761, 1769, 1874 dan 1882. Zuhrah adalah planet kedua terdekat dengan matahari dan saiznya lebih kurang sama dengan Bumi.


“Planet ini juga dipanggil sebagai planet Venus dan ia penuh dengan peninggalan gunung berapi, jejak kawah dan sarat dengan hamparan lapang gunung berapi.


“Landskap permukaannya berlubang dan pada awal pembentukan sistem suria lebih kurang 4.6 bilion tahun yang lalu, ketika matahari mengeluarkan tenaga 25 peratus kurang daripada yang dipancarkan seperti kini, Zuhrah adalah lebih dingin dan mempunyai lautan dan atmosfera seperti Bumi.


“Tetapi kemudiannya lama-kelamaan, semakin banyak tenaga suria dipancarkan matahari.


"Pada masa itulah Zuhrah mula memanas, air lautannya menyejat lalu membentuk sebagai gas rumah hijau mendesak suhunya meningkat.


“Lautannya menjadi kering dan mengeluarkan gas karbon dioksida dan mempercepatkan proses kesan rumah hijau,” katanya.


Sediakan teleskop


Difahamkan pada masa ini Zuhrah terdiri daripada karbon dioksida dan awan kuning asid belerang.


Taufannya mempunyai kelajuan pada kadar 350 km/sejam, tiga kali ganda dengan kelajuan ribut yang ada di Bumi.


Tiada satu bentuk kehidupan ala Bumi boleh tahan dalam keadaan seperti di Zuhrah dan ia tidak mesra kehidupan.


Dr Chong berkata, Zuhrah boleh dilihat bagaikan 'bintang' terang dan Zuhrah bagi orang purba Yunani bererti dewi kasih bangsa Rom.


Kurator Kanan Muzium Dan Galeri Tunku Fauziah USM, Zolkurnian Hassin, berkata, pihaknya akan menyediakan teleskop untuk peminat astronomi.


“Selain itu kami juga menganjurkan pameran dan ceramah mengenai transit planet Zuhrah.


"Pada masa sama, kami juga mengeluarkan sijil kepada orang ramai yang menyaksikan transit planet Zuhrah di sini,” katanya.


Program berkenaan mendapat kerjasama diantara MGTF USM dan juga Kelab Astronomi USM.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com