MESKIPUN kemajuan perubatan telah menemukan pelbagai jenis
vaksin, negara-negara di Asia lewat menggerakkan kempen pemvaksinan secara
besar-besaran atau memasukkan vaksin terkini yang disarankan Pertubuhan Kesihatan
Sedunia (WHO) dalam Program Pelalian Kebangsaan (NIP). Kesannya, ramai kanak-kanak yang tidak dapat dilindungi.
Meskipun banyak negara di rantau Asia terus mencapai kemajuan
ekonomi, namun hanya sebilangan kecil yang mengemas kini jadual pelalian mereka
menurut ketetapan WHO.
Badan dunia itu telah mengisytiharkan pelalian sebagai salah
satu intervensi kesihatan paling berjaya dan menjimatkan kos kerana ia dapat
mencegah penyakit-penyakit serius, hilang upaya dan kematian yang berpunca
daripada penyakit yang boleh dicegah. Penyakit-penyakit yang boleh dicegah
termasuklah difteria, hepatitis A dan B, campak, polio, rotavirus dan tetanus.
Dalam pada itu, WHO juga menyifatkan pemvaksinan sebagai satu
pelaburan penting bagi semua negara untuk melindungi setiap individu.
Di samping itu, manfaat pelalian turut diperluaskan kepada
remaja dan golongan dewasa bagi memberikan perlindungan daripada penyakit yang
mengancam nyawa seperti influenza, meningitis dan kanser.
Pneumokokal
Salah satu penyakit bahaya yang boleh dicegah dengan
pemvaksinan ialah penyakit pneumokokal. Ia merupakan kumpulan penyakit kompleks
yang berpunca daripada bakteria Streptococcus pneumonia yang sering membawa
maut dan kehilangan upaya.
Pada tahun 2007, WHO mencadangkan vaksin pneumokokus
dimasukkan ke dalam NIP.
"Selain Afrika, Asia menanggung beban penyakit
pneumokokal paling besar di dunia.
SYARIKAT farmaseutikal sedang
membangunkan vaksin antinikotin bagi membantu golongan yang mahu berhenti
merokok.
"Bagaimanapun, hanya sebilangan kecil negara di Asia
menyedari kesan serius penyakit pneumokokal dan disebabkan kekurangan data yang
dikumpulkan di rantau ini, kami tidak dapat menonjolkan kesan serius penyakit
tersebut," kata Pakar Penyakit Berjangkit Pediatrik dan Profesor Pediatrik,
Dr. Adriano Arguedas dalam satu persidangan media di Kuala Lumpur baru-baru
ini.
Katanya, negara seperti Amerika Syarikat dan Eropah telah
memasukkan vaksin pneumokokus ke dalam program pelalian kebangsaan
masing-masing dan menyaksikan penurunan mendadak dalam bilangan kes penyakit
dan kematian.
"Tiada cara lain untuk menangani ancaman ini. Kunci
kejayaan dalam usaha menghapuskan penyakit berjangkit pediatrik adalah menerusi
pemvaksinan.
"Kita telah melihat kejayaan dalam usaha menghapuskan
polio, cacar dan rubela melalui pemvaksinan," ujarnya.
Hal serius
Bercakap mengenai Beban Penyakit Pneumokokal di Asia dan
kelengahan negara Asia mengemas kini program pelalian masing-masing, Pengarah
Kanan Hal Ehwal Saintifik (Vaksin), Pfizer, Paris, Profesor Heinz-Josef Schmitt
memberitahu, langkah perlu diambil untuk meyakinkan kerajaan bahawa penyakit
pneumokokal tidak boleh dipandang ringan.
"Sebahagian daripada masalahnya adalah kesukaran untuk
meyakinkan kerajaan supaya mengambil langkah pemvaksinan selain hakikat bahawa
penyakit itu sukar untuk didiagnosis atau difahami.
"Kempen kesedaran boleh membantu kita mendidik orang
ramai mengenai penyakit ini sekali gus meningkatkan kefahaman tentang gejala
penyakit dan penyelesaiannya," katanya.
NEGARA Afrika juga
menanggung beban penyakit pneumokokal paling besar di dunia.
TIDAK mustahil pada masa akan datang, syarikat-syarikat farmaseutikal mampu menghasilkan pelbagai jenis vaksin selari dengan masalah yang menimpa masyarakat dunia termasuklah mencipta vaksin antiobesiti.
Namun begitu, untuk benar-benar memulakan momentum dalam
usaha mengurangkan beban penyakit di Asia, penggubal dasar perlu diyakinkan.
Di Malaysia, 70 hingga 80 peratus kanak-kanak tidak
dilindungi daripada penyakit pneumokokal kerana vaksin ini disenaraikan sebagai
opsyenal (tidak wajib) dalam NIP.
Kebanyakan daripada segelintir kecil kanak-kanak yang
mendapat vaksin menentang penyakit pnemukokal adalah dari sektor swasta dan ini
menunjukkan kebanyakan kanak-kanak di Malaysia tidak mendapat perlindungan
daripada penyakit pneumokokal.
Beban emosi
"Tekanan emosi yang dilalui ibu bapa apabila anak-anak
mereka diserang penyakit pneumokokal dan beban kewangan yang ditanggung oleh
sistem penjagaan kesihatan negara adalah berat.
"Sebagai negara yang sedang pesat membangun, Malaysia
perlu memastikan sistem penjagaan kesihatannya mematuhi piawaian yang
ditetapkan oleh WHO," kata Chan Li Jin yang merupakan pengasas bersama
Parenting2u.com iaitu salah satu kumpulan ibu bapa yang mengetuai kempen Aim
for Broader Coverage Parent Coalition.
Ujarnya, tumpuan perlu diberikan kepada usaha menyediakan
sistem penjagaan kesihatan bertaraf dunia untuk semua.
"Peluang yang sama akan memastikan penduduk bandar dan
luar bandar mendapat peluang pemvaksinan untuk anak-anak mereka bagi menentang
penyakit pneumokokal," tambahnya.
Memasukkan pemvaksinan pneumokokal ke dalam NIP boleh
mempercepatkan pencapaian wawasan Malaysia untuk menjadi negara maju menjelang
tahun 2020 dengan kadar kematian kanak-kanak yang setanding dengan
negara-negara maju lain iaitu lima kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup
berbanding tujuh sebelum ini.
Banyak negara lain telah mula menyedari pentingnya
pemvaksinan pneumokokus dalam usaha memastikan kesihatan dan kesejahteraan
kanak-kanak.
Setakat ini, lebih daripada 50 buah negara di seluruh dunia
termasuk Singapura, Hong Kong dan Macau telah memasukkan vaksin pneumokokus ke
dalam NIP masing-masing.
No comments:
Post a Comment