TABIAT merokok sememangnya tidak baik untuk kesihatan diri dan orang
sekeliling, malah ia juga satu ketagihan yang merugikan dari segi wang ringgit.
Walaupun ada perokok yang memasang niat dan mencuba pelbagai cara untuk
menghentikan tabiat itu tetapi ia sukar dibendung, apatah lagi sekiranya ia
sudah jadi seperti rutin separa sedar.
Ada yang berhenti kerana memikirkan mengenai kesihatan diri dan keluarga
manakala ada pula yang mahu menghentikan tabiat buruk itu selepas mendapati
mereka sudah berhabis ribuan ringgit hanya untuk rokok.
Walau apapun, keinginan untuk berhenti merokok perlu datang daripada lubuk hati diri sendiri, bukan daripada pujukan orang lain seperti pasangan, isteri atau kalangan keluarga.
Mungkin sukar untuk dipercayai terapi selama 45 minit boleh menghilangkan
ketagihan merokok tetapi itulah hakikatnya melalui kaedah terapi laser yang
baru diperkenalkan di negara ini sejak beberapa tahun lalu.
Pengarah Facilitas LLLT (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat rawatan terapi merokok, Felicia Gwee yang bertanggungjawab menjalankan rawatan ke atas pelanggan berkata, terapi itu sudah dijalankan sejak 30 tahun lalu di negara Eropah dan Kanada berkesan untuk membantu menghilangkan ketagihan merokok di kalangan perokok tegar.
Katanya, penggunaan laser bukan saja lebih berkesan untuk merawat, malah tidak sakit atau meninggalkan kesan sampingan yang boleh memudaratkan kesihatan pelanggan.
“Untuk menghentikan tabiat merokok, pesakit hanya perlu menjalani rawatan terapi laser ini sekali saja iaitu selama 45 minit,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Subang Jaya.
Katanya, rawatan itu membabitkan pancaran ke 15 titik di dalam telinga yang akan mengaktifkannya, seterusnya membantu meningkatkan keupayaan tubuh untuk merawat ketagihan merokok.
Felicia berkata, terapi itu menggunakan konsep akupuntur tetapi tanpa penggunaan jarum serta tidak menggunakan sebarang ubat untuk merawat.
“Terapi itu membantu mengeluarkan hormon endorfin dalam tubuh yang bertindak sebagai penenang yang mengurangkan tekanan dan meningkatkan tenaga.
“Sesetengah pelanggan akan berasa tenang sehingga tertidur dan terapi itu juga mampu membantu mengurangkan simptom selepas berhenti menghisap rokok.
“Ini kerana dalam tempoh 72 jam selepas seseorang berhenti menghisap rokok, ia adalah tempoh genting iaitu seseorang itu berasa paling sukar untuk bertahan,” katanya.
Menurutnya, bagaimanapun, tahap kejayaan terapi juga bergantung kepada keazaman seseorang sama ada mereka sendiri mahu berhenti merokok ataupun sekadar mengikut permintaan pasangan.
Katanya, pelanggan yang datang sendiri dan mempunyai keazaman kuat untuk berhenti menghisap rokok berjaya membuang tabiat itu secara kekal.
“Sesi rawatan turut membabitkan rundingan dengan pelanggan mengenai bagaimana mereka boleh menghindar daripada terus merokok dan berkongsi tabiat berkenaan supaya rawatan secara fizikal dan mental dapat dijalankan,” katanya.
Rawatan yang diperlukan hanya sekali tetapi sekiranya tidak berjaya mencapai matlamat, rawatan seterusnya akan dijalankan sekali lagi tanpa sebarang caj dalam tempoh tiga bulan selepas rawatan pertama.
Majid (bukan nama sebenar), 52, seorang ketua pegawai eksekutif di sebuah kolej swasta berkata, dia mempunyai ketagihan merokok yang sukar dibendung memandangkan sudah menghisap rokok selama 36 tahun sejak usianya baru menginjak 16 tahun.
Katanya, ketika kemuncak tabiatnya itu iaitu sekitar lima tahun kebelakangan ini, dia menghisap rokok sehingga empat kotak sehari atau hampir 80 batang.
“Apabila saya melakukan kira-kira, saya terkejut kerana rupa-rupanya saya sudah membelanjakan lebih RM1,000 sebulan hanya untuk rokok dan ia memberi kesedaran kepada saya betapa seriusnya ketagihan merokok itu.
“Walaupun sudah mencuba pelbagai kaedah sebelum ini, semuanya tidak berjaya hingga akhirnya saya kembali menghisap rokok,” katanya ketika dihubungi.
Majid berkata, apabila cuba berhenti, bukan saja selera makannya naik mendadak tetapi dia juga bertukar menjadi seorang yang cepat marah serta mudah mengantuk.
Katanya, ketagihan secara fizikal agak mudah untuk dirawat tetapi apabila ia membabitkan mental, ketagihan itu susah dibuang kerana sudah terlalu lama dan biasa menghisap rokok.
“Rokok sudah seperti ‘isteri’ saya, sentiasa ada sepanjang perjalanan hidup saya. Saya juga menghisapnya sebagai mengisi masa terluang atau aktiviti senggang.
“Ia juga sudah menjadi tabiat di bawah sedar apabila saya secara tidak sedar akan mencari rokok walaupun saya sudah berjaya berhenti menghisap rokok sejak dua bulan lalu,” katanya.
Majid berkata, pelbagai cara dilakukannya untuk menghentikan tabiat itu antaranya menggunakan kaedah tampalan nikotin, akupuntur dan rokok elektrik tetapi gagal sebelum bertemu dengan kaedah terapi laser.
Keazamannya untuk berubah kepada cara hidup lebih sihat memandangkan akan bersara tidak lama lagi selain ingin berjimat, membantunya berjaya dalam menghentikan tabiat merokok.
“Selepas berhenti menghisap rokok, saya dapat rasakan tubuh semakin segar, sihat dan cergas selain selera makan yang bertambah.
“Saya juga dapat berjimat kira-kira RM2,000 selepas berhenti merokok dan wang itu saya gunakan untuk menukar sarung kusyen dalam kereta yang sebelum ini nampak agak kotor akibat asap rokok.
“Saya juga ingin bersara dengan gembira dan sihat supaya dapat lebih menikmati kehidupan dan bangga dengan diri sendiri kerana akhirnya selepas 36 tahun menghisap rokok, saya berjaya juga menghentikan tabiat itu,” katanya.
Pada masa sama, pekerja swasta, Dania (bukan nama sebenar), 30, mula berjinak-jinak menghisap rokok ketika usianya hampir menjangkau 18 tahun selepas dipengaruhi rakan sebaya.
Namun katanya, dia bukan penghisap rokok tegar, sebaliknya menghisap rokok untuk tujuan suka-suka atau ketika menghabiskan masa terluang bersama rakan.
“Walaupun saya tidak merokok secara berantai, saya pernah merokok hampir 20 batang sehari dan ini membuatkan saya mengalami beberapa masalah kesihatan.
“Selepas mendirikan rumah tangga saya berazam berhenti menghisap rokok kerana selain faktor menjaga keselamatan, saya juga mahu cuba mengandung,” katanya ketika dihubungi.
Dania berkata, dia tidak berhenti menghisap rokok secara mengejut, sebaliknya mengambil masa berhenti secara perlahan-lahan dengan mengurangkan jumlah batang rokok setiap hari.
Katanya, dia juga mencuba kaedah menggunakan rokok elektrik bagi menggantikan rokok sebenar sebagai motivasi untuk terus berhenti merokok.
“Selepas saya menggunakan rokok elektrik, saya dapati pandangan saya terhadap rokok sebenar berubah sama sekali apabila jika dulu saya tidak kisah tetapi selepas itu saya berasa jijik dengan rokok kerana baunya yang busuk.
“Kerana tidak tahan baunya, saya jadi tidak suka merokok dan selepas enam bulan saya cuba berhenti hisap rokok, sekarang ini saya sudah berhenti sepenuhnya dan tidak sentuh atau fikir mengenai rokok lagi,” katanya.
Menurutnya, sejurus berhenti merokok dia disahkan mengandung dan sehingga kini selepas melahirkan anaknya empat bulan lalu, dia langsung tidak menyentuh rokok.
Dia akui berhenti merokok adalah perkara terbaik yang dilakukannya memandangkan ia tidak mendatangkan faedah selain membazir wang.
“Sudah setahun saya tidak merokok dan saya kini bebas daripada rokok serta tidak memerlukan rokok elektrik untuk membantu saya menangani ketagihan itu.
“Lebih menggembirakan, suami saya turut mengikut jejak langkah dengan berhenti menghisap rokok sebaik bayi kami dilahirkan, apabila saya memberikannya nasihat serta menunjukkan contoh melalui diri saya sendiri.
“Saya sentiasa memberi kata semangat pada diri sendiri dan mengingatkan diri bahawa bukan rokok yang mengawal kita tetapi kita yang mengawalnya,” katanya.
Dania berkata, apa yang penting dalam proses untuk berhenti menghisap rokok adalah kesedaran dan keazaman diri sendiri untuk mengubah gaya hidup kepada yang lebih sihat.
No comments:
Post a Comment