expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Tuesday, 29 May 2012

Kota suci ketiga umat Islam





SEBAIK sahaja rombongan yang disertai oleh Muhammad Kamrulazizi, 30, sampai ke pintu masuk sempadan Israel dan Jordan yang dikenali sebagai Allenby Bridge, perasaannya bercampur-baur.


Allenby Bridge merupakan satu-satunya jalan darat untuk memasuki Israel dari Jordan.


Muhammad teruja untuk solat sunat sekurang-kurangnya dua rakaat di Masjid Al-Aqsa, tempat Nabi Muhammad S.A.W diangkat ke langit dalam peristiwa Israk Mikraj lebih 1,400 tahun yang lalu. 


Namun, hatinya bimbang mengenangkan keganasan tentera Israel. Tambahan pula sebelum itu pemandu pelancong telah mengingatkan ahli rombongan bahawa mereka tidak boleh mengambil gambar di Baitulmuqaddis selain jangan memarahi pegawai Israel sepanjang lawatan ke sana.


Menurut Muhammad, keadaan pejabat imigresen Israel di Allenby Bridge dipenuhi dengan lalat yang berterbangan. Di situlah permohonan visa pelancong perlu dibuat. 


Untuk sampai ke Allenby Bridge, Muhammad dan 30 ahli rombongan dari Malaysia yang lain terpaksa melalui jalan darat yang memenatkan dari Lebanon melalui Jordan sebelum tiba di sempadan Israel.


Standard operasi biasa pegawai Israel ialah mereka akan memilih secara rambang dua atau tiga orang daripada ahli rombongan untuk disoal siasat sebelum kebenaran untuk semua diberikan.


Produser tersebut menjadi lebih menggerunkan apabila para pegawai Israel akan mengambil masa selama antara tiga hingga empat jam untuk tujuan itu. Mereka akan mengajukan soalan-soalan berbentuk provokasi.


"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Mereka hanya menahan sepasang anak-beranak dan sesi soal jawab pula mengambil masa sejam sahaja," ujar Muhammad ketika ditemui di Bangsar, Kuala Lumpur.


Sememangnya perjalanan darat melalui Allenby Bridge merupakan antara cara bagi rakyat Malaysia untuk melawat Israel. Ini kerana polisi kerajaan Malaysia tidak membenarkan rakyat negara ini mengunjungi negara zionis itu dan perkara itu ada tercatat dalam pasport Malaysia.


Pelawat perlu datang secara berkumpulan dengan menaiki bas sebagai menandakan mereka ialah pelancong. Pengembara perseorangan seringkali dituduh sebagai pengganas dan diarahkan supaya berpatah balik. 













  


MASJID Al-Aqsa merupakan tempat ketiga paling suci umat Islam dan pernah menjadi kiblat pertama sebelum ditukar ke arah Masjidilharam di Mekah.


Ujar Muhammad, ketika di pejabat imigresen, sekeping kertas akan dikepil pada pasport untuk dicop. Kertas tersebut perlu dijaga sepanjang berada di Israel.


Surat kebenaran


Tiada jalan lain, setiap Muslim yang mahu melawat ke tempat yang menjadi kiblat pertama umat Islam itu perlu pergi ke negara Yahudi berkenaan.


Tidak seperti Masjidilharam di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah, suasana waktu solat di Masjid Al-Aqsa agak lengang dengan jemaah.


Semua itu disebabkan penduduk Islam Palestin hanya boleh bersolat pada hari Jumaat dan terdapat had umur yang dibenarkan. Namun, orang Islam yang bukan bangsa Arab boleh bersolat di Masjid al-Aqsa setiap waktu.


"Menurut imam Masjid Al-Aqsa, masjid itu kini bergantung kepada orang luar seperti pelancong untuk memakmurkannya," kata Muhammad yang bekerja di Muslim Aid Malaysia.


Untuk masuk ke dalam masjid, pelawat sekali lagi akan melalui pusat pemeriksaan Israel. Pondok tersebut pula dikeliling tentera Israel yang sentiasa memegang kemas senjata M16.


Setelah melalui pemeriksaan menggunakan alat pengesan logam, barulah mereka dibenarkan berada di kawasan masjid yang dikenali sebagai al-Haram al-Sharif.


Muhammad berkata, hanya ada dua atau tiga saf jemaah yang bersolat di situ setiap waktu. Bagaimanapun, jemaah akan ramai semasa solat Jumaat. 


"Saya sempat bersiar-siar di dalam kawasan masjid sambil ditemani imam masjid tersebut.


"Menurut imam tersebut, rakyat Palestin selalu berdepan masalah terutama apabila mahu bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain.


"Katanya, Palestin telah terbahagi pada dua bahagian. Satu dikuasai oleh Israel manakala satu lagi didominasi Palestin. 


"Jadi, setiap warga Palestin yang mahu ke sesuatu tempat perlu mendapatkan surat kebenaran laluan daripada pihak Israel. Proses permohonan itu mengambil masa selama hampir sebulan," cerita Muhammad.


Selain itu, rombongan Muhammad turut mengunjungi tempat paling suci pengikut agama Yahudi iaitu Tembok Ratapan yang terletak tidak jauh dari Masjid Al-Aqsa.


Hanya pada waktu tertentu pelancong asing dibenarkan mendekati tempat tersebut. Pengunjung juga diwajibkan memakai sejenis penutup kepala yang dipanggil kippah. 














 

TEMBOK Ratapan penganut Yahudi ini terletak begitu dekat dengan Masjid Al-Aqsa (kiri). Bandar Tel Aviv pula lebih dikenali sebagai pusat hiburan dan perniagaan (tengah). Ruang asal tempat bersembahyang di Masjid Al-Aqsa (kanan).


"Saya terkejut kerana kippah itu menyerupai penutup kepala penganut agama Yahudi. Namun mujurlah saya memakai kopiah yang menyerupai kippah, jadi saya terus dibenarkan masuk," ujar Muhammad.


Walaupun melihatnya dari jauh, suasana di Tembok Ratapan masih diselubungi suara orang menangis dan meratap biarpun tidak ramai penganut agama itu di situ.


Rombongan Muhammad turut berpeluang mengunjungi ibu kota Tel Aviv yang terletak kira-kira 75 kilometer dari Baitulmuqaddis. 


Hiburan


Tel Aviv yang terletak di pesisiran Laut Mediterranean sangat terkenal sebagai bandar hiburan dan pusat ekonomi Yahudi. 


Pada hari Muhammad sampai, cuacanya adalah antara 16 hingga 17 darjah Celsius. Di sana terdapat banyak pohon merimbun dan menghijau. Keadaannya sungguh berlainan daripada bandar Palestin yang mempunyai struktur bumi bergurun dan berbatu.


Banyak bangunan pencakar langit melatari pemandangan Tel Aviv termasuk hotel lima bintang dan pusat beli-belah selain restoran tepi pantai.


Malah, dalam laporan akhbar baru-baru ini, pihak dewan bandar raya Tel Aviv akan membelanja sejumlah wang khusus untuk memancing kedatangan pelancong gay.


"Kami cuba menjadikan bandar raya ini bandar raya contoh dengan mengamalkan keterbukaan, pluralisme dan toleransi," kata Datuk Bandar Tel Aviv, Ron Huldai. 


Menurut seorang lagi peserta rombongan Malaysia ke Israel itu, Soleh Kamrulazizi, 24, suasana di bandar itu memang sangat terbuka tetapi tidaklah sehingga penduduknya bercumbuan sesama jantina di depan khalayak.





 
"Namun, di kawasan bandar terdapat banyak papan tanda yang mengiklankan kelab-kelab tarian bogel dan pub secara terbuka. Agak segan juga apabila terpandang," ujarnya yang sempat bermalam di Tel Aviv.


Dari Tel Aviv, rombongan yang disertai Soleh melawat beberapa kawasan bersejarah yang berkaitan dengan sejarah Nabi Isa seperti Laut Galilee dan Sungai Jordan.


"Semasa tiba di tepi Sungai Jordan, ramai penganut Kristian membaptiskan diri dengan merendam badan mereka ke dalam sungai," terang Soleh.


Sungai Jordan merupakan kawasan suci bagi penganut agama itu. 


Tambah Muhammad pula, walaupun kawasan pembaptisan itu terletak jauh dari lokasi asal tetapi disebabkan aliran air, ia dianggap masih suci.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com