Azamuddin Akil (biru) diasak pemain
Felda United, Eddy Nator pada perlawanan persahabatan di Wisma FAM, semalam.
PETALING JAYA - Sekadar menang 2-1 ke atas Felda United
bukanlah keputusan yang mewajarkan status sebuah pasukan senior kebangsaan
tetapi Datuk K. Rajagobal tetap memandang positif hasil perlawanan persahabatan
pemanas badan itu.
Di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam, mata dan minda ketua
jurulatih negara itu lebih berkisar kepada tahap hantaran, persefahaman dan
pergerakan anak buahnya yang cuma menang dengan jaringan Shahurain Abu Samah
dan Amar Rohidan.
Aksi itu juga lebih berupa eksperimen Rajagobal dalam menilai
kemampuan jentera serangan pilihan kedua apabila cuma menurunkan bintang utama
Harimau Malaya seperti Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha dan Ashari Samsudin
dalam 20 minit terakhir.
Hanya penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat dan sayap
kanan Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Nor tidak diturunkan menjelang empat
hari persahabatan menentang Filipina masing-masing atas alasan tersendiri
jurulatih itu dan kecederaan urat pelipat lutut.
Sepanjang sebahagian besar separuh masa pertama, Rajagobal
mengutamakan gandingan Azamuddin Akil dan Ahmad Shakir Md. Ali yang kurang
berbisa sementara benteng tengah menampilkan pasangan pemain Angkatan Tentera,
Aidil Zafuan Radzak dan Amiridzwan Taj Tajudin.
Felda United mendapat gol sagu hati hasil sepakan bebas Abdul
Ghani Abdul Rahman pada babak kedua dalam perlawanan yang menyaksikan Safee
terpaksa dikeluarkan beberapa minit sebelum tamat selepas dikhuatiri tercedera
akibat terjahan lawan di luar kotak penalti.
Kata Rajagobal: "Dalam perlawanan ini, saya mengutamakan
pemain yang jarang bermain sebelum ini bagi menilai tahap kecergasan, hantaran
dan kombinasi mereka serta rentak perlawanan. Mereka tampak positif dari aspek
itu.
"Apek (Khairul Fahmi), Mat Yo (Norshahrul) dan Ashari
baru sahaja masuk kem latihan (selepas sibuk dengan Piala AFC) sementara saya
tidak boleh menurunkan Wan Zack Haikal kerana kecederaannya boleh mengambil
masa lebih panjang dan berisiko tinggi," katanya.
Harimau Malaya akan menghadapi Filipina di Stadium Shah Alam,
Jumaat ini sebelum ke Singapura, 8 Jun dan menanti kunjungan lawan empat hari
kemudian sebagai persahabatan persediaan untuk mempertahankan Piala Suzuki AFF,
November ini.
No comments:
Post a Comment