KOTA BHARU - Masih segar dengan kejayaan merangkul Piala FA
dan mara ke suku akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Kelantan kini
mengalih tumpuan sepenuhnya bagi mengharungi baki perlawanan Liga Super menentang
Johor FC, hari ini.
Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim berkata, pasukannya berada
dalam keadaan terbaik untuk menentang Johor FC malam ini dengan misi memberikan
tekanan kepada pendahulu liga, Lions XII yang kini mendahului dengan tujuh
mata.
Katanya, biarpun kurang enam perlawanan berbanding Lions XII,
Red Warriors tidak boleh tercicir sebarang mata dalam baki semua
perlawanan tersebut.
"Di atas kertas tugas kita memang nampak mudah jika
prestasi semasa Johor FC diambil kira. Namun saya tidak melihat itu sebagai
kelebihan sebaliknya kami perlu beraksi dengan baik sekiranya mahu menang.
"Pada aksi malam esok kami akan menurunkan semula Nor
Shahrul Idlan Talaha. Bagaimanapun gandingannya Muhammad Ghaddar tidak akan
diturunkan kerana pemain itu sedang beraksi untuk pasukan negaranya, Lubnan
manakala Zairul Fitree Ishak masih mengalami kecederaan ," katanya ketika
dihubungi semalam.
Menurutnya, sistem penggiliran pemain yang dilakukan oleh
jurulatih Bojan Hodak setakat ini berfungsi dengan baik walaupun pemain
terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang padat.
Katanya, Bojan sedang mengenalpasti beberapa kelemahan
terutamanya dari segi kekuatan mental selepas mereka hampir menerima padah
ketika menang tipis 3-2 ke atas Terengganu pada pusingan kedua Piala AFC.
"Perlawanan menentang Terengganu memberi iktibar kepada
kita kerana terlalu leka kita nyaris dihukum. Atas sebab itu kita akan berusaha
untuk membaiki kelemahan mental pemain.
"Saya berharap pemain tidak ambil mudah selepas
mendahului dengan jaringan yang besar dan memberi ruang kepada lawan untuk
merapatkan jurang," katanya.
Sementara itu, Azman berkata, pengurusan Persatuan Bola Sepak
Kelantan (KAFA) sedang mengenal pasti seorang lagi pemain import untuk
mengharungi Piala AFC selepas kontrak Onyekachi Nwoha tamat, kelmarin.
Tambahnya, KAFA akan mendaftarkan pemain import bagi
menggantikan Nwoha dalam masa terdekat bagi menghadapi saingan suku akhir pada
September ini.
No comments:
Post a Comment