ANGGUN...berseri dengan busana indah
kain kembang menonjolkan keanggunan mempelai. Bunga tangan penambah seri.
MELANGKAH penuh yakin, dengan jambangan bunga segar di
tangan, indah dan menawan. Semuanya serba sempurna daripada pakaian, solekan
serta dandanan rambut. Malah dalam setiap padanan walaupun menjurus kepada gaya
moden, masih terlihat ciri rekaan tradisi menerusi potongan yang kemas,
perincian sederhana dan tidak keterlaluan.
Jelas koleksi terkini pakaian perkahwinan pereka muda yang
mencipta nama menerusi Anugerah Jarum Berlian 2000 dan 2004 ini, Syahrir Nurdin
bukan saja anggun untuk majlis pertunangan dan akad nikah malah persandingan,
majlis bertandang serta acara potong kek.
BERBEZA...fabrik renda menonjolkan kesempurnaan mempelai. Tanpa perincian manik sarat mampu menambah kelangsingan si pemakai.
TRADISI...persalinan
baju kurung putih cukup indah untuk majlis pertunangan atau pernikahan.
INGGERIS...tema
Inggeris pada busana keemasan bersama lilitan tali pinggang memberi kelainan
untuk majlis di taman.
INDAH...tanpa
perincian manik mewah, busana ini cukup indah untuk mempelai.
Setiap
padanan yang beralun cantik pada tubuh tinggi lampai peragawati, bagaikan tiada
kekurangan. Kemas, malah sesiapa juga pasti terpesona pada potongan yang begitu
menyerlah menerusi lembaran fabrik digunakan. Nyata anak muda ini bijak
mengadunkan warna menerusi pemilihan material seperti sifon, renda Perancis,
taffeta, shantung sutera dan satin dutches.
Menurut Syahrir, walaupun tampil moden namun untuk bertunang dan akad nikah, potongan kurung moden masih menjadi pilihan.
“Potongan
ini bukan saja sesuai malah terbukti mampu menaikkan seri pengantin. Oleh sebab
itu ia menjadi rekaan kegemaran mempelai kerana nilai estetika yang
tersendiri,” katanya.
Bagi menambah nilai eksklusif, bahagian kain direka lebih moden seperti potongan duyung dan juga kedutan pada bahagian lutut. Fabrik renda Perancis dan shantung sutera dipilih untuk baju, sementara sifon digunakan pada bahagian kain.
Untuk majlis persandingan, Syahrir memilih sentuhan bercirikan gaya Inggeris kerana rekaan ini masih menjadi pilihan bakal pengantin lantaran pengaruh daripada perkahwinan Kate Middleton. Walaupun tampil moden, tetapi setiap potongan masih mengekalkan ciri kesopanan serta kelembutannya.
“Menariknya bentuk leher potongan sampan dan dikemaskan perincian manik sesuai untuk semua jenis bentuk badan manakala pengantin bertudung, sesuai mengenakan pakaian dengan leher berbentuk bulat.
“Bentuk leher V pula sesuai dipraktikkan bagi mempelai yang ingin memakai rantai leher pada hari pernikahan atau persandingan. Bentuk leher V ini juga memberi ilusi leher nampak lebih jinjang,” katanya yang membuka butik di Plaza Masalam, Shah Alam.
Daripada segi pemilihan warna, putih gading, nude dan champagne adalah antara rona yang tidak lapuk ditelan zaman walau apa juga tema pilihan. Malah pengantin memberi kebebasan kepada Syahrir dalam menentukan warna sesuai.
Bagi kekal sempurna, Syahrir menasihati mempelai memilih aksesori yang tidak terlalu sarat coraknya. Saiz bergantung pada lokasi perkahwinan. Sekiranya majlis itu diadakan di dewan besar mempelai boleh menggunakan ukuran besar tetapi bagi majlis di rumah memadai memakai aksesori tiara atau anting-anting sederhana.
“Rantai bukanlah perhiasan yang harus dipakai pada setiap pakaian. Sekiranya bahagian leher busana dihiasi kemasan manik, rantai sudah tidak perlu lagi. Cukup hanya mengenakan subang dan tiara atau klip rambut bertakhta mutiara atau permata,” nasihatnya.
No comments:
Post a Comment