GAMBAR Zuhrah (bintik hitam)
melintasi matahari pada tahun 2004.
GEORGE TOWN - Orang ramai terutama peminat serta pengkaji astronomi
berpeluang melihat planet Zuhrah yang akan muncul merentasi matahari buat kali
terakhir pada abad ini pada 6 Jun nanti.
Fenomena astronomi itu bakal disaksikan ramai penduduk dunia
termasuk Malaysia selepas matahari terbit pada pukul 7.12 pagi, Rabu depan.
Kurator Kanan Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah Universiti
Sains Malaysia (MGTF USM), Zolkurnain Hassan berkata, fenomena yang dipanggil
transit planet Zuhrah itu akan berlanjutan sehingga 1 petang.
Kata beliau, pihaknya dengan kerjasama Kelab Astronomi USM
akan mengadakan program khas ini bertempat di tiga lokasi utama di kampus
universiti itu dengan menyediakan teleskop untuk memudahkan orang ramai
menyaksikan pergerakan planet Zuhrah.
"Pelbagai aktiviti lain diadakan seperti pameran transit
planet Zuhrah, ceramah astronomi, pertandingan fotografi dan lawatan ke
planetarium," ujarnya.
Transit Zuhrah adalah fenomena astronomi yang mana planet ini
bergerak antara matahari dan bumi.
Semasa transit, planet Zuhrah akan kelihatan seperti satu
bintik berwarna hitam merentasi cakera matahari secara perlahan-lahan selama
enam jam dan ia boleh disaksikan menerusi penuras suria atau kaca mata gerhana.
No comments:
Post a Comment