PENGGUNA perlu merujuk kepada pakar
perubatan terlebih dahulu sebelum mengambil ubat-ubatan tradisional. - Gambar
hiasan
DEWASA ini penggunaan ubat-ubatan tradisional dan
komplementari (TCM) semakin mendapat kepercayaan berikutan kerancakan aktiviti
penyelidikan dan kecanggihan teknologi yang digunakan pengeluar.
Ubat itu termasuk ubat tradisional Melayu dan Cina, selain
rawatan ayurveda, homeopati dan akupuntur.
Bagaimanapun, bukan semua produk yang dikatakan ubat itu boleh
menyembuhkan penyakit. Malah, banyak kes berkaitan ubat tradisional dan
alternatif sebelum ini didapati mendatangkan mudarat.
Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan Malaysia, sebanyak
11,885 produk TCM telah didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD)
setakat ini.
Namun, pada tahun lepas, Biro Pengawalan Farmaseutikal
Kebangsaan (BPFK) menerima 127 laporan kesan mudarat akibat penggunaan produk
tradisional termasuk yang didaftarkan dengan PBKD.
Ujian
BPFK mengesan pelbagai produk tradisional yang dicemari
dengan bahan terkawal atau racun berjadual seperti steroid, sibutramine (ubat
langsing) dan sildenafil (ubat kuat lelaki).
Bahan-bahan terkawal itu berfungsi untuk menahan kesakitan
selain bertindak melangsingkan badan seseorang. Ia juga didakwa mampu menambah
kekuatan tenaga batin lelaki dan wanita.
Mengulas isu ini, Pengarah Pusat Racun Negara, Universiti
Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Razak Lajis memberitahu, kebanyakan ubat
tradisional dan alternatif tidak melalui fasa ujian klinikal bagi mengenal
pasti produk tersebut selamat digunakan.
“Produk yang telah didaftarkan ini hanya melalui ujian
keselamatan penting di BPFK seperti saringan steroid, logam berat dan bahan
terlarang berdasarkan dakwaan khasiat oleh pengeluar atau pengedar.
“Dakwaan yang dinyatakan oleh pengeluar mungkin terhad kepada
kajian ke atas haiwan, testimoni pengguna dan rujukan secara turun-temurun,”
katanya.
Namun begitu, Razak menjelaskan tidak semua produk
tradisional memberi kesan sampingan kepada pengguna.
“Sama seperti ubat-ubatan moden, ada yang memberi kesan
sampingan dan ada yang tidak.
“Apa yang penting pengguna yang mengambil ubat ini perlu
merujuk pakar perubatan terlebih dahulu,” katanya.
Beliau juga mengingatkan penghidap penyakit kronik seperti
darah tinggi dan kencing manis bahawa rawatan moden dan tradisional hanya
berfungsi untuk mengawal penyakit tersebut dan bukan memulihkannya.
JANGAN berhenti mengambil ubat-ubatan
moden walaupun serasi dengan ubat-ubatan tradisional. - Gambar hiasan
Pakar
Katanya lagi, pesakit tidak harus berhenti daripada mengambil
ubat-ubatan moden walaupun mereka sedang mencuba rawatan alternatif.
“Ini kerana ubat-ubatan tersebut dapat membantu mengelakkan
penyakit tersebut daripada melarat.
“Ubat moden mesti diambil walaupun ubat tradisional terbabit
mula menunjukkan kesan positif,” katanya.
Ujarnya lagi, ini bagi menggelakkan sebarang interaksi bahaya
antara ubat-ubatan.
“Ubat tradisional berfungsi pada bahagian tertentu dalam
badan sama seperti ubatan moden.
“Jika saling berinteraksi, ia mungkin mendatangkan bahaya
pada individu itu selain mendedahkan pengguna kepada penyakit seperti kerosakan
buah pinggang,” katanya.
Razak menambah, status kesihatan dan penyakit sedia ada
adalah faktor yang mempengaruhi keberkesanan ubat tradisional.
“Sentiasa rujuk pada label dan kandungan ubat tersebut. Jika
ragu-ragu, beli ubat tersebut di farmasi berdaftar,” katanya.
Seorang pakar farmasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Puncak Alam, Aida Azlina Ali, berkata bukan semua orang perlu mengambil
ubat-ubatan tradisional.
“Jika seseorang telah mengamalkan diet yang sempurna dan
berkhasiat, tubuh mereka tidak memerlukan ubat tersebut.
“Ini kerana pengambilan ubat tradisional tanpa mengikut
keperluan boleh bertukar menjadi toksik yang membahayakan tubuh,” katanya.
Beliau turut menasihatkan mereka yang ingin mengambil produk
TCM supaya bertanya kepada pakar perubatan sebelum menggunakannya.
“Mungkin ubat itu berkesan untuk jangka masa pendek sahaja.
Teliti dahulu kandungannya serta rujuklah pakar.
“Selain itu, jangan sekali-kali meninggalkan ubat moden
kerana kebanyakan ubat sebegini telah menjalani pelbagai ujian klinikal sebelum
diluluskan,” katanya.
No comments:
Post a Comment