AKSI lemur putih ini sungguh
mempesonakan apabila ia berada dalam kelompok spesiesnya.
HAIWAN yang paling menarik saya pernah temui, cuba menggoda
isteri saya. Sukar untuk menjelaskannya, namun saya sendiri terkejut apabila isteri
membenarkan haiwan primat itu menari-nari di atas bahunya sambil menggendong
anak perempuan kami yang berusia enam bulan.
Berbulu, jinak, mata terbonjol dan penuh misteri, lemur
Madagascar menarik perhatian ramai orang kerana teletahnya yang mencuit hati.
Dengan mata berkilau dan bertangan lembut, tingkah lakunya umpama seekor kucing
domestik yang jinak.
Bahasa mudahnya, lemur merupakan haiwan yang menyeronokkan!
Disebabkan itu, tidak hairanlah isteri saya, Katie,
membenarkan seekor lemur bermain di atas tangan dan kepalanya ketika
menggendong anak sulung kami, Herper. Ia mungkin satu tindakan yang di luar
jangkaan, namun haiwan itu memang benar-benar selamat.
Pengalaman tersebut menceriakan keseluruhan pengembaraan
kami. Sudah lama kami membayangkan untuk mendekati lemur di kepulauan Afrika.
Memburu keinginan itu, maka saya, Katie dan bayi kami,
Harper, menjelajah ke Madagascar bersama pasangan Aaron dan Kaarli yang baru
tiga bulan mendapat cahaya mata mereka, Kaled.
Godaan di Madagascar sangat jelas. Kepulauan di Afrika Timur
itu di kelilingi bukit-bukit dan sawah padi. Sejak zaman penjajah Perancis, ia
masih mengekalkan keaslian tradisi kulinarinya sehingga kini.
UMPAMA seekor kucing domestik, lemur ini sangat jinak hingga menjadikan bahu Katie sebagai tempat 'bersantai'.
Malah, negara itu juga bertuah kerana dikurniakan pantai yang
indah dengan hamparan pasir yang halus dan memutih.
Mundur dan berbahaya
Bagaimanapun, Madagascar agak terpinggir daripada arus
pemodenan. Sebahagian besar kenderaan yang digunakan di sini dihasilkan pada
sekitar tahun 70-an. Ketika kami mahu menikmati hidangan makan malam di Peugeot
yang pernah diperintah oleh Napolean satu ketika dahulu, Katie duduk di
‘kerusi’ hadapan.
Sebenarnya, ia bukan kerusi. Sebaliknya ia hanyalah bahagian
rangka hadapan kenderaan yang langsung tidak dilapisi kusyen apatah lagi
fabrik.
Jika perkhidmatan teksinya sedemikian rupa, bagaimanakah pula
dengan perkhidmatan di hospital?
Apa agaknya yang akan terjadi sekiranya anak-anak kami
tiba-tiba memerlukan rawatan kecemasan?
Satu fakta yang saya ingin kongsi dengan pembaca, portal
pelancongan mengenai Madagascar yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika
menyatakan negara itu terkenal dengan serangan malaria, wabak endemik, rompakan
bersenjata, kes-kes curi kenderaan dan keadaan jalan raya yang sempit serta
berliku-liku.
Sejak tahun 2009 sehingga kini, Amerika Syarikat (AS) tidak
mempunyai hubungan diplomatik dengan Madagascar selepas berlaku kejadian
rampasan kuasa yang menyaksikan seorang bekas penyampai radio menjadi presiden.
“Kamu semua sudah gila agaknya. Siapa yang mahu membawa bayi
berusia empat bulan ke negara yang terkenal dengan kejadian rampasan kuasa?”
kata seorang rakan yang menetap bersama penulis di Kenya.
MATA yang terbonjol dan penuh misteri ini menyebabkan lemur menjadi tarikan utama pengunjungke kepulauan ini.
SEBAHAGIAN besar penduduk di kepulauan ini masih mengekalkan ciri-ciri tradisional dalam kehidupan mereka.
MATA yang terbonjol dan penuh misteri ini menyebabkan lemur menjadi tarikan utama pengunjungke kepulauan ini.
Rupa-rupanya, tidak ramai dalam kalangan warga AS yang
berkunjung ke negara itu. Seorang pelancong dari Belgium menyangka kami berasal
dari Afrika Selatan.
Kata lelaki itu, dia tidak pernah melihat warga AS menyusukan
anak mereka di tempat awam seperti yang dilakukan oleh Katie dan Kaarli.
Seorang wanita dari Florida yang menetap di resort tepi tasik
yang kami lawati berkata: “Saya puji kamu semua. Saya tidak pernah lihat mana-mana
pelancong kecuali dari Jerman yang membawa bayi seperti ini.”
Haiwan unik
Biarpun dibayangi amaran dan kebimbangan, kami tidak
berhadapan dengan sebarang masalah. Malah, kami melalui satu percutian yang
sangat menarik.
Salah satu tarikan utama, pastinya lemur. Ia hanya boleh
ditemui di Madagascar. Perkataan lemur bermaksud hantu dalam mitos Rom
disebabkan matanya yang terbonjol selain lolongannya yang menakutkan.
Kami terserempak dengan haiwan itu buat pertama kali ketika
menginap di sebuah hotel, Vakona Forest Lodge, berhampiran sebuah pulau kecil
di Andasibe.
Lemur dibiarkan bebas, namun ia tidak boleh ke mana-mana
kecuali di pulau itu kerana ia tidak boleh berenang. Di situlah beberapa ekor
lemur berwarna perang cuba memanjat badan Katie dan Kaarli.
Seekor lemur duduk di atas kepala saya sambil mendukung
anaknya sebaik sahaja saya memberinya hirisan pisang. Lazimnya saya tidak
meminati haiwan, tetapi pengalaman bermesra dengan lemur nyata menarik dan
berbeza.
Selain di lokasi itu, anda boleh melihat lemur liar tatkala
berkunjung ke Taman Negara Andasibe-Mantadia. Sambil ditemani pemandu
pelancong, anda boleh berjalan atau berlari mengikut laluan treking. Pada masa
yang sama, kelibat haiwan itu yang bergayut di dahan pokok mudah dilihat.
SEBAHAGIAN besar penduduk di kepulauan ini masih mengekalkan ciri-ciri tradisional dalam kehidupan mereka.
Disebabkan kami memilih untuk bermalam selama dua hari di
Andasibe, kami tidak bercadang membawa anak-anak bersama ke dalam hutan. Ini
berikutan kami perlu melalui laluan berbukit dan terpaksa berlari-lari anak
untuk mengejar populasi lemur di situ.
Kaarli dan Katie berpeluang melakukan aktiviti itu pada hari
pertama ketika saya dan Aaron menjaga anak-anak kami. Peluang kami muncul pada
hari kedua.
Spesies terancam
Pemandu pelancong kami, Zaka sememangnya seorang pakar alam
semula jadi. Ketika berjalan merentasi hutan, dia akan berhenti, mendongak
kepala ke sisi, menyelinap di celah-celah batang kayu, sebelum menemui
sekumpulan lemur tidak berapa lama kemudian.
Dalam tempoh dua hingga tiga jam itu, Zaka membawa kami
melihat empat kumpulan lemur daripada spesies Indri. Kami bernasib baik
katanya, lebih-lebih lagi ia merupakan spesies terancam.
Indri merupakan kumpulan terbesar dalam spesies lemur yang
dibezakan melalui bunyi yang dihasilkannya. Saya berpendapat, ia kedengaran
seperti berdecit-decit. Bagaimanapun, Aaron pula menyatakan bunyinya seperti
ikan paus kecil.
Di Nairobi, tempat saya tinggal dan bekerja, bukan sesuatu
yang luar biasa apabila dapat melihat monyet-monyet melompat dan bergayutan di
atas pokok berhampiran pekarangan rumah. Lemur bagaimanapun agak berbeza, ia
meluncur seolah-olah berenang di atas kanopi hutan.
Sekumpulan lima ekor lemur tampak selesa duduk di atas saya
dan Aaron. Ia hanya mengerling seketika sebelum melompat ke arah pokok-pokok,
meluncur laju umpama sebuah roket.
Kesukaran untuk mengambil gambar menyebabkan saya lebih
selesa melihatnya. Zaka berkata, adakalanya dia membawa sehingga 20 orang
pelancong ke situ. Pada hari itu, cuma saya dan Aaron sahaja.
Zaka ialah seorang pemandu pelancong yang hebat, tetapi ia
tidak sama seperti seorang lagi pemandu pelancong yang kami temui dua hari
kemudian ketika mencari lemur di resort tepi tasik berhampiran pantai. Lelaki
itu pandai meniru bunyi lemur.
“Aroo-wah, aroo-wah. Whap, a-whap, whap-whap-whap-whap,”
laungnya di dalam hutan, sebelum menambah beberapa perkataan Inggeris: “Let's
go, let's-go, let's-go, let's-go.” – AFP
No comments:
Post a Comment