RONA fizikal katak daripada keluarga Dendrobatidae itu sangat
menarik. Komponen warna primer seperti kuning, emas, perak, merah, hijau, biru
dan hitam yang mencolok mata dengan rekaan yang berlebihan pasti memukau pandangan
orang ramai.
Lebih dikenali sebagai poison dart frog (katak damak
beracun), kebanyakan ukuran panjang haiwan comel itu kurang 1.5 sentimeter,
tetapi ada juga yang berukuran sehingga mencecah enam sentimeter.
Warna dan saiz berlainan itu bergantung kepada habitat katak
tersebut. Ia banyak ditemui di hutan hujan tropika di benua Amerika Selatan dan
Amerika Tengah di antara Costa Rica dan Brazil, manakala sedikit di kepulauan
Hawaii.
Terdapat lebih 100 spesies katak damak beracun bergantung
kepada warna dan corak. Ada yang berwarna hijau dan hitam dengan corak bintik
hitam. Ada juga yang seakan-akan buah strawberi, manakala yang lain berbadan
warna merah dan berkaki biru.
Amaran
Sebenarnya, warna dan rekaan berlebihan itu merupakan cara
katak tersebut memberi amaran kepada haiwan pemangsa. Teknik yang dikenali
sebagai pewarnaan aposematik (menggunakan warna untuk menakutkan musuh) turut
dimiliki oleh haiwan lain.
Bukan sahaja sebagai amaran, tetapi kulitnya juga mengandungi
racun berbisa. Bayangkan, seekor katak jenis keemasan sepanjang lima sentimeter
sudah cukup untuk membunuh 10 lelaki dewasa.
Ia menjadikan haiwan tersebut antara yang bertoksik di muka
Bumi.
WARNA dan corak pada badan katak ini disebabkan oleh persekitaran habitat haiwan tersebut.
Para saintis masih lagi tidak dapat memastikan sumber toksik
yang terdapat pada katak tersebut namun terdapat kemungkinan ia mengasimilasi
racun-racun tumbuhan yang dibawa oleh serangga seperti semut, kumbang dan
anai-anai.
Peliknya, katak kecil itu hidup secara terasing dan terpisah
daripada serangga lain di habitat tersendiri yang tidak mungkin boleh
menghasilkan bisa.
Komuniti penyelidikan untuk perubatan menemui kemungkinan
beberapa jenis bisa daripada katak tersebut boleh digunakan dalam bidang perubatan.
Pihak terlibat telah membangunkan sejenis kompaun versi bisa
sintetik yang boleh dijadikan sebagai ubat penghilang kesakitan.
Cara katak jantan menarik perhatian pasangannya adalah
melalui kaedah mengeluarkan getaran vokal yang sangat kuat.
Selepas selesai mengawan, katak betina akan mengeluarkan
beberapa dozen telur yang diselaputi pelindung seperti bahan agar-agar di atas
daun.
Sepanjang dua minggu pertama, si jantan akan memeriksa telur
secara berkala. Apabila berudu menetas, ia akan berenang ke atas badan katak
jantan dan bapanya akan membawa ke tempat yang sesuai untuk membesar.
Apabila sudah berada di lokasi yang sesuai, berudu akan hidup
secara sendiri dan memerlukan masa tiga bulan untuk mengalami proses
metamorfosis menjadi katak kecil.
Jangka hayat seekor katak damak beracun yang hidup dalam
persekitaran terasing boleh mencapai lebih 10 tahun.
KATAK jantan akan mengeluarkan bunyi yang sangat kuat bagi menarik pasangan untuk mengawan.
Sesetengah spesies katak itu berada pada tahap terancam kerana
kehilangan habitat yang menyebabkan bilangannya semakin berkurang.
Melalui sumber daripada sebuah kedai menjual haiwan eksotik,
Reptiles Planet and Pet Studio, untuk memelihara haiwan tersebut di negara ini,
seseorang itu perlu memiliki lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Perlindungan
Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
"Ia adalah spesies dilindungi dan harganya sangat mahal
dengan minimum harga RM350," ujar seorang pemilik yang tidak mahu
dikenali. Buat masa ini, kedai yang terletak di Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur
itu tidak mempunyai stok.
Tambahnya, katak damak beracun dijaga dengan cara yang amat
mudah. Setiap hari haiwan tersebut perlu disembur air dan diberi makan
cengkerik kecil.
Bagi yang hidup di habitat liar pula, ia akan memakan serangga
kecil seperti semut dan anai-anai. Kebanyakan makanannya ditemui di lantai
hutan dengan cara menangkap menggunakan lidah yang panjang.
No comments:
Post a Comment