PARA peserta memulakan larian Maraton
Tenzing Hillary di bes kem Gunung Everest Everest semalam.
KATHMANDU, Nepal - Lebih 150 pelari lasak mengambil bahagian
dalam Maraton Everest Tenzing-Hillary yang merupakan larian tertinggi di dunia
di sini semalam, kata pihak penganjur.
Acara tahunan itu diadakan bagi memperingati pendakian
bersejarah manusia pertama yang berjaya menawan puncak Everest setinggi 8,848
meter.
Puncak tertinggi di dunia itu ditakluki oleh Edmund Hillary
dan pemandu arah warga Nepal, Tenzing Norgay pada 29 Mei 1953.
Larian ekstrem itu bermula pukul 7 pagi (waktu Nepal) di Bes
Kem pada ketinggian 5,356 meter dan berakhir di Namche Bazaar setinggi sekitar
2,000 meter dari aras laut.
Peserta terpaksa melalui laluan yang sempit, gunung berbatu
dan oksigen yang terhad sepanjang larian sejauh 42 kilometer tersebut.
"Peserta terdiri daripada 93 rakyat asing dan 62 warga
tempatan," kata penganjur Shikhar Pandey.
Pemenang pertandingan kali ini ialah peserta Nepal, Phurba
Tamang yang menamatkan larian dalam tempoh tiga jam, 41 minit dan 31 saat.
Catatan tersebut cuma 11 saat lebih perlahan berbanding rekod
kemenangannya dua tahun lalu. - AFP
No comments:
Post a Comment