BUKU berbalut kertas warna hitam itu tampak sedikit usang.
Ditenung secara kasar, ia tidak ubah seperti buku nota biasa kepunyaan pelajar
sekolah. Apabila diselak sehelai demi sehelai lembaran muka surat buku tersebut,
terbongkar nostalgia yang mencuit hati.
Cukup popular dengan nama buku biodata, buku peribadi milik
Mohd. Haiqal Abdullah Chik, 24, itu dipenuhi profil lebih 200 rakan sekolah
menengahnya.
Usia buku itu sahaja sudah mencecah 12 tahun, tetapi masih
disimpan sebagai kenangan terindah Haiqal. Masih hijau dalam benak lelaki itu,
fenomena buku biodata cukup kuat sehingga hampir setiap remaja dahulu mempunyai
buku biodata masing-masing.
"Saya mula membuat buku biodata pada tahun 2001. Ketika
itu saya merupakan pelajar tingkatan satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM),
Pendang, Kedah.
"Tujuan asal membuat buku itu adalah bagi mengumpulkan
maklumat asas rakan-rakan maktab seperti alamat dan nombor telefon mereka. Kami
semua datang dari negeri berbeza dan buku itu penting sebagai rujukan untuk
berhubung ketika waktu cuti.
"Maklum sahaja, waktu itu komunikasi menerusi telefon
bimbit baru hendak berkembang. Internet pula masih berada pada tahap awal.
Hanya buku biodata menjadi pengerat hubungan kami," imbas Haiqal yang
berasal dari Kuala Selangor.
Selaku trend yang pantas berkembang, tujuan asal buku
tersebut berubah menjadi lebih menarik. Ruangan maklumat asas diri turut
memberi peluang kepada rakan-rakan berkongsi informasi yang sebelum itu
dikategorikan sebagai rahsia.
Selain nama penuh dan alamat, maklumat seperti nama timangan,
makanan dan minuman kegemaran, rakan baik, cita-cita, kata-kata semangat dan
artis pujaan menunjukkan betapa ikhlas persahabatan yang dijalin saat itu.
Tidak dinafikan informasi yang dikongsi adakalanya agak tidak
relevan tetapi hakikatnya, ia mencerminkan personaliti dan karakter seseorang
itu.
"Kelebihan buku biodata terletak pada kesungguhan
seseorang itu menghasilkan biodata diri mereka. Masing-masing cuba memberi
maklumat terbaik tentang diri dan bangga dengan apa yang ditulis.
POSTER Ziana Zain kerap ditemui dalam
kebanyakan buku biodata remaja suatu ketika dahulu.
"Fakta yang diberikan juga tepat dan paling penting
adalah kreativiti mereka jelas dilihat berdasarkan biodata yang diisi. Ada
dalam kalangan mereka yang mengambil serius buku biodata ini sampai sanggup
menghiasnya dengan cantik," jelas Haiqal yang sedang mengikuti program
ijazah sarjana muda pendidikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di
Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.
Kreativiti perempuan
Seorang lagi bekas pelajar MRSM Pendang, Nur Khalilah Khalid,
24, juga tidak terkecuali daripada memiliki buku biodata ketika zaman sekolah.
Menariknya, wanita yang kini bertugas sebagai pembantu juruaudit itu menyediakan
buku biodata mengikut kelas.
Bicara anak jati Kuala Lumpur itu, perbezaan ketara antara
biodata pelajar lelaki dan perempuan adalah dari segi kreativiti. Tidak
dinafikan, perempuan lebih kreatif, manakala lelaki gemarkan biodata ringkas.
"Perempuan suka bersaing menghasilkan biodata yang
paling cantik. Selepas melihat kawan lain menonjolkan skil tersendiri, yang
lain cuba menyaingi dengan membuat biodata lebih kreatif.
"Disebabkan itu, biodata perempuan sering dipenuhi
kertas-kertas warna yang dipotong pelbagai bentuk dan ditampal mengikut susunan
menarik.
"Pen warna juga sangat popular sebagai pelengkap hiasan
biodata pelajar perempuan. Kadang-kadang duit belanja diperuntukkan bagi
membeli pen warna dan ada pula yang meminjam rakan lain demi mencantikkan ruangan
maklumat mereka," lucu kenangan yang disingkap Khalilah yang juga suka
bersaing pada waktu itu.
Berbeza dengan lelaki, tambah Khalilah, pen biru atau hitam
dan karikatur pemain bola sepak sudah cukup melengkapkan biodata kaum Adam.
Cerita graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam,
Selangor itu, kebanyakan lelaki menggunakan sehelai muka surat sahaja untuk
biodata mereka dan ada antara mereka tanpa segan silu meletakkan nama perempuan
yang diminati.
BUKU biodata milik Khalilah (kiri)
dan Haiqal ini telah berusia hampir 12 tahun.
Taktik yang digunakan lelaki itu kadangkala menjadi dan dalam
diam perempuan yang diminati itu memberi maklum balas positif.
"Buku biodata bukan sekadar buku maklumat kepada kami.
Ia memberi keceriaan, menghidupkan suasana dan paling penting memberi
kesempatan untuk kami mengenali kawan-kawan berlainan kelas.
"Cikgu-cikgu juga tidak pernah merasakan buku biodata
sebagai perkara melekakan malah mereka juga sama-sama berkongsi maklumat dalam
buku biodata pelajar.
"Maklumat yang diberi dahulu banyak telah berubah namun,
apabila kita melihat kembali ia sebenarnya menunjukkan diri kita yang masih
mentah dan jujur," ujar Khalilah.
Diganti Facebook
Kecanggihan teknologi telah mendorong perkembangan
perhubungan. Dalam konteks buku biodata, ia kian pupus dan tidak lagi
dipraktikkan majoriti pelajar sekolah.
Kelahiran laman-laman sosial bermula daripada Friendster,
Myspace dan Facebook menggugat populariti buku biodata. Kemudahan perkongsian
maklumat hari ini dirasakan lebih praktikal dalam kalangan anak-anak muda
moden.
Haiqal sendiri lebih bersetuju dengan laman sosial baharu
sebagai pengerat hubungan tetapi, tetap tidak menyangkal kelebihan yang
dimiliki buku biodata.
"Banyak orang dalam laman sosial tidak jujur. Maklumat
yang dikongsi juga kebanyakannya palsu. Masing-masing cuba menjadi orang lain
agar kelihatan menarik sedangkan dalam dunia realiti karakter mereka
bertentangan dengan apa yang dipaparkan.
TEKNIK membakar bahagian tepi kertas
buku biodata sangat popular dalam kalangan pelajar pada zaman dulu.
"Buku biodata ditulis dengan keikhlasan. Tujuan kita
untuk berkenalan itu berasaskan nilai persahabatan. Setiap orang menjadi diri
sendiri dan komunikasi secara bersemuka juga dipraktikkan," ungkap Haiqal
yang juga seorang penulis blog menggunakan nama QarlHaiqal.
Bagi Michelle Francif, 23, membesar pada era kegemilangan
buku biodata memang seronok. Walaupun penguasaan Internet kian melebar kini, ia
masih gagal menandingi ciri klasik yang dipunyai 'buku remaja' itu.
Wanita yang berasal dari Ipoh, Perak itu menyifatkan
penggunaan tulisan tangan pada buku biodata menyerlahkan perbezaan yang
dipunyai sahabat.
"Facebook dan laman sosial lain menggunakan tulisan
bertaip dan kriteria itu tidak menarik. Perkongsian gambar dalam alam maya
mungkin mudah, tetapi sudah tentu ia lebih baik dalam bentuk fizikal.
"Saya sering menampalkan gambar waktu sekolah dalam buku
biodata. Apabila diselak kembali, ia mengingatkan betapa pentingnya nilai
persahabatan ketika itu.
"Hanya dengan sebuah buku, ia dapat mengajar saya dan
rakan-rakan lain berkomunikasi dan berkenalan dengan rakan baharu," kongsi
Michelle yang masih menyimpan buku biodatanya yang dibuat pada tahun 2002.
Wah nostalgia sungguh.. baru teringat yang dulu iha ada buat jugak 'kegiatan' macam ni.. nanti ada kelapangan iha kongsikan kat entri seterusnya.. :)
ReplyDeleteboleh2..nanti seribupilihan nak baca entri tu..selalu je tengok benda2 nie semua masa zaman sekolah dulu..:-)
Delete