expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday, 30 May 2012

Bacaan al-Quran terbaik




















Kehadiran Syeikh Abdurrahman Sudais (kiri) ke Malaysia pada tahun lalu mengundang minat umat Islam negara ini untuk melihat sendiri gerangan insan yang bersuara merdu dan tilawah Qurannya yang begitu syahdu. 


SATU ketika, saya berbual dengan seorang rakan yang arif dalam bab fikah dan amat berminat dengan dunia al-Quran. Saya selalu menjadikan dia rujukan untuk menyelesai permasalahan fikah dan sebaliknya, dia selalu bertanya kepada saya tentang qiraat, tajwid dan al-Quran.


Antara soalan yang ditanya ialah siapakah qari yang terbaik bacaannya? Adakah Syeikh Mahmud Khalil al-Husari, Syeikh Abdul Basit, Syeikh Jibril?


Soalan itu bersifat umum dan jawapannya boleh diberi dalam pelbagai bentuk. Jika dibuat sorotan kepada zaman Rasulullah SAW, baginda sendiri mempunyai suara yang amat baik. 


Al-Bara' Ibnu Azib meriwayatkan dalam satu perjalanan, Rasulullah SAW bersembahyang Isyak dan membaca dalam satu rakaatnya surah al-Tin. Al-Bara menyatakan: "Tidak pernah aku mendengar seorang pun mempunyai suara dan bacaan yang lebih baik daripada baginda." Kehebatan suara Rasulullah SAW tidak boleh dibanding dengan kelunakan suara yang wujud pada masa ini. 


Alunan suaranya menyusuk kalbu dan boleh menarik seseorang kepada Islam.
Perkara itu berlaku kepada Jubair Ibnu Mut'im. Kisah beliau memeluk Islam ialah kerana mendengar bacaan Rasulullah SAW.


Semasa Jubair sampai di Madinah untuk urusan tertentu, ketika itu Rasulullah SAW sedang bersembahyang Maghrib dan baginda membaca surah al-Tur. 


Kemerduan suara Rasulullah membuatkan Jubair mengikuti dengan penuh minat bacaan tersebut. Apabila sampai kepada ayat 35 yang bermaksud: Apakah mereka dicipta tanpa tujuan atau mereka yang mencipta diri mereka sendiri?


Bacaan yang amat baik, diadun dengan suara yang merdu, dibaca dengan kefahaman mendalam maksudnya, dibaca dengan hati yang tulus telah menerjah masuk ke dalam sanubari Jubair sehingga beliau menyatakan demi Allah hatiku melayang. Sejurus Rasulullah SAW memberi salam, Jubair mendapatkan baginda dan mengucap dua kalimah syahadah.


Jabir meriwayatkan satu hadis daripada Rasulullah SAW di mana pernah satu ketika baginda ditanya tentang siapakah yang terbaik suaranya membaca al-Quran. Baginda menjawab: "Mereka ialah orang yang apabila kamu mendengar bacaannya, kamu memikirkan ia takut kepada Allah."

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com