BAGAIMANA agaknya Rasulullah SAW bertemu jodoh dan akhirnya
berkahwin dengan Maimunah binti al-Harits sewaktu mengerjakan Umratul Qadha?
Maimunah yang bermakna orang yang bahagia merupakan nama baru
yang diberi oleh Rasulullah kepada isterinya itu, yang pada asalnya bernama
Barrah binti al-Harits.
Barrah merupakan seorang balu berusia 26 tahun yang kematian
suami, Abu Rahm Al-Amiri.
Barrah mempunyai saudara perempuan yang dikenali sebagai Ummu
Fadhl yang berkahwin dengan bapa saudara Rasulullah iaitu Abbas bin Abdul
Mutalib.
Seperti yang kita ketahui, Abbas tidak berhijrah ke Madinah
kerana sibuk menguruskan perniagaannya.
Melalui Abbas jugalah Barrah banyak mengetahui mengenai
Rasulullah yang menyebabkan wanita itu begitu tertarik dengan baginda.
Akhirnya Barrah dapat mengenali wajah baginda saat baginda
berlari-lari anak mengerjakan ibadat Saie dan ketika baginda berhenti berehat
sambil minum air zamzam.
Pandangan pertama itu menyebabkan Barrah terus jatuh hati
kepada Rasulullah dan berharap baginda akan menjadi pasangan hidupnya selepas
kematian suami.
Tetapi bagaimana hasrat di hatinya itu dapat disampaikan
kepada baginda? Dan bagaimana baginda akhirnya sudi untuk menerima Barrah
sebagai isteri?
Sebagai wanita tentulah agak janggal jika Barrah sendiri yang
menyatakan hasrat di hatinya itu kepada baginda walaupun tidak salah jika
dikatakan perigi mencari timba. Tetapi perlulah dilakukan dengan adab yang
tidak menjejaskan maruah mana-mana pihak.
Namun yang lebih penting, Barrah harus bertindak segera
sebelum umat Islam yang diketuai oleh Rasulullah itu akan kembali ke Madinah.
Lalu tanpa dapat ditahan-tahan, Barrah berkongsi rahsia hatinya
itu dengan saudaranya sendiri, Ummu Fadhl.
Pada mulanya bukan mudah untuk Barrah menceritakan apa yang
sedang bergolak di hatinya itu. Tetapi akhirnya setelah dipujuk oleh Ummu
Fadhl, Barrah mencurahkan niatnya.
"Sesungguhnya aku telah jatuh hati dan sangat mencintai
Rasulullah dan ingin bernikah dengan baginda," katanya sambil tersenyum.
Ummu Fadhl yang mendengar kata-kata yang tulus daripada
Barrah itu turut tersenyum lalu menggenggam tangan adik perempuannya itu dan
berkata: "Insya Allah, pasti semua ini adalah suatu kebaikan dan segala
hajat akan dapat dipenuhi. Kamu bersabar dan berdoa sementara saya akan
usahakan untuk menyatukan kamu dengan Rasulullah."
Pada mulanya Barrrah tidak mengerti akan kata-kata saudara
perempuannya itu. Tetapi rupa-rupanya Ummu Fadhl meminta bantuan suaminya,
Abbas untuk menjadi wakil bagi 'meminang' Rasulullah.
Abbas pun menemui Rasulullah dan menyatakan hasrat adik
iparnya itu.
"Adakah kamu sudi berkahwin dengannya wahai
Rasulullah," tanya Abbas.
Baginda pun dengan senang hati menerima lamaran daripada
Abbas itu.
Lalu baginda meminta pertolongan seorang lagi bapa saudaranya
iaitu Jaafar bin Abdul Mutalib untuk meminang Barrah secara rasmi dengan mahar
mas kahwinnya sebanyak 400 dirham.
Lalu Rasulullah pun bernikah dengan Barrah dengan diberi nama
Maimunah yang diwali hakimkan oleh Abbas sendiri.
Tentu sahaja Maimunah sangat gembira kerana hasrat murninya
tercapai dan sedia untuk mengikut baginda pulang ke Madinah
Namun baginda tidak membawa Maimunah bersama-sama apabila
seluruh rombongan umat Islam pulang ke Madinah kerana dikhuatiri akan menimbul
kemarahan kafir Quraisy.
Selepas mereka berjalan beberapa hari dan sampai ke Sarifa,
iaitu kira-kira 19 kilometer dari Mekah, rombongan umat Islam berhenti berehat
sambil menunggu kedatangan Maimunah dari Mekah.
Maimunah dibawa keluar pada malam hari secara senyap-senyap
daripada pengetahuan kafir Quraisy dan akhirnya disatukan dengan baginda di
Sarifa sebelum menyambung perjalanan pulang ke Madinah.
No comments:
Post a Comment