SELEPAS berjaya merangkul Piala FA dan melayakkan diri ke
pusingan suku akhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Kelantan mahu
terus menambah koleksi kejuaraan dan mengekalkan status sebagai penyandang
juara Liga Super.
Aksi menentang Johor FC malam ini di Pasir Gudang merupakan
peluang terbaik buat The Red Warriors untuk menekan kedudukan pendahulu,
Lions XII yang mengungguli persada liga dengan kelebihan tujuh mata.
Pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim bagaimanapun mahu
para pemainnya memandang serius pertemuan malam ini biarpun prestasi semasa
tidak begitu menyebelahi pasukan kelab dari selatan tanah air itu.
Menurutnya, Johor FC dibarisi beberapa pemain berpengalaman
seperti Khaironisam Shahbudin, Azi Shahril Azmi, Edy Helmi Manan dan ramai lagi
yang mampu mengancam kedudukan Kelantan.
"Atas kertas, tugas kita nampaknya seperti mudah jika
prestasi semasa Johor FC diambil kira, namun saya tidak melihat itu sebagai
kelebihan kepada kita, sebaliknya kita perlu beraksi dengan baik sekiranya mahu
menang.
"Sasaran kita adalah untuk memenangi perlawanan tersebut
bagi merapatkan jurang mata dengan Lions XII," katanya ketika dihubungi
semalam.
Tambahnya, sistem penggiliran pemain yang dilakukan oleh
jurulatih setakat ini berfungsi dengan baik walaupun pemain terpaksa
mengharungi jadual perlawanan yang padat.
Katanya, jurulatih kini sedang mengenal pasti beberapa
kelemahan, terutamanya dari segi kekuatan mental selepas mereka hampir menerima
padah ketika menang tipis ke atas Terengganu pada pusingan kedua Piala AFC
baru- baru ini.
Dalam perkembangan lain, Azman berkata, pihak pengurusan
mungkin akan menambah seorang lagi pemain import bagi memenuhi kuota bagi
saingan Piala AFC selepas kontrak Onyekachi Nwoha tamat kelmarin.
Jelasnya, sehingga kini masih belum ada calon yang sesuai,
namun pemain import baharu itu kelak perlu memenuhi beberapa kriteria bagi memperkuatkan
pasukan dalam menghadapi saingan suku akhir pada September ini.
No comments:
Post a Comment