Bersama prof. Madya Dr. Nik Hazlina Nik Hussain Penyelaras
Unit Perkembangan Kesihatan Wanita (Pakar Obstetrik & Ginekologi) Pusat
Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia Kubang
Kerian, Kelantan.
Dr., apakah yang dimaksudkan dengan
uri? Adakah berbahaya jika uri berada di bawah? Saya selalu mendengar
rakan-rakan berbual tentang perkara ini. Saya baru mengandung dua bulan dan
amat takut dengan perkara ini.
Jawapan:
Uri adalah organ yang terdapat di dalam rahim wanita hamil
dan bertanggungjawab membawa oksigen dan nutrisi daripada ibu kepada bayinya.
Kedudukan uri yang normal apabila ia berada di tengah atau di bahagian atas
rahim. Ini bermakna ia jauh daripada kawasan bayi sepatutnya keluar dari rahim.
Uri di kedudukan bawah pula berada di kawasan bawah rahim,
menutup ruang laluan bayi (pintu rahim) semasa kelahiran. Ini seterusnya akan
memberikan komplikasi semasa proses bersalin.
Ia bukanlah sesuatu yang jarang ditemui di awal kehamilan
kerana 20 peratus daripada uri berada di bawah pada awalnya, tetapi apabila
kandungan berusia melebihi 28 minggu, kebanyakan uri sudah tertarik ke atas
oleh rahim yang semakin membesar dan cuma lima peratus yang masih berada pada
bahagian bawah rahim. Jika uri ini masih kekal di bawah, keadaan ini dipanggil
Placenta Previa (PP).
Sekiranya uri anda masih di bawah selepas kandungan 28
minggu, tidak banyak yang anda boleh buat untuk menaikkannya. ke atas. Rawatan
pula bergantung kepada tahap PP tersebut, sama ada ia menutup keseluruhan
laluan bayi (pintu rahim) atau separuh sahaja. Tahap keseriusan dibahagikan
kepada empat jenis iaitu uri berada di kedudukan bawah tanpa menutup pintu
rahim, uri berada di bahagian rahim dan di pintu rahim, uri menutupi sebahagian
pintu rahim dan uri menutup keseluruhan pintu rahim.
Sekiranya wanita mengalami PP jenis keempat, terdapat risiko
tinggi kelahiran pramatang dan pendarahan. Kadang-kadang pendarahan boleh
menjadi terlalu banyak sehingga membahayakan nyawa. Doktor selalunya memantau simptom
pesakit dengan memasukkan mereka ke wad pada usia kandungan 32 minggu sekiranya
terdapat risiko pendarahan yang tinggi. Sekiranya anda mengalami pendarahan
tidak normal dari faraj, cepat-cepatlah berjumpa dengan doktor untuk memastikan
yang anda tidak mengalami PP.
Risiko
Sehingga hari ini, punca berlakunya PP tidak diketahui. Namun
terdapat beberapa keadaan yang meningkatkan risiko PP, iaitu wanita yang
mempunyai sejarah kelahiran secara pembedahan sebelum ini, wanita yang
melahirkan anak secara kerap dan bilangan yang ramai, wanita muda di bawah umur
20, merokok semasa hamil dan kandungan kembar.
Wanita yang mengalami PP pada kebiasaannya mengalami
kedudukan bayi tidak normal (mungkin melintang, songsang atau oblik). Kedudukan
kepala bayi perlu sentiasa berada di atas rongga pelvis di saat tempoh matang
kehamilan.
Selain masalah pendarahan yang membimbangkan, faktor lain
yang mempengaruhi keadaan ibu adalah kaedah kelahiran bayi itu sendiri. Mereka
ini biasanya tidak dapat melahirkan bayi secara normal akibat kedudukan uri
yang menghalang kelahiran bayi melalui bukaan pintu rahim. Pembedahan caesarean
adalah kaedah yang disyorkan. Selain itu, jika keadaan ibu membimbangkan akibat
pendarahan, pembedahan caesarean terpaksa dijalankan walaupun dalam keadaan
kehamilan yang tidak cukup bulan.
Apa yang membimbangkan mengenai PP ini, komplikasi yang boleh
timbul pada bayi dan ibu. Komplikasi pada bayi adalah seperti pendarahan yang
banyak pada ibu. Ini boleh meningkatkan kadar morbiditi dan kematian pada bayi
dan meningkatkan risiko lahir tidak cukup bulan.
Komplikasi pada ibu pula pendarahan serius yang boleh
mengancam nyawa. Pembedahan caesarean, meningkatkan risiko pendarahan selepas
bersalin (postpartum haemorrhage) dan meningkatkan risiko uri melekat pada
rahim. Keadaan uri melekat pada rahim dikenali sebagai placenta accreta. Dalam
keadaan ini uri tidak boleh dipisahkan daripada dinding rahim akibat sebahagian
tisu uri telah melekat pada otot-otot rahim. Jika ini berlaku, rahim terpaksa
dibuang demi menyelamatkan ibu.
Bagaimanapun, risiko placenta accreta dalam kalangan ibu yang
tidak mempunyai sejarah pembedahan pada rahim hanyalah sekitar lima peratus
sahaja.
Bagaimanapun jika seseorang itu mempunyai sejarah pembedahan
di rahim umpamanya caesarean, risiko placenta accreta bertambah 25 peratus.
Selamat
Dalam menangani PP, doktor akan mengesyorkan ibu supaya
melahirkan kandungan dengan kaedah yang selamat, iaitu pembedahan caesarean.
Bagaimanapun apabila pembedahan itu harus dilakukan, ia bergantung kepada
penilaian dan faktor-faktor berikut iaitu tahap keseriusan pendarahan, usia
bayi dalam kandungan dan juga sokongan perkhidmatan pediatrik.
Kebiasaannya jika seseorang ibu yang mengalami PP tetapi
tiada pendarahan, pembedahan caesarean secara elektif akan dilakukan pada
minggu ke 38 usia kandungan. Jika pendarahan berlaku sebelum usia kandungan
tersebut, keputusan pembedahan akan dibuat oleh pakar setelah mempertimbangkan
faktor-faktor di atas.
Saya harap anda sudah jelas dengan penjelasan yang diberikan dan
jangan mendengar bualan rakan-rakan sahaja. Anda perlu mendapatkan nasihat
doktor dan semoga penjelasan yang diberikan akan menghilangkan kegusaran
tersebut.
No comments:
Post a Comment