BEBERAPA penyokong Rusia dan Poland
bergaduh di luar Stadium National di Warsaw kelmarin.
WARSAW - Polis menangkap 184 orang kebanyakannya peminat
pasukan bola sepak Poland selepas mereka bergaduh dengan penyokong skuad Rusia
dalam Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2012, menurut Kementerian Dalam Negeri
semalam.
Kebanyakan mereka ditangkap semasa 5,000 penyokong Rusia
berarak ke Stadium Nasional di sini.
Penyokong-penyokong Rusia itu berarak bagi meraikan ulang
tahun kemerdekaan negara mereka.
Perbuatan para penyokong Rusia itu dianggap sebagai hasutan
kepada kebanyakan penduduk Poland.
Penduduk Poland menyimpan perasaan marah dengan Rusia kerana
sejarah silam semasa era pemerintahan komunis.
Ketika era itu, Poland berada di bawah telunjuk Moscow.
Para penyokong Rusia itu kemudian berdepan dengan 100 samseng
bola sepak yang mencetuskan kekacauan sebelum dan semasa perlawanan berlangsung
kelmarin.
Seramai 24 orang cedera dalam insiden itu termasuk 10 anggota
polis.
Ketika perarakan itu, samseng-samseng Poland menyerang
penyokong Rusia yang kemudiannya bertindak balas.
Kedua-dua penyokong itu kemudian saling menendang dan memukul
antara satu sama lain.
Akhbar dalam talian MailOnline kelmarin melaporkan
para peminat Rusia di dalam stadium mempamerkan kain rentang gergasi yang
mengandungi ayat This is Russia sekali gus merujuk kepada bekas empayar
Soviet.
Menteri Dalam Negeri Poland, Jacek Cichocki menyatakan,
samseng-samseng bola sepak Rusia yang ditangkap itu akan dibicarakan dan mereka
akan diusir keluar.
Menurutnya, samseng-samseng Poland akan turut dibicarakan dan
bakal menerima hukuman berat.
Anggota-anggota polis melepaskan tembakan peluru getah,
menggunakan meriam air dan gas pemedih mata untuk menyuraikan pergaduhan.
Dalam perlawanan bola sepak itu, Rusia dan Poland seri 1-1. -
Agensi
No comments:
Post a Comment