DUA anggota polis yang berperut
buncit mengawal sebatang jalan raya di Karachi semalam.
ISLAMABAD - Seorang ketua polis Pakistan telah mengarahkan
175,000 anggotanya mengamalkan diet, kata beberapa pegawai semalam.
Akhbar-akhbar tempatan menganggap arahan itu adalah sebagai
'pertempuran memerangi perut buncit'.
Seorang jurucakap polis, Nabila Ghazanfar berkata, Ketua
Polis Punjab, Habibur Rahman telah mengarahkan supaya anggota-anggotanya
memakai seluar yang mempunyai ukuran pinggang tidak lebih 96 sentimeter.
"Saya sedang berdiet dan jika saya boleh melakukannya
mengapa tidak anda?" kata jurucakap tersebut yang memetik kenyataan
Habibur kepada para pegawainya pada bulan lepas.
Menurutnya, kira-kira 50 peratus anggota polis di Punjab
mempunyai berat badan berlebihan.
Akhbar The News melaporkan bilangan anggota polis yang
mempunyai berat badan berlebihan di bandar Rawalpindi berjumlah lebih 77
peratus.
Polis menyatakan, anggota-anggota tersebut diberikan tempoh
sehingga 30 Jun ini untuk mengurangkan berat badan.
Ia menjelaskan anggota-anggota yang dilihat terlalu gemuk
tidak akan diberikan tugas di barisan depan bermula pada 1 Julai depan.
"Sejumlah pegawai polis mengunjungi gimnasium, berjoging
dan melakukan pelbagai senaman termasuk banyak berlari untuk menjadi
kurus," kata jurucakap tersebut. - AFP
No comments:
Post a Comment