expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Saturday 9 June 2012

Apa sudah jadi PBSNT?




SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Abdullah Salleh menegaskan Mat Zan Mat Aris masih kekal sebagai ketua jurulatih Skuad Penyu berdasarkan perjanjian yang dimeterai pada Januari lalu.


Abdullah berkata, PBSNT bersedia untuk berunding mengenai masa depan bekas jurulatih Pos Malaysia itu bersama Terengganu dalam tempoh terdekat bagi menjelaskan situasi sebenar.


Terdahulu, Mat Zan direhatkan oleh PBSNT selepas menyaksikan Terengganu tersingkir daripada saingan Piala FA apabila tewas kepada Sime Darby menerusi agregat 2-1 pada 1 Mei lalu.


Namun, status Mat Zan mula menjadi tanda tanya apabila PBSNT bertindak melantik Peter James Butler sebagai pengendali baharu naib juara Liga Super musim lalu.


Sejurus pelantikan tersebut, ramai pihak yang mendakwa PBSNT dilihat tidak profesional apabila melantik Butler sebagai jurulatih baharu ketika Mat Zan diarah berehat.


Mengulas lebih lanjut, Abdullah mendedahkan jawatan Mat Zan masih kekal semenjak direhatkan sehingga 15 Mei lalu.


Jelasnya, PBSNT melantik Butler sebagai Pengarah Teknikal Kejurulatihan Terengganu dan PBSNT bersedia untuk menjelaskan situasi sebenar mengenai status Mat Zan.


“Mat Zan masih merupakan ketua jurulatih Terengganu berdasarkan kontraknya. Sementara Butler dilantik sebagai pengarah tektikal sahaja.


“Tidak dapat dinafikan timbul kekeliruan berhubung status Mat Zan tetapi PBSNT bersedia untuk menjelaskan situasi sebenar apabila mengadakan rundingan dalam tempoh terdekat.


“Saya ada menghubungi Mat Zan beberapa hari lalu dan beliau mengesahkan akan bertandang ke Terengganu bagi menyelesaikan kemelut tersebut.


“Justeru, kami berharap pihak lain tidak memandang serong terhadap PBSNT yang mana kami akan menghormati kontrak beliau sehingga November depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.


Sementara itu, Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh berkata, pihaknya berhasrat untuk mengekalkan khidmat Mat Zan dalam skuad Peteh pada musim ini.


Begitupun, Che Mat yang enggan mengulas lebih lanjut, mendedahkan beliau akan menghormati segala keputusan Mat Zan dalam satu perbincangan dalam masa terdekat.


“Sekiranya sebarang keputusan tidak tercapai dalam rundingan tersebut maka PSBNT akan mengikut apa yang sudah dipersetujui dalam kontrak antara PBSNT dengan Mat Zan.


“Kami akan meneliti perjanjian di dalam kontrak yang mana PBSNT masih berminat untuk mengekalkan khidmat Mat Zan.


“Terpulang kepada beliau untuk menentukan keputusan dan saya berharap perkara ini tidak perlu dibesarkan memandangkan Mat Zan masih merupakan ketua jurulatih Terengganu,” katanya.


Isu Mat Zan jelas tidak menunjukkan sikap profesional PBSNT.


Jika PBSNT tidak berminat dengan khidmat Mat Zan, persatuan tersebut seharusnya mengeluarkan surat pemecatan sebelum melantik pengendali baharu.


Dalam kes lain pula, Mat Zan dikatakan tidak mengemukakan sebarang surat peletakan jawatan kepada PBSNT ketika dia diarah berehat seketika.

No comments:

Post a Comment

Copyright © 2012-2017.All rights reserved by seribupilihan.blogspot.com